Persepsi Vs Stres

PENGURUSAN STRES : BAHAGIAN 2

Reaksi anda terhadap stres kadang-kala lebih memudaratkan daripada kesan stres itu sendiri…

            “Aaaah serabut nya…” seorang sahabat saya (bertaraf exco) memasuki bilik saya, terus terguling-guling di atas katil sambil bermain dengan telefon bimbitnya. “Kenapa dengan kau ni?” saya cuba memulakan bicara. “Serabut la… serabut-serabut...” dia tetap mengulangi perkataan yang sama sambil berguling-guling. Sekali tengok lucu juga reaksinya, dua kali fikir, saya perlu bantunya keluar dari keserabutan yang sedang dihadapinya.

            Berdasarkan situasi tersebut, biasanya individu yang ‘serabut’ sedar bahawa mereka sedang mengalami stres. Namun mereka agak lemah atau gagal dalam mengurus stres tersebut. Dibiarkan sahaja perasaan itu bermain di jiwa. Stres tidak boleh dibiarkan begitu sahaja, stres perlu diurus dan perlu dilepaskan. Jika stres terus dipendam di dalam jiwa, maka ia akan memberi kesan kepada diri anda. Memberi kesan kepada kualiti setiap gerak kerja anda.

            LANGKAH PERTAMA dalam menangani stres adalah dengan mengesan dari mana punca stres tersebut. Anda boleh mengesan punca stres dengan BERFIKIR sejenak, ambil sedikit masa untuk memahami dari manakah punca perasaan ‘serabut’ tersebut. Anda juga boleh MENULIS di dalam buku peribadi anda, senaraikan segala masalah yang sedang anda hadapi. Anda juga boleh BERBINCANG dengan mereka yang lebih senior atau berpengalaman, bertukar-tukar pendapat mengenai masalah yang anda sedang hadapi.

Apa yang penting adalah anda perlu mulakan langkah pertama…

            Secara umumnya punca stres terbahagi kepada tiga jenis, anda perlu mengenali dan memahami apakah punca stres yang anda sedang alami bagi memudahkan anda mengatasi stres tersebut.

1. Stres Fizikal
Stres fizikal adalah stres yang berpunca daripada tubuh badan anda yang memberi tindak balas. Stres ini berpunca diakibatkan oleh kesan luaran seperti membawa barang berat, panas dan sebagainya. Stres fizikal juga terhasil apabila tubuh badan anda keletihan. Kadangkala anda sudah menyelesaikan segala tugasan harian anda, suasana di sekeliling anda juga amat ceria dan tenang namun anda masih berasa stres. Ini kemungkinan besar adalah stres yang berpunca daripada keletihan badan anda. Maka ambillah rehat secukupnya untuk menangani stres.

2. Stres Biologi
Stres biologi adalah hasil daripada kesan sistem badan anda seperti dahaga, lapar dan perubahan fisiologi akibat kecederaan atau penyakit. Pastikan anda setiap hari anda cakna pada kesihatan tubuh badan anda. Dapatkan makanan yang  seimbang setiap hari. Jika perlu, ambillah pil multivitamin bagi memastikan tubuh badan anda mendapat sumber vitamin yang secukupnya.

Pastikan jadual makan harian anda betul. Ada sarapannya, ada makan tengah hari dan ada makan malamnya. Jangan makan ikut sesuka hati sahaja, jangan biarkan diri anda dalam keadaan terlalu lapar dan jangan juga makan sehingga terlalu kenyang. Ini bagi memastikan tubuh badan anda menerima nutrien makanan dengan sebaiknya. Ingat, makan untuk kesihatan, bukan makan untuk kepuasan!

3. Stres Psikologi
Stres psikologi pula adalah hasil daripada tindak balas pemikiran dan persepsi anda terhadap ancaman seperti harga diri, persaingan, banyak hutang dan sebagainya. Stres ini bergantung pada pemikiran dan persepsi anda terhadap sesuatu perkara yang berlaku. Jika anda menghadapi masalah dan melihatnya dari sudut positif, maka anda akan mengalami tekanan stres yang agak kurang berbanding jika anda melihat sesuatu masalah itu dari sudut negatif, maka anda akan mengalami tekanan stres yang agak lebih. Pastikan anda sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi segala cabaran setiap hari.

            Ada juga sesetengah individu yang mengambil jalan melepaskan stres dengan makan dan minum sesuka hati. Tiada masalah selagi mana anda memakan dan minum bahan yang sihat.

            Elakkan daripada meminum minuman bergas yang terlalu banyak kerana kandungan gula dan pewarnanya yang tinggi. Jika ingin minum minuman jus, elakkan meminum minuman jus kotak yang biasa. Kerana selalunya kandungan jusnya hanyalah 10% dan selebihnya adalah perisa dan gula. Minumlah minuman jus asli sama ada jus asli di dalam kotak mahupun jus yang diperah langsung dari buah. Elakkan juga minuman ais atau terlalu sejuk kerana ia akan menjejaskan tahap stamina anda.

 Minuman Hot Chocolate Bonjorno antara minuman pilihan saya. Minum sambil merehatkan minda anda. Harganya berpatutan, sepaket kecil LE1.25. Sedap juga jika ditambah satu sudu kecil kopi.

Antara teh kegemaran saya adalah Ahmad Tea, boleh didapati dalam pelbagai perisa. Perisa paling best adalah perisa Strawberry, Apple dan Peach And Passion Fruit. Teh ni kalau nak sedap, bancuh pekat, satu uncang untuk satu mug dan gula jangan terlalu banyak. Harganya juga berpatutan, sekotak sekitar LE9.00.

