Bekalan Kembara

Sebelum mengembara jauh, siapkan bekalannya terlebih dahulu…

TRY AND ERROR AND GAMBLE

                Tugasan besar yang pertama saya terima pada peringkat awal adalah menjadi Eksekutif Perhubungan dalam program Sambutan Ulang Tahun Kali Ke-10 BKAWM (SEDEKAD `09). Bertugas sebagai seorang Eksekutif tanpa kemahiran pengurusan yang cekap pastinya menjanjikan kerumitan yang luar biasa. Bukan sekadar kurang dalam pengalaman mengendali sesebuah unit, bahkan membawa kenderaan pun masih tidak mampu ketika itu.
               
                Dalam keadaan serba kekurangan, saya terpaksa juga mengendalikan pengangkutan barang-barang program dari destinasi ke destinasi. Mengatur jadual kereta, pemandu dan AJK kecil. Memberi penerangan gerak kerja kepada AJK bawahan semampu mungkin. Dalam program yang sama juga saya bertanggungjawab untuk mengendalikan kaunter pameran SWAD PMRAM dan persembahan Tae Kwon-Do.

                Tugasan yang kedua adalah menjadi Pengarah Program Majlis Ramah Mesra Dan Sambutan Aidiladha (MARMA `09). Menjadi seorang pengarah dalam keadaan masih terpinga-pinga tentang format kertas kerja dan tiada pengalaman dalam mengendali mesyuarat. Apatah lagi ilmu perancang dan strategi belanjawan, jauh sekali memahami istilahnya ketika itu. Ibarat berjalan di dalam gelap, sesekali terhantuk dan sesekali jatuh ke dalam lubang. Pertindanan tugasan AJK, pengurusan belanjawan program tidak sistematik, kambing sakit dan bermacam-macam lagi cabaran entah dari mana puncanya.

                Bukan tiada kefahaman, bukan tiada semangat, namun kurang dalam kemahiran dan pengalaman. Tiga perkara ini perlu seiringan, KEFAHAMAN dalam membawa dakwah Islam, SEMANGAT dalam berjuang dan KEMAHIRAN dalam mengurus.

                Bekerja dalam keadaan semangat kerja tanpa kemahiran, maka jadilah konsep kerja try and error. Melakukan sesuatu tanpa kepastian apakah hasilnya kelak. Akhirnya membawa kepada ‘gamble’ atau bahasa ‘K.L.’nya “Belasah je!”.

Majlis perasmian MARMA `09, dari kanan ustaz Samad selaku YDP BKAWM 09/10, ustaz Halim selaku Pengurus ARWP dan perasmi, dan saya selaku pengarah.

BEKALAN AWAL

                Kemahiran asas seperti kefahaman dalam ilmu Fiqh Khamsah, seni berkomunikasi dan perakaunan adalah amat penting. Ini bagi memastikan setiap individu itu mampu menempuhi cabaran dalam tugasan yang dihadapinya dari peringkat ke peringkat seterusnya dengan baik. Kadangkala terdapat individu yang diberikan tugasan dan terus sahaja melaksanakan tugas tersebut. Tanpa memiliki kemahiran asas yang baik maka tugasan yang dibawa hanya sekadar menyelesaikan tugas sahaja.

Poin di sini adalah : Miliki kemahiran asas dan praktiknya dalam bekerja.

                Selaku pekerja yang cemerlang, anda tidak boleh hanya menyelesaikan tugasan semata-mata. Anda perlu sentiasa menambah kemahiran anda dari sudut pengurusan dan sebagainya. Sama ada dengan cara menyertai kursus-kursus, membaca buku atau merujuk senior. Pastikan usaha ke arah menambah nilai diri anda itu sentiasa berlaku.

                Sebagai pemimpin pula, anda perlu menyediakan AJK dan petugas bawahan anda dengan kemahiran asas yang cukup. Jangan hanya bijak memberi arahan dan mengatur tugasan sahaja. Aturkan pengisian kepada AJK anda sama ada dalam bentuk taklimat mahupun kursus. Sentiasa pantau dan bimbing AJK bawahan dalam tempoh mereka bekerja. Tegur jika ada nampak kekurangan, hargai dan iktiraf mereka jika ada hasil yang baik. Jangan hanya memberi arahan, dan di akhir sesi muhasabah sahajalah yang memenuhi laporan.

