Pemimpin Vs Pengurus

Bukan sekadar mengurus, tetapi jadilah pemimpin yang memimpin…

MEMIMPIN ATAU MENGURUS

                Pengurus adalah individu yang memastikan semua gerak kerja dilaksanakan mengikut perancangan dan mengurus berdasarkan etika kerja semata-mata.

                Pemimpin pula adalah individu yang memastikan setiap keputusan dan tindakan adalah pilihan yang terbaik. Meneliti dari pelbagai aspek termasuk aspek politik, kebajikan, imej dan kredibiliti. Sentiasa memimpin dan menambah nilai pihak di sekeliling mereka.

                Dalam dunia persatuan anda tidak boleh sekadar mengurus, anda perlu memimpin. Masalah sering timbul apabila ada individu yang mengurus unit atau program yang dipimpinnya.

Ciri-ciri pemimpin :

1. Memastikan orang bawahan mampu melaksanakan tugas mengikut kemampuannya.
2. Memberi nasihat dan kaunseling kepada ahli yang bermasalah.
3. Memberi penghargaan kepada ahli yang cemerlang dan membuat contoh kepada ahli yang lain.
4. Mengenal ahli bawahan dan meluangkan masa untuk bermesra dengan mereka.
5. Sentiasa memberi tambah nilai kepada ahli.
6. Membuat keputusan berdasarkan pelbagai aspek seperti aspek politik, kebajikan dan imej.

Ciri-ciri pengurus :

1. Memastikan tugasan selesai mengikut jadual.
2. Memecat pekerja yang bermasalah.
3. Menaikkan pangkat dan gaji mereka yang cemerlang.
4. Bertemu dengan pekerja jika perlu dan atas urusan kerja sahaja.
5. Matlamat organisasi adalah utama.
6. Membuat keputusan yang kurang risiko.

                Perhati kembali kaedah dan cara anda bekerja, adakah anda mengurus unit anda, atau memimpin? Kadangkala terdapat individu yang menerapkan ciri-ciri pengurus dalam memimpin tanpa disedari.

KEJAYAAN BERSAMA

                Sebagai pemimpin, anda perlu fokus pada kejayaan bersama. Setiap gerak kerja memberi manfaat kepada AJK, unit dan program yang dibawa. Kehadiran peserta yang ramai dalam sesebuah program dan hasil pulangan kewangan yang baik hanyalah kejayaan kepada gerak kerja sahaja. Bagaimana pula dengan keadaan AJK anda? Adakah kemahiran mereka semangkin meningkat? Adakah hubungan ukhuwah mereka semakin kukuh? Atau sebaliknya?

                Aspek–aspek ini perlu diberi perhatian dalam anda memimpin sesebuah organisasi. Jangan terlalu tergesa-gesa dalam melakukan tindakan. Berbincanglah dengan AJK anda agar setiap keputusan disepakati bersama. Rujuklah pimpinan atasan agar setiap tindakan mendapat bimbingan.

                Semoga di pengakhiran tugasan nanti anda selaku pemimpin mendapat hasil gerak kerja seperti yang dirancang. AJK anda juga mendapat tambah nilai dari  aktiviti yang dilaksanakan dan program juga berjaya berjalan dengan lancar.

 Kumpulan nasyid Paradise mendapat tempat pertama ketika pertandingan nasyid sempena Program Menyambut Hari Kemerdekaan (PMHK) EKSPO GEMPAK PMRAM 2009. Turut bersama kumpulan Paradise, Ustaz Azizul Ghouth (dua dari kiri, bawah) merupakan pemegang anugerah ahli kehormat BKAWM 09/10.

JANGAN URUS EMOSI DENGAN EMOSI

“Ustaz, bagaimana nak mengurus banyak unit, berhadapan dengan ahli yang bermacam-macam masalah dan tambah pula dengan masalah stres sendiri?” soal seorang peserta kursus kepimpinan kepada saya ketika sesi soal jawab.
“Pertama sekali, anda kena tahu bahawa anda adalah manusia yang normal, mempunyai emosi dan perasaan…” saya memberi pencerahan awal.

                Jika anda menghadapi masalah masa, maka uruslah masa dengan kaedah yang betul. Bukan mengurusnya dengan keadaan yang emosi kerana ia pasti akan membawa kepada keputusan yang tidak matang. Begitulah juga dengan memimpin AJK bawahan, pimpinlah mereka dengan berhemah bukan dengan emosi atau ego yang tiada pangkal akhirnya.

Selalunya masalah emosi berpunca daripada stres. Stres terbahagi kepada tiga kategori :

1. STRES FIZIKAL
Stres yang berpunca daripada tekanan fizikal seperti keletihan tubuh badan dan cuaca panas. Jika anda mengalami stres fizikal. Maka ambil sedikit masa untuk berehat. Rehat yang berkualiti.

2. STRES PSIKOLOGI
Stres yang berpunca daripada masalah tekanan mental seperti jadual padat dan masalah kewangan. Kenal pasti punca masalah stres ini dan urusnya dengan cara yang terbaik. Minta nasihat sahabat-sahabat atau sekurang-kurangnya berkongsi masalah dengan mereka.

3. STRES FISIOLOGI
Stres yang berpunca dari masalah sistem badan seperti lapar, luka dan perubahan hormon. Kenal pasti punca masalah dan atasinya dengan berhemah.

                Jika anda mengalami stres, langkah pertama adalah kenal pasti puncanya. Kemudian cuba atasinya dengan baik. Jangan memaksa diri anda dalam melawan stres. Jangan mengeluarkan keputusan-keputusan yang penting ketika dalam keadaan stres.

Jangan bermain dengan emosi kerana ianya tiada pengakhiran…

“Tidak masuk syurga sesiapa yang di dalam hatinya ada sebesar zarah sekalipun sifat ego.” – Hadis Riwayat Muslim.

Penulis : Adlly Bokhari ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Pemimpin Vs Pengurus ini dipublish oleh Adlly Bokhari pada hari Wednesday, April 18, 2012. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Pemimpin Vs Pengurus
 

0 comments:

Post a Comment