Tulis jangan
tak tulis…
Tiada rugi,
manfaat menanti…
Musim peperiksaan sudah rancak berjalan, ada juga yang sudah tamat
dan ada juga yang sudah pulang ke Malaysia. Bagi kami pelajar tahun akhir
Qiraat Shoubra, peperiksaan telah bermula pada 5 Jun dan bakal berakhir pada 28
Jun, maka pada fasa ini perlu utama yang mana terutama. Membuatkan masa untuk
menulis di blog ini terhad.
Alhamdulillah dalam kesibukan tugasan dan juga peperiksaan, buku
kedua saya bertajuk 23 TAKTIK LUAR BIASA PENGURUSAN ORGANISASI telah
berjaya diterbitkan pada 7 Jun baru-baru ini. Terima kasih kepada semua pembaca
yang memberi sokongan kepada saya untuk terus menulis.
BAGAIMANA 23
TAKTIK DITULIS
Setelah penerbitan buku pertama saya, STRATEGI PENGURUSAN INDIVIDU
DAN ORGANISASI, saya telah mendapat banyak respons daripada pembaca,
khususnya daripada kalangan mahasiswa Mesir. Mereka ingin lebih mendalami dan
memahami pengetahuan pengurusan organisasi bukan sekadar teori, tetapi secara
realiti dan praktikal.
Pelbagai soalan tentang pengurusan diajukan kepada saya dan saya
sering tekankan bahawa saya bukanlah pakar dalam bidang ini, hanya sekadar
berkongsi pengalaman. Mohon tunjuk andai ada tersalah.
Buku kedua saya ditulis berdasarkan pengalaman saya sendiri di
dalam mengurus organisasi, juga berdasarkan respons daripada
persoalan-persoalan yang ditujukan kepada saya. Saya mendapati bahawa ilmu
pengurusan perlu di ‘persembahkan’ dalam bentuk yang lebih mudah dan mesra agar
mampu mencapai bukan sahaja lapisan atasan organisasi, bahkan juga mampu
mencapai lapisan tenaga kerja bawahan.
Maka saya mula menulis dan menyusun buku 23 TAKTIK tersebut
dengan membawa mesej pengurusan di tahap yang mudah difahami oleh semua
peringkat tenaga kerja. Dengan harapan semoga ilmu pengurusan organisasi bukan
sahaja diambil berat oleh peringkat atasan, tetapi juga diambil berat oleh
lapisan AJK bawahan.
Saya mengambil masa dua hari suntuk untuk menyiapkan penulisan
buku ini, dan mengambil masa sekitar dua minggu untuk urusan pelukis kartun,
izin terbit PMRAM dan juga pencetakan.
TIP MENULIS
Tidak kurang
juga dengan persoalan “Bagaimana menulis buku?” yang saya terima daripada
sahabat dan pembaca. Berikut adalah tip daripada pengalaman saya sendiri yang
boleh saya kongsikan, terutama bagi penulis baru :
Kenal Pasti
Tajuk, Bahagian, Bab, Topik
Langkah pertama apabila anda ingin menghasilkan buku adalah anda
perlu merangka buku yang bakal anda tulis secara menyeluruh. Ibarat seorang
arkitek membuat pelan rumah sebelum dibina, begitulah seorang penulis perlu
merangka bukunya sebelum menulis. Tetapkan tajuk buku, bahagian, bab dan topik
yang bakal anda tulis.
Tidak perlu fikirkan sangat tentang tajuk buku yang bombastik kerana
anda boleh memikirkan tajuk yang menarik sambil-sambil anda menulis nanti. Jika
tidak mampu target menulis 300 muka surat, maka target sahaja sekitar 50-80
muka surat sudah memadai. Apa yang penting adalah anda MULA MENULIS.
Tulis
Pusingan Pertama
Jangan terlalu mendesak otak anda untuk menulis ke tahap
antarabangsa. Untuk pusing pertama ini, tulis sahaja semampu anda. Tulis dengan
selesa, seperti anda sedang bercakap dengan seseorang. Tulis dengan gaya anda
sendiri. Tidak perlu fikir tentang tatabahasa lagi, tidak perlu fikir tentang
fakta-fakta berat lagi. TULIS SAHAJA dan terus menulis.
Tulis berdasarkan bab dan topik yang anda telah rangka. Jika ada
terlintas idea tentang topik atau bab baru, terus sahaja menambahnya. Peringkat
ini adalah peringkat menghasilkan penulisan, belum lagi menilai penulisan.
Ini
seolah-olah peringkat pembinaan sebuah rumah yang sedang disusun batu-batanya…
Tulis
Pusingan Kedua
Setelah anda siap menulis pusingan pertama, anda boleh melakukan
penulisan pusingan kedua. Pusingan ini seolah-olah anda melakukan semakan dan
penilaian kepada penulisan anda sendiri. Susun kembali struktur ayat. Betulkan
ejaan, istilah dan tatabahasa. Kemaskan struktur perenggan dan sebagainya.
Sediakan kamus di sisi anda bagi memudahkan rujukan maksud
ayat-ayat. Fokus kepada kesalahan umum dahulu. Tidak perlu tekankan kepada
kesalahan yang kecil lagi.
Ini
seolah-olah peringkat pembinaan rumah yang sedang disapu simen dan dipasang
bumbungnya…
Bersambung…
0 comments:
Post a Comment