Lepas senaman petang, sesuai minum air kurma asli At-Tahhan. Masukkan 3 sudu besar pati kurma ke dalam cawan dan campur dengan air masak. Memang sedap, asli dan bertenaga. Produk At-Tahhan ni kalau anda berminat, terus sahaja hubungi saya, huhu…

Terdapat pelbagai jenis minuman kopi yang menarik antaranya seperti kopi Cappuccino jenama Shaheen. Cappuccino Shaheen boleh didapati dalam beberapa jenis campuran, antaranya Cappuccino Chocolate dan Cappuccino Irish Cream. Sepaket LE1.50 sahaja. Kedai Kopi Shaheen berdekatan di Bank HSBC ‘Abas ‘Aqad.

STRES YANG MEMBANTU

            Stres diperlukan untuk merangsang diri anda maju ke hadapan. Stres boleh memberi motivasi dan menjana inspirasi seseorang untuk mengerah segala potensi diri dalam menghasilkan kejayaan luar biasa. Untuk mendapat kejayaan optima dalam kehidupan, tidak dapat tidak anda memerlukan tekanan dalam kehidupan seharian anda. Namun perkara paling utama adalah bagaimana anda mengurus tekanan stres itu.
           
            Rahsia kejayaan adalah membentuk imbangan supaya anda tidak terlampau menekan diri dan tidak terlampau leka. Tanpa kesedaran mengurus tekanan ini, stres yang sepatutnya membantu dan mendorong anda boleh bertukar menjadi stres yang memudaratkan. Reaksi stres itu tidak boleh dikatakan baik atau tidak, ia bergantung kepada cara anda bereaksi kepada stres dan cara anda mengurusnya. Sama ada ia menjadi dorongan yang kreatif atau musuh yang merosakkan diri, anda yang menentukannya. Pilihlah untuk mengurus stres ke arah kejayaan.

STRES YANG MEMUDARATKAN

            Pendedahan yang berulang dan berterusan kepada stres boleh melemahkan seseorang kepada penyakit fizikal dan emosi yang tidak stabil. Anda juga akan mengalami kecelaruan mental dan kerohanian yang tidak tenteram. Ini menjadi lebih parah jika dalam kehidupan anda tiada aktiviti kemasyarakatan, aktiviti riadah atau aktiviti yang berbentuk santai. Aktiviti ini semua mampu membentuk ketenangan dan keseimbangan jiwa. Ketiadaan aktiviti seperti ini akan membuatkan anda hilang kecekapan mengendalikan cabaran dalam kehidupan. Hidup menjadi murung. Tiada keceriaan warna-warni dalam kehidupan.

            Stres menjadi memudaratkan apabila anda memilih untuk membiarkan sahaja stres tersebut terbuku di dalam hati. Kadang-kala punca stres itu telah berlaku bertahun-tahun yang lepas. Tekanan stres terus membengkak di dalam jiwa. Di sinilah bermulanya punca utama kebimbangan, kemarahan, perasaan bersalah dan ketakutan yang manifestasi stres yang terus bermain di minda dan  perasaan anda. Contoh stres seperti ini ialah perasaan hasad dengki.

            Keadaan gelisah yang berpanjangan menghasilkan paras hormon adrenalina dan kortison yang lebih tinggi. Terlampau banyak adrenalina membuatkan diri cepat marah, penat dan gelisah. Terlampau banyak kortison akan menekan fungsi pertahanan badan dan memudahkan diri mendapat penyakit. Tanpa rehat, riadah dan masa untuk pulih dari ketegangan akan menyebabkan stres bertindih di atas stres yang sebelumnya dan ini akan memudaratkan badan.
           
PERSEPSI POSITIF

            Harmoni dalam diri adalah penting untuk membina pemikiran kreatif, pengamatan tepat dan menyelesaikan masalah. Jika tiada harmoni dalam diri, pengamatan juga akan lemah, kerana mata kita mematuhi reaksi minda. Contohnya jika anda berada dalam kemurungan  maka anda akan mudah berasa hilang daya apabila berhadapan dengan cabaran. Apabila anda hilang daya maka bukit akan kelihatan setinggi gunung dan kolam seluas dan sedalam lautan. Kehilangan daya ini juga akan membuat anda gagal melihat kepada sumber atau potensi yang sebenarnya ada pada diri.

            Belajar bertenang, melepaskan masalah, memaafkan insan lain dan merelakan sesuatu perkara itu berlaku. Ini adalah penting untuk keharmonian dalam diri, kebahagian kehidupan dan kesihatan tubuh badan anda.

“Anda tidak diganggu oleh sesuatu yang berlaku, tetapi oleh pendapat anda tentang apa yang berlaku”

            Untuk memulihkan harmoni dalam diri anda mestilah belajar mengenali dan membaiki persepsi, sikap dan kepercayaan pada diri. Hidup dengan baik dalam diri dan anda akan belajar hidup dengan baik dengan dunia sekeliling anda. Bina persepsi positif dalam menghadapi setiap masalah. Lihat semua masalah sebagai satu cabaran dalam kehidupan anda. Jika anda melihat satu masalah sebagai masalah, maka anda bermasalah. Jadikan masalah sebagai cabaran.

            Sentiasalah berdoa kepada Allah s.w.t semoga kita semua dapat mengharungi cabaran hidupan dari semasa ke semasa dengan baik dan sentiasa di bawah petunjukNya.

“Ya Allah, janganlah Engkau serahkan diriku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata” – Riwayat Abu Daud

Penulis : Adlly Bokhari ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Persepsi Vs Stres ini dipublish oleh Adlly Bokhari pada hari Sunday, April 22, 2012. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Persepsi Vs Stres
 

0 comments:

Post a Comment