The Solution

PENGURUSAN STRES : BAHAGIAN 4

Makan sebelum lapar, berhenti sebelum kenyang, urus stres sebelum stres…

            Stres tidak semestinya hanya diurus ketika anda menghadapinya. Anda juga perlu bijak mengambil langkah dalam mengurus stres sebelum anda menghadapinya. Mungkin ini juga boleh dikira sebagai ‘strategi’ dalam mengurus stres.

            Kita perlu sedar dan menerima hakikat bahawa kehidupan ini memang sentiasa menghidangkan cabaran dan ujian. Kita memerlukan kepada tekanan stres bagi memajukan diri. Kita tidak perlu mengelak atau lari daripada masalah. Sebagai individu yang cemerlang anda perlu menghadapi dan menangani setiap cabaran yang hadir.

            Pakar-pakar telah membahagikan stres kepada dua kategori, EUSTRESS dan DISTRESS. Eustress adalah apabila stres itu terkawal dan membawa manfaat. Manakala distress pula adalah stres yang berlebihan dan membawa kepada mudarat. Pastikan anda stres anda sentiasa di dalam kawalan. Berikut adalah beberapa tip bagaimana anda cara anda menguruskan stres dalam kehidupan seharian :

TIP 1 : MEMBACA AL-QURAN

            Sesungguhnya Allah s.w.t menurunkan Al-Quran kepada seluruh umat Nabi Muhammad s.a.w sebagai satu mukjizat, petunjuk dan rahmatNya. Dengan membaca Al-Quran pahala anda akan dikira bagi setiap huruf bacaan tersebut. Hati anda akan menjadi lebih tenang dan dekat kepada Allah s.w.t. Lebih baik jika anda dapat membaca Al-Quran berserta memahami maksud dan makna ayat-ayat yang dibaca dengan membaca tafsir Al-Quran. Luangkan sedikit masa anda dalam sehari untuk membaca Al-Quran dan mendapat faedah yang besar daripadanya.

            Masa yang terbaik bagi membaca Al-Quran adalah selepas solat fardu, jika anda mampu membaca dua helai muka surat setiap kali selepas solat fardu, maka dalam sehari anda telah membaca sebanyak 10 helai (sejuzuk). Membaca, memahami, mendalami, menghayati isi kandungan al-Quran akan menenangkan dan menenteramkan jiwa, fikiran, hati, rohani dan jasmani. Sekurang-kurangnya jika anda tidak mampu membaca Al-Quran mungkin kerana terlalu sibuk, anda boleh mendengar bacaan ayat Al-Quran melalui rakaman-rakaman bacaan sheikh dan imam yang masyhur dan rakam ayat Al-Quran kini mudah didapati.

            Anda juga perlu menanam cita-cita untuk menghafal ayat suci Al-Quran. Jika tidak mampu menghafal keseluruhannya, maka janganlah tinggal semuanya, mulakan hafalan Al-Quran anda dengan ayat-ayat dan surat yang pendek dan mudah dihafal oleh anda. Untuk menguatkan ingatan ayat-ayat yang telah dihafal, anda boleh membaca ayat dan surah tersebut di dalam solat. Hafalan anda boleh menjadi lebih mudah dengan cara anda memahami ayat-ayat. Jika perlu, dapatkan bimbingan guru-guru tahfiz bagi mendapat panduan dan nasihat dalam menghafal Al-Quran. Pastinya dengan usaha gigih anda akan membuahkan hasil yang lumayan di dunia juga di akhirat kelak.

            Apabila anda membaca Al-Quran, pastikan diri anda dalam keadaan khusyuk dan fokus dalam bacaan anda itu. Antara kaedah yang dapat membantu anda fokus dalam bacaan adalah dengan memastikan anda sentiasa dalam keadaan berwuduk, berpakaian kemas dan suci, menghadap kiblat, membaca dengan suara yang agak kuat dan membaca doa sebelum dan selepas anda membaca Al-Quran. Mohonlah kepada Allah s.w.t semoga anda sentiasa diberi kekuatan dan berada di bawah rahmatNya.

            Jika anda seorang guru atau pemimpin, pastikan seluruh anak didik dan warga kerja di bawah anda juga menjaga dan mengamalkan bacaan Al-Quran. Anda boleh melaksanakannya dengan memberi peringatan atau menganjurkan program-program yang mendorong mereka untuk beramal dengan Al-Quran. Bacaan Al-Quran di awal pembukaan dan perasmian majlis adalah satu unsur pembudayaan Al-Quran yang amat baik. Dengan izin Allah s.w.t, rahmatNya akan turun kepada anda dan masyarakat di sekeliling anda dan ini akan menghasilkan kebahagian dan ketenangan yang sejati dalam hidup anda.

            Selain membaca Al-Quran, pastikan juga diri anda sentiasa ke arah mendekatkan kepada Allah s.w.t. Mendekatkan diri kepadaNya dengan cara mengenali dan mencintaiNya lebih daripada segala-galanya sehingga lahir rasa kehambaan sejati dalam diri melalui amal ibadah secara istiqamah.

