Dunia Mahasiswa

Masuk kandang kambing mengembek…
Masuk alam mahasiswa, jadilah mahasiswa…

4 OGOS 2008

                Tarikh ini merupakan tarikh penerbangan saya bersama Kak Hana (N.P HEWI 1 BKAWM 11/12) ke bumi Mesir. Juga merupakan tarikh hari kelahiran saya kali ke-19. Ini merupakan penerbangan saya buat kali kedua ke bumi Mesir dan mungkin kali ke enam bagi Kak Hana. Perpisahan bersama keluarga yang tercinta mungkin merupakan proses yang biasa sahaja bagi saya memandangkan sejak kecil lagi sudah biasa berjauhan daripada keluarga.

                Setibanya kami di Mesir, kami di sambut oleh ustaz Hakim (Hakim Burger) membawa kereta Mitsubishi Lancer berwarna putih yang disewanya. Saya ditempatkan di asrama Selangor buat sementara waktu sebelum ke bumi Shoubra. Hampir dua minggu juga berkongsi bilik dan katil bersama ustaz Yazid, mantan Yang Dipertua BKASM 10/11.

                Beberapa hari sebelum Hari Tautan Silaturahim (HTS) peringkat DPM [MAQAZ] Shoubra berlangsung, saya telah dijemput oleh ustaz Abdul Rahman bersama ustaz Hafis Rejab untuk dibawa ke Shoubra. Perjalanan daripada Hayyu ‘Asyir ke Shoubra mengambil masa sekitar 30 minit. Di Shoubra saya ditempatkan di rumah sewa sementara, serumah dengan ustaz Don Danial.

                Terima kasih kepada semua abang-abang Selangor dan Shoubra yang telah banyak membantu saya di peringkat awal di bumi Mesir ini.

KESEDARAN PERTAMA

                Ketika di alam persekolahan, kita berada di bawah jagaan ibu bapa. Ibu bapa sering menasihati dan memantau kelakuan anak-anaknya. Peraturan sekolah juga mengongkong kebebasan seseorang pelajar itu untuk melakukan sesuatu mengikut sesuka hati. Ini sesuai dengan peringkat umur ketika itu yang masih dalam proses pematangan.

                Setelah tamat pengajian di alam persekolahan dan terus melangkah ke bumi Mesir ini. Ramai dalam kalangan kita yang mengalami kejutan budaya atau istilah kampungnya ‘culture shock’. Mereka tidak lagi berada di bawah pantauan ibu bapa. Bebas berada di perantauan. Mereka tidak lagi terkongkong dengan cikgu-cikgu disiplin. Bebas melakukan sebarang tindakan.

                Memiliki rumah sewa sendiri, komputer sendiri, motosikal sendiri. Wah, memang dunia milikku!

                Di sinilah pentingnya peranan kesedaran anda terhadap dunia apakah yang sedang anda tempuhi sekarang? Adakah dunia kebebasan? Ataupun dunia tanpa sempadan? Sedarilah bahawa anda kini sedang menempuhi alam mahasiswa. Alam yang penuh dengan tanggungjawab kepada masyarakat. Alam yang menuntut kejituan disiplin diri dan alam di mana anda membentuk kematangan diri masing-masing.

                LANGKAH PERTAMA untuk menjadi mahasiswa yang cemerlang adalah dengan anda SEDAR bahawa anda kini berada di alam mahasiswa. Tidak boleh lagi berkelakuan seperti budak-budak sekolah menegah. Tidak boleh lagi berkelahi mulut seperti pelajar sekolah rendah. Anda adalah mahasiswa yang menggalas tanggungjawab dalam menyampaikan dakwah kepada seluruh umat.

MENJADI MAHASISWA

                Selepas minda anda memainkan peranan dengan kesedaran bahawa anda kini berada di alam mahasiswa. Maka ia secara langsung akan memberi kesan kepada kesediaan anda untuk berubah menjadi mahasiswa. Pastinya anda tidak akan memilih untuk menjadi mahasiswa yang pasif apatah lagi yang gagal. Kita semua mahu menjadi mahasiswa yang cemerlang, kredibiliti dan proaktif dalam pelbagai aspek.

                Alatan peribadi seperti buku nota, planner, telefon bimbit dan komputer riba amat memainkan peranan dalam membantu anda menjadi seorang mahasiswa proaktif. LANGKAH KEDUA adalah anda mampu mengaplikasi kegunaan barangan peribadi dengan baik.
               
                Bagaimana mahu dijadikan contoh sebagai mahasiswa jika masih menggunakan kotak pensel yang bercorak kartun? Bagaimana pula mahu digelar sebagai mahasiswa jika planner dan buku nota masih tidak mampu dikendali dengan baik? Ini belum diperbincangkan lagi bab pemfailan, akaun dan sebagainya.

                Pernah satu ketika dahulu saya menegur ahli perjumpaan yang hampir semuanya hadir tanpa membawa sebarang buku nota mahupun catatan. Tanpa buku nota dan catatan, tiada bezanya antara perjumpaan itu dengan sembang-sembang di gerai makan.

