Personaliti Aset Utama

Aset bukan untuk disimpan begitu sahaja...
Aset perlu dijana dan diproduk untuk mendatangkan hasil…

11 JUN 2009

                Berakhir sahaja peperiksaan tahun 1, saya terus masuk bekerja secara penuh di Kuala Lumpur Cairo Café (KLCC). Sebelum ini saya bekerja di KLCC hanya sekadar membantu ustaz Al Hafiz sahaja. Saya menggantikan shift ustaz Ali Imran kerana beliau bakal menduduki peperiksaan tahun akhir (Shoubra) tidak lama lagi. Peluang saya bekerja di KLCC telah banyak mengajar erti kehidupan kepada saya. Belajar mengenai harga nilai setiap nilai wang. Belajar menghargai nilai masa. Bahkan saya juga mahir membawa motosikal dan kereta juga adalah kesan daripada bertugas di KLCC.

                Masuk shift jam 3.00 petang dan berakhir lewat 12.00 tengah malam. Kadangkala hanya mampu berehat di sebelah masa pagi, tidak sempat membuat kerja lain terus perlu bersiap sedia untuk masuk ke shift keesokan harinya. Dalam masa yang sama saya juga menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Unit Perumahan Kesenian dan Sukan (UPKS) BKAWM 09/10 dan juga jurulatih Kelab Tae Kwon-Do SWAD PMRAM. Ketika itu saya melalui tempoh yang penuh cabaran terutama cabaran pengurusan masa dan pertembungan tugasan. Namun itu bukan sebagai alasan, bahkan satu peluang latihan untuk saya ke peringkat yang lebih baik.

                Ketika ini juga saya berpeluang bertemu dengan pelbagai ragam manusia. Kalau sebelum ini hanya terhad kepada sahabat-sahabat pimpinan dan ahli Kelab Tae Kwon-Do sahaja. Ketika bekerja di KLCC, lain pula suasananya. Saya berpeluang bertemu dengan mereka yang bekerja kerana wang, bekerja kerana suka bekerja. Saya juga berpeluang bertemu dengan bermacam-macam ragam pelanggan. 

 Ustaz Hasni (mantan AJKT Perak) bersama ustaz Ali Imran (mantan UPK BKAWM 08/09 bergambar di persisiran pantai Matruh ketika kami bertiga bertugas selaku unit masakan (wakil KLCC) bagi rombongan pelajar siswi perubatan Iskandariah.

                Ada individu yang terlalu rajin bekerja, namun kualiti kerjanya kurang. Ada individu yang pandai berkata-kata dan memberi komen, namun tindakannya tidak ke mana pun. Mungkin itu yang dimaksudkan oleh pepatah Melayu ‘1001 macam’. Dalam seribu yang pelbagai ragam itu ada juga yang ‘1’ pelik dari lain.

                Sifat dan sikap seseorang mempamerkan imej dan dalaman dirinya yang sebenar. Personaliti seseorang itu membentuk wataknya dalam ‘filem’ kehidupannya. Kehidupan anda adalah satu projek anda untuk mendapat hasil di akhirat kelak dan personaliti adalah antara aset utama anda.

BORN TO BE SOMEBODY

                Lihat sahaja pada individu-individu yang berjaya di mata dunia. Donald Trump yang merupakan usahawan terkenal. Justin Bieber penyanyi muda yang mencapai kejayaan dalam masa yang singkat. Chef Wan yang merupakan chef terkenal di peringkat antarabangsa yang pada mulanya mengambil bidang perakaunan. Namun Chef Wan meneruskan kerjaya dalam bidang chef atas faktor minat.

                Apakah persamaan yang mereka miliki? Ya, pastinya kesungguhan dalam bekerja, melakukan perkara yang luar biasa dan sebagainya. Persamaan yang lebih utama antara mereka adalah mereka kenal ‘siapakah’ diri mereka di dunia ini. Mereka tahu yang mereka born to be somebody. Mereka menjadi diri mereka sendiri. Diri mereka yang berjaya.

                Untuk berjaya anda tidak perlu menjadi atau meniru orang lain. Anda hanya perlu menjadi diri anda yang luar biasa. Luar biasa hebat!

KATEGORI PERSONALITI

Personaliti anda adalah perwatakan dan keperibadian yang anda sedang miliki. Semua individu memiliki personaliti yang neutral ketika lahir, kemudian mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Personaliti anda terbahagi kepada tiga kategori :

PERSONALITI SEMULA JADI, sifat dan sikap yang terbentuk secara semula jadi. Juga kecenderungan dan minat seseorang terhadap sesuatu. Bakat dan kemahiran yang terpendam seperti menyanyi, melukis dan memberi motivasi.

PERSONALITI YANG DIPENGARUHI SUASANA, sifat yang terkesan dengan suasana sekeliling sama ada secara sedar ataupun tidak. Sifat ini juga mempunyai unsur-unsur lakonan dan hipokrit. Apabila di hadapan orang ramai  sifat ini menonjol, tetapi tidak pula ketika keseorangan.