Orang-orang yang beriman menenangkan hati (jiwa) mereka dengan mengingati Allah, tidakkah dengan mengingati Allah itu dapat menenangkan hati (jiwa) ? – Surah Ar-Ra’dhu : 28

            Berserah diri dengan menyerahkan natijah semua perkara kepada Allah setelah berusaha sedaya upaya serta percaya yakin kepada segala janjiNya. Unsur penting yang perlu ada dalam setiap diri hambaNya adalah tawakal. Menyedari bahawa Allah memberi rezeki, kekuatan, keinginan dan tubuh badan yang sihat untuk berusaha. Menyedari bahawa segala perbuatan, tindakan, hakikat  sebenarnya adalah kehendak daripada Allah s.w.t.

Persoalannya, sudahkah anda membaca Al-Quran hari ini?

TIP 2 : EKSPRESI DIRI

            Ekspresi diri adalah anda mempamerkan apa yang terpendam dalam diri anda. Meluahkan apa yang terbuku di hati. Apa yang penting adalah bagaimana kaedah dan cara anda mengekspresikan diri anda. Ada individu yang suka mendengar lagu ketika stres, ada juga yang suka makan ketika stres. Pastikan anda melepaskan stres dengan cara dan saluran yang betul dan sihat.

            Salah satu cara adalah dengan berkongsi masalah anda dengan sahabat baik. Sahabat yang paling bernilai adalah mereka yang boleh mendengar dengan baik. Mungkin mereka tidak mampu untuk membantu anda dalam menyelesaikan masalah anda, sekurang-kurangnya dengan perkongsian tersebut anda telah mengurangkan tahap tekanan stres yang anda sedang alami. Memendam rasa dan kebimbangan akan menyuburkan lagi stres. Melahirkan kebimbangan atau ketakutan adalah sebagai langkah pertama membolehkan diri berhadapan dengan stres, mengawalnya dan seterusnya melepaskan stres tersebut.

            Berhadapanlah dengan stres dengan cara bercakap, menulis, menyanyi, ketawa, menangis dan lain-lain lagi. Cara tersebut akan membantu anda kerana dengan meluahkan sesuatau masalah, ia akan menjelaskan dan meletakkan sesuatu masalah tersebut kepada perspektif yang lebih objektif (jelas dan nyata). Ekspresi menggalakkan penyembuhan.

            Menulis boleh membuatkan masalah yang subjektif (kabur) menjadi lebih objektif (jelas), yang tidak sedar dibawa kepada kesedaran dan yang tidak terlahir kepada yang dilahirkan. Tulislah masalah anda dengan bebas, berterusan dan tanpa kritikan. Analisis masalah-masalah yang telah anda tulis secara objektif tanpa terlalu beremosi. Kemudian senaraikan cadangan penyelesaian bagi setiap masalah yang anda hadapi secara terperinci.

 Banyak membaca sama ada bahan bacaan berat mahupun ringan mampu memberi anda inspirasi. Memberi idea di luar daripada perkara biasa yang berlaku di dalam kehidupan seharian anda.

TIP 3 : BERTINDAK SEGERA

            Tugasan yang bertimbun selalu adalah berpunca daripada sifat suka bertangguh. Cuba elakkan daripada menangguhkan tugasan sama ada tugasan itu kecil atau besar.         Pertindanan tugasan, lambakan kerja dan jadual terlalu padat akan membawa kepada stres.

            Daripada terus berada dalam keadaan gelisah ketika berhadapan dengan stres, adalah lebih baik anda mengarah diri untuk memikirkan  “Apakah yang boleh saya lakukan sekarang ini untuk mengurangkan stres?” kemudian pasti anda akan sedar bahawa selepas 15 minit melakukan apa yang sepatutnya di lakukan, anda sudah makin hampir dengan jalan penyelesaian. Dengan hanya melengahkan penyelesaian, beban stres akan terkumpul dan adakalanya menjadi semakin kronik.

Maka BERTINDAKLAH dengan segara. Segera mencari PENYELESAIAN. Segera bertindak MELAKUKAN penyelesaian tersebut.

 Bab 2 : Pengurusan Masa, Buku Strategi Pengurusan Individu Dan Organisasi membincangkan lebih terperinci tentang pengurusan masa. Pengurusan masa yang efisien mampu mengurangkan stres.

TIP 4 : MEMBINA PERSEPSI POSITIF

            Segala benda yang berada di sekeliling kita bersifat neutral. Hanya persepsi kita sahaja yang menentukan sudut pandangan kita terhadap perkara tersebut.
           
            Sebagai contoh sebuah rumah hanya bersifat neutral, jika anda  merasakan bahagia bersama keluarga di dalam rumah tersebut adalah hasil daripada persepsi positif yang anda sendiri hasilkan, bukan daripada rumah tersebut. Namun jika anda berada di dalam rumah tersebut dengan perasaan yang tidak tenang dan serabut, itu adalah hasil daripada persepsi negatif anda. Rumah itu tetap dengan sifat neutralnya, yang menentukan hanyalah persepsi anda sahaja. Anda perlu sentiasa meletakkan sudut pandangan anda pada sudut persepsi yang positif dalam semua perkara yang berlaku dalam hidup anda.