                Dalam alam mahasiswa anda pasti mengalami cabaran dalam pengurusan masa. Jadual kelas yang padat, kelas tambahan hujung minggu, tugasan dalam persatuan, urusan peribadi dan bermacam-macam lagi tuntutan yang membuatkan anda terdesak dan kesuntukan masa. Maka jalan penyelesaiannya adalah anda perlu mengurus masa. Antara item yang membantu anda dalam mengurus masa adalah buku planner. Di dalam planner anda boleh mengatur jadual, mesyuarat dan temu janji. Dari sinilah anda mampu mengurus masa anda dari semasa ke semasa.

                Jangan biarkan masalah pengurusan masa anda membawa kepada masalah lain seperti masalah stres dan masalah kewangan. Pengurusan masa perlu diambil berat dalam anda menempuhi alam mahasiswa ini. Urus kesibukan anda, jangan biarkan ‘kesibukan’ mengurus anda.

PENAMPILAN UNTUK KEJAYAAN

                LANGKAH KETIGA untuk menjadi mahasiswa adalah dengan merubah PENAMPILAN. Daripada penampilan pelajar sekolah kepada penampilan mahasiswa. Penampilan yang mempamerkan keyakinan dan jati diri. Baik dari sudut penampilan sikap mahupun penampilan dalam berpakaian.

                Penampilan yang dimaksudkan semestinya penampilan yang berimejkan Islam. Juga penampilan yang kemas dan sederhana. Tidak terlalu terkesan dengan trend terkini atau kononnya up to date. Berdasarkan kajian pakar psikologi, penampilan seseorang dari sudut rupa paras, pemakaian dan air muka amat memberi kesan kepada daya pengaruh seseorang individu tersebut.

                Bayangkan jika seseorang individu itu memasuki mesyuarat dengan berkain pelekat dan berbaju t-shirt, pastinya segala pandangan dan hujahnya dipandang lemah dan tidak memberi kesan kepada keputusan mesyuarat. Berbeza pula jika individu yang sama itu memasuki mesyuarat dengan mengenakan blazer, kemeja, bertali leher, seluar hitam dan berstoking. Pastinya daya pengaruh individu tersebut meningkat dan memberi kesan kepada mesyuarat.

                Bukan imej yang kita kejar. Bukan populariti yang kita gilakan. Namun dalam berdakwah perlunya kepada daya pengaruh, agar segala mesej dakwah yang hendak disampaikan lebih mudah dan berkesan.

CAKNA ISU SEMASA

                LANGKAH KEEMPAT sebagai mahasiswa yang proaktif, anda perlu sentiasa CAKNA ISU SEMASA. Sentiasa cakna dan bukan bermusim. Cakna kepada isu di Malaysia, cakna kepada isu umat Islam sedunia, dan cakna kepada isu mahasiswa. Bagaimana anda mahu bertindak dalam berdakwah andai isu semasa tidak diketahui?

                Sifat yang hanya bersendirian, tidak mengambil peduli pihak lain dan hanya menguruskan hal peribadi sahaja adalah merugikan diri anda dan juga merugikan pihak lain. Anda rugi kerana tidak mampu memberi manfaat kepada masyarakat. Dan masyarakat juga rugi kerana tidak dapat mengambil manfaat daripada anda.

 Kontinjen Wilayah Persekutuan menyertai Konvensyen DPM kali ke-4, mereka bersama-sama dalam mendepani isu mahasiswa.

                Pada masa kini amat mudah untuk anda mendapatkan sumber-sumber info isu semasa. Baik info itu bersumber daripada sahabat anda, ataupun daripada Facebook dan bahan-bahan bacaan lain. Segala-galanya ‘mudah dicapai’. Maka tiada alasan dalam mendapatkan maklumat tentang isu terkini. Jadilah seorang individu yang cakna dengan perkembangan sekeliling, moga anda mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan masyarakat juga mampu menikmati manfaat daripada anda.

KOMITMEN

                Saban hari bersama BKAWM saya menerima tugasan. Belajar menerima komitmen dan memberi komitmen. Di sana abang dan kakak senior memberi tunjuk ajar dan bimbingan nasihat kepada saya dalam menjalankan tugasan yang diberi. Baik selaku AJK kecil yang mengedar iklan, hinggalah ke tahap Yang Dipertua. BKAWM memberi saya ruang dan peluang untuk berkomitmen.

                LANGKAH KELIMA dalam menjadi mahasiswa, anda perlu dan pastinya memiliki KOMITMEN dalam organisasi dan masyarakat sekeliling. Dan pastinya di sana memerlukan kepada kemahiran, pengurusan dan kesabaran yang tinggi. Jalan penyelesaiannya bukanlah dengan anda mengurangkan tahap komitmen tersebut, tetapi adalah satu cabaran kepada anda untuk terus memberi komitmen kepada tugasan dan tanggungjawab.