                Sebetulnya semakin banyak bekerja, semakin mahir seseorang individu itu dalam mengaplikasikan ilmu teori yang dimilikinya. Tidak sewajarnya pula jika semakin banyak bekerja, semakin ketemui pelbagai masalah yang rumit pula dan akhirnya membawa kepada futur (lemah semangat).

Mengembaralah dengan bekalan yang cukup…
Berikanlah bekalan kepada mereka yang bakal mengembara…

PUNCA DAN FAKTOR

                Segala isu dan permasalahan pastinya berpunca dari PENGURUSAN. Adanya masalah kewangan, maka pastinya di sana terdapat permasalahan dalam pengurusan kewangan. Adanya masalah tenaga kerja, maka pengurusan tenaga kerja yang bermasalah. Begitulah seterusnya.

                Masalah pengurusan pula sering kali berpunca daripada masalah KOMUNIKASI. Kertas kerja program dan pengurusan telah sempurna, tetapi kerana masalah pada peringkat penerangan kepada AJK, maka masalah mula timbul. Lemah daya pengaruh menyebabkan gerak kerja pengurusan menjadi terbantut. Ini semua berpunca daripada masalah komunikasi.

                Masalah komunikasi pula pastinya berpunca daripada MINDA. Minda yang memberi input kepada tubuh badan untuk berkomunikasi. Minda yang negatif akan menghasilkan komunikasi yang negatif. Minda yang lemah akan menghasilkan daya komunikasi yang lemah.

Perkara ini sering saling berkaitan :
ISU/MASALAH – PENGURUSAN – KOMUNIKASI – MINDA

                Maka perlunya anda menyediakan diri dan AJK bawahan anda dengan persediaan bekalan yang baik. Persediaan minda seperti kefahaman fikrah yang jelas, kefahaman Fiqh Khamsah, pemikiran positif dan imaginasi yang cemerlang. Persediaan komunikasi seperti seni berkomunikasi antara lelaki dan wanita, daya pengaruh dan kemahiran menyampai. Persediaan kemahiran strategi pengurusan seperti kemahiran pengurusan kepejabatan, pemfailan, pengurusan program dan format terkini.

                Apabila aspek tersebut anda mampu kuasai dengan baik, maka mudahlah bagi anda terus ke peringkat menyelesaikan sebarang isu dan masalah. Juga dalam memimpin sesebuah organisasi.

                Kesalahan yang sering berlaku adalah apabila anda terus fokus kepada penyelesaian isu semata-mata sehingga terlupa kepada pembinaan minda, komunikasi dan pengurusan.

THE APPRENTICE

                Pada sesi lepas (sesi 10/11), BKAWM telah melancarkan sebuah program bernama The Apprentice. Berkonsepkan mentor dan mentee. Setiap AJKT memiliki mentee masing-masing dan mentee tersebut akan dipantau dari semasa ke semasa. Program sokongan seperti Program Pembangunan Mahasiswa Islam (PROMISE) dan tugasan berkumpulan juga telah bayak membantu barisan mentee dalam mencari bekalan sebelum kembara. Mereka akan diberi pengisian sebelum mereka menjalankan tugasan masing-masing sama ada di peringkat unit mahupun program.

                Alhamdulillah konsep ini memberi hasil dan kesan yang baik. Ada di kalangan peserta yang kini sudah berkhidmat sebagai AJKT BKAWM dan ada juga menjadi AJKT PERUBATAN. Kini usaha tersebut masih diteruskan dengan program Smart Generation (SINERGI) dan masih mengekalkan konsep yang sama.

Tahniah dan terima kasih kepada semua barisan pelaksana, mentor dan mentee.

Penulis : Adlly Bokhari ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Bekalan Kembara ini dipublish oleh Adlly Bokhari pada hari Tuesday, April 17, 2012. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Bekalan Kembara
 

0 comments:

Post a Comment