            Peribahasa Cina mengatakan “Lebih baik menyalakan lilin dari menyumpah akan kegelapan”. Semasa mengalami stres adakalanya minda kita seolah-olah diprogramkan supaya hanya melihat dan memikirkan perkara yang negatif  sahaja. Rasa tidak terdaya, rasa disingkir, rasa tidak disayangi, rasa tiada harapan dan lain-lain.

            Fikiran negatif mengganggu minda anda semasa anda sedang mengalami stres. Detik inilah anda harus berfikir dengan fikiran positif seperti “Apakah kekuatan saya?”. Kenal pasti kemahiran, kebolehan dan bakat yang ada. Sedarkan diri kepada apa yang anda boleh lakukan. Jangan hiraukan apabila minda cuba mengatakan ‘TIADA’ atau ‘TIDAK’. Soal pada diri anda “Apakah pengajaran yang tersirat di sebalik ujian ini?”

            Berhenti dari mencari kesalahan orang lain. Buatlah perubahan yang perlu pada diri anda. Dengan hanya melihat kepada kesalahan orang lain dan cuba menukar sikap orang lain, anda hanya menambah stres pada diri sendiri. Berhenti daripada terus memberi fokus kepada jalan mati atau sesuatu yang tidak dapat diubah. Anda perlu fokus kepada perkara positif dan perkara yang mesti dilakukan untuk membuat perubahan ke arah yang lebih baik.

            Mungkin kaedah penyelesaian ini tidak semudah yang di bicara secara teorinya. Namun yang penting adalah usaha dan kemahuan anda, pasti di sana ada jalannya.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Seorang hamba melakukan dosa lalu ia berkata : Wahai Rab, aku melakukan satu dosa maka ampunilah aku. Maka Allah berfirman: Adakah hambaKu tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampuni dosa dan menghapuskannya? Aku telah mengampuni dosa hambaKu. Kemudian setelah beberapa ketika, dia kembali melakukan dosa dan berkata : Wahai Rab, aku melakukan satu dosa lain maka ampunilah aku. Allah kemudian berfirman: Adakah hambaKu tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampuni dosa dan menghapuskannya? Aku telah mengampuni dosa hambaKu. Kemudian setelah beberapa ketika, dia melakukan dosa lagi dan berkata : Wahai Rab, aku melakukan satu dosa maka ampunilah aku. Allah berfirman : Adakah hambaKu tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampuni dosa dan menghapuskannya? Aku telah mengampuni dosa hambaKu, sebanyak tiga kali, maka lakukanlah apa yang disukainya.” – Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

TIP 5 : KENALI BUTANG HIJAU

            Butang hijau adalah istilah yang selalu digunakan oleh motivator yang bermaksud ‘Perkara Yang Menggembirakan’. Setiap individu memiliki butang hijau yang berlainan. Ada individu yang cukup dengan meminum segelas cawan kopi sahaja sudah membuatkan mereka gembira. Ada juga yang gembira apabila mengemas bilik kerana mereka suka akan kekemasan. Apa yang penting adalah adakah anda sudah mengenali butang hijau anda? Kenali butang hijau anda dan ketika anda stres atau inginkan keceriaan, anda boleh segera ‘memetik’ butang hijau anda.

TIP 6 : MENGURUS DIRI

            Waktu di awal pagi adalah waktu yang terbaik untuk anda melakukan urusan peribadi seperti mengemas bilik, bersenam dan bersarapan. Kadangkala punca stres semakin menjadi semakin teruk adalah kerana diri anda sendiri yang tidak terurus dengan sempurna. Bagaimana hendak ceria jika bilik anda dalam keadaan bersepah? Bilik air dan dapur juga tidak terurus. Luangkan sedikit masa setiap hari untuk mengurus diri anda. Uruslah diri anda sebelum anda mengurus orang lain.

TIP 7 : BERMASYARAKAT

            Jika anda mengalami kemurungan atau stres, keluarlah dari ‘dunia’ anda dan bergaul dengan masyarakat. Jangan hanya mengurung diri di dalam bilik, kelak anda akan terus tenggelam dengan ‘dunia murung’ anda tersebut. Berjumpalah dengan sahabat lama ataupun kenalan baru. Berkawanlah dengan pelbagai lapisan masyarakat. Para ilmuwan kita kawan, tukang masak kita kawan, mat motor kita kawan, kelak hendak minta bantuan pun mudah.

            Jangan hanya bergaul dengan mereka di sekeliling pinggang anda sahaja. Dunia ini luas, adakah anda hanya mahu bergaul sekitar 100 orang dan berjalan sekitar ‘bumi’ anda sahaja? Jangan sempitkan dunia anda. Keluar dan nikmatilah dunia di luar sana.

            Pengurusan stres juga berkait rapat dengan keceriaan hidup. Tip-tip untuk menghasilkan hidup yang ceria akan dibincangkan dalam artikel-artikel yang akan datang. InsyaAllah…

Penulis : Adlly Bokhari ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel The Solution ini dipublish oleh Adlly Bokhari pada hari Wednesday, April 25, 2012. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan The Solution
 

0 comments:

Post a Comment