                Daya kekuatan komitmen anda amat diperlukan dan amat berguna dalam kehidupan seharian. Bukan sahaja ketika kita di alam mahasiswa, bahkan sehingga ke alam kerja dan berkeluarga juga membutuhkan kepada komitmen yang tinggi. Belajarlah untuk berkomitmen bermula hari ini.

                Jangan pandang masalah sebagai masalah, pandanglah setiap masalah sebagai cabaran. Cabaran yang perlu dihadapi bukan dielak. Adanya masalah masa, maka itu adalah cabaran kepada anda untuk mengurus masa. Adanya masalah kewangan, maka itu adalah cabaran kepada anda untuk mengurus kewangan. Jika anda memandang masalah sebagai masalah, maka diri anda sebenarnya yang bermasalah!

                Jika anda tidak mahu terikat dengan mana-mana komitmen, hanya mahu sekadar belajar berkawan, makan dan tidur sahaja. Maka fikir-fikirkanlah, apa bezanya anda dengan mereka yang masih di bangku sekolah.

                Bagaimana pula mahu menjadi seorang yang berkomitmen tinggi? Tipnya mudah sahaja, belajarlah untuk menerima tugasan. Bermula dengan tugasan-tugasan yang kecil dan fokus sepenuh hati dalam menjalankan amanah tersebut. Dengan izinNya anda akan menemui jalan dan ruang untuk ke peringkat seterusnya.

 Sesi fotografi selepas tamat Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) kali ke-11, sesi pentadbiran ustaz Hisyam, mantan YDP BKAWM 08/09. Mereka semua telah mempersembahkan komitmen yang luar biasa, dan terus berbakti sehingga hari ini di posisi masing-masing.

LANGKAH KEDUA

                 “Assalamualaikum Adlly, ana nak lantik anta jadi unit disiplin MAT ni…” kedengaran suara ustaz Khairul Aswad samar-samar di telefon bimbit saya. Ustaz Khairul Aswad menelefon saya dari Mesir ketika saya sedang bercuti di Malaysia. Saya hanya bersetuju memandangkan saya sempat pulang ke bumi Mesir sebelum tarikh MAT tersebut berlangsung.

                MAT BKAWM kali ke-11 berlangsung selepas beberapa hari pulang dari bercuti di Malaysia. Saya diberi tugasan sebagai Ketua Unit Disiplin MAT dan dibantu oleh Timbalan Unit Disiplin, ustazah Azizah. Tarikh MAT tersebut juga menyaksikan kenaikan saya dan sahabat-sahabat lain selaku Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) BKAWM bagi sesi 2009/2010.

Langkah kedua saya di dalam dunia BKAWM bermula…

 Sesi taaruf barisan AJKT BKAWM sesi 2009/2010 selepas pengumuman rasmi oleh pihak SPR BKAWM 08/09.

                “Sila beri tunjuk ajar kepada ana, ana ni tak de pengalaman sangat, sekadar pencuci cawan di Café je la…” antara ucapan saya ketika sesi taaruf barisan AJKT BKAWM sesi 2009/2010. Pelbagai perasaan bermain ketika itu, mungkin juga kerana gemuruh dalam menerima amanah baru yang cukup berat ketika itu.

                Selepas majlis selesai, saya naik ke rumah 601, bilik belakang 601 merupakan bilik ustaz Ali Imran ketika itu. Merebahkan tubuh ke katil. Mengambil ruang untuk berehat. Beberapa minit kemudian telefon bimbit saya berbunyi, inbox saya menerima message daripada Kak Hana. Kak Hana mengucapkan tahniah atas perlantikan saya selaku AJKT dan beliau memberi beberapa kalam nasihat. Sedar tak sedar, saya sudah menjadi salah seorang daripada AJKT BKAWM. Apa perlu saya lakukan? Apa patut buat? Bermacam-macam persoalan bermain di minda saya. Hanya mampu tersenyum dan bersedia untuk meneruskan tugasan pada hari-hari seterusnya.

                Beberapa hari kemudian barisan AJKT mendapat pengesahan portfolio. Saya memegang portfolio Unit Perumahan, Kesenian Dan Sukan (UPKS) dan dibantu oleh Timbalan Unit, ustazah Ashikin. Unit yang menghimpunkan gerak kerja perumahan, kemasyarakatan, kesenian, kesukanan, rehlah dan Skuad Bakti Suci (SBS). Unit yang banyak ‘memaksa’ saya untuk memiliki pelbagai kemahiran. Belajar baiki alatan rumah yang rosak, belajar menghasilkan iklan, belajar buat video, belajar urus rehlah, belajar berurusan dengan arab dan macam-macam lagi. Semuanya belajar dari ‘kursus percuma’, anjuran UPKS.

“Air yang bertakung tidak mengalir akan dirosakkan oleh statiknya itu, pemuda yang banyak masa lapang (tidak aktif) akan dibunuh oleh masa lapangnya itu.” – Pepatah Arab.



Penulis : Adlly Bokhari ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Dunia Mahasiswa ini dipublish oleh Adlly Bokhari pada hari Sunday, April 15, 2012. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Dunia Mahasiswa
 

0 comments:

Post a Comment