PERSONALITI YANG DILATIH, personaliti setiap individu boleh dibentuk melalui latihan. Seorang individu biasa, boleh dilatih untuk menjadi pemimpin dan sebagainya.

                Setiap kategori personaliti ini memiliki unsur positif dan negatif. Anda sahaja yang lebih mengetahui tentang personaliti diri anda sendiri. Maka tingkatkan unsur-unsur yang positif dan kurangkan unsur yang negatif.

 Antara barisan pelaksana SEDEKAD’09. Pelbagai jenis ragam dan personaliti individu yang dapat ditemui, berjaya disatukan di bawah satu naungan BKAWM.

ESTIM TUNJANG PERSONALITI

                Estim adalah keyakinan seseorang terhadap dirinya sendiri. Kekuatan estim akan memberi kesan secara langsung terhadap personaliti seseorang. Keyakinan positif kepada diri sendiri akan menghasilkan personaliti yang positif.

                Tahap estim sentiasa berubah-ubah, kadangkala meningkat dan kadangkala jatuh menjunam. Apa yang penting adalah kemahiran anda dalam mengekalkan tahap estim ini di paras yang positif.

                Di dalam dunia persatuan, estim kita akan dilatih dan dijana secara tidak langsung melalui tugasan dan tanggungjawab. Individu dilatih untuk memberi hujah dan pandangan di dalam mesyuarat. Diberi peluang untuk menjadi pengerusi majlis rasmi. Juga peluang menjadi ketua unit ataupun pengarah program. Semua sesi latihan ini menjana tahap keyakinan diri anda untuk terus meningkat.

                Maka apabila diberi peluang untuk ke hadapan, jangan terus menolak. Latih keyakinan diri anda untuk berhadapan dengan masyarakat dan menjalankan amanah tersebut dengan baik. Tip mudah untuk meningkatkan tahap estim anda :

1. Estim perlu dijana setiap hari, maka setiap pagi pastikan tahap estim anda berada di tahap yang optima.
2. Gunakan kekuatan minda yang positif dalam menjana imaginasi dan persepsi yang positif.
3. Kekuatan estim berkait rapat dengan keceriaan diri. Pastikan setiap hari anda adalah hari yang ceria. Keceriaan adalah pilihan, maka tidak perlu memilih untuk bersedih.
4. Penampilan luaran memberi kesan dan mempamerkan dalaman diri. Pastikan imej luaran anda sentiasa bertenaga.
5. Menjana suasana sekeliling yang mampu membantu meningkatkan tahap estim anda. Seperti keadaan bilik yang kemas.
6. Perlunya ilmu dan kemahiran dalam menjana estim. Pastikan anda mengenal cara untuk memberi motivasi kepada diri anda sendiri (self-motivation).
7. Jika merasa tahap estim lemah, cari punca dan faktornya kemudian atasinya dengan berhemah.


KARISMA PEMANGKIN PERSONALITI

                Karisma adalah kualiti daya kepimpinan, daya penarik atau sifat-sifat tertentu seseorang individu yang menjadikannya berupaya mempengaruhi atau menjadi perangsang kepada khalayak ramai. Keyakinan pihak lain terhadap diri anda.

                Karisma memberi kesan kepada daya pengaruh, jika tahap karisma seseorang itu tinggi, maka tahap daya pengaruhnya juga akan meningkat. Antara cara mudah menilai tahap karisma adalah peminat. Individu yang berkarisma tinggi selalunya memiliki peminat dan pengikut yang ramai. Tip untuk meningkatkan tahap karisma :

1. Tingkatkan daya pengaruh melalui unsur penampilan dan seni komunikasi.
2. Berpakaian kemas kerana pemakaian yang kemas mempengaruhi tahap karisma.
3. Sentiasa siap sedia kelengkapan penampilan dari sudut pakaian dan alatan peribadi.
4. Menjana daya karisma melalui unsur sekeliling seperti pengaruh sahabat dan jawatan.
5. Jangan salah guna ‘low profil’. Tampil ke hadapan dalam memimpin masyarakat.

                Hasil gabungan estim yang positif dan tahap karisma yang tinggi, maka akan terbentuklah personaliti individu yang dinamik.

“Sesiapa yang Allah mahukan dirinya berada dalam kebaikan, diujinya dengan kesusahan.” – Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dua orang pemegang anugerah Tokoh Ma’al Hijrah PMRAM. Mereka sentiasa mempamerkan personaliti yang positif dan bertenaga. Ustaz Fairus, Tokoh Maal Hijrah 1432H dan ustaz Hairul Nizam, Tokoh Maal Hijrah 1433H. Kedua-dua mereka dari cawangan Wilayah Persekutuan.

Penulis : Adlly Bokhari ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Personaliti Aset Utama ini dipublish oleh Adlly Bokhari pada hari Sunday, April 15, 2012. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Personaliti Aset Utama
 

0 comments:

Post a Comment