Best Vs Stres

PENGURUSAN STRES : BAHAGIAN 1

Jika anda bijak mengurus stres, maka stres akan membantu anda dalam mencapai matlamat yang anda tujui…

            Musim peperiksaan tiba lagi. Pelbagai persediaan perlu dilakukan bagi mendapat hasil yang terbaik. Persediaan bahan bacaan, persediaan meja belajar, persediaan kesihatan dan juga persediaan mental. Di musim peperiksaan inilah juga bermacam-macam ujian yang muncul. Tidur pun serba tidak kena, makan pun selera macam-macam, mandi pun di tempat wuduk, stok koleksi movie pula kian bertambah, memang terbaik…

            Antara ujian utama yang pasti kita semua alami adalah ujian perasaan. Masalah dalam menghadapi tekanan perasaan atau bahasa umumnya STRES. Stres adalah perkara normal. Hanya orang tidak normal sahaja yang tidak mengalami stres. Maka masalah stres bukanlah untuk di elakkan, bukan juga untuk dibuat tidak tahu sahaja. Stres adalah satu cabaran kepada kita semua. Cabaran dalam mengurus stres.

Best juga ada stres, namun sejauh manakah anda memahami dengan sebenar maksud stres?

            Stres adalah keadaan resah, cemas dan sebagainya di sebabkan akibat tekanan mental atau fizikal. Stres juga merupakan tindak balas dari minda dan fizikal terhadap perubahan-perubahan yang berlaku di persekitaran anda. Secara umumnya, stres adalah istilah yang merangkumi maksud tekanan, beban, konflik, keletihan, ketegangan, panik, perasaan gemuruh, bimbang, kemurungan dan hilang daya. Gejala stres ini terhasil apabila seseorang itu berasa yang keperluan melebihi dari keupayaan atau sumber yang ada pada dirinya.

            Faktor persepsi memainkan peranan yang penting dalam diri seseorang. Jika anda memandang sesuatu perkara itu dengan persepsi yang negatif, maka anda akan mengalami tekanan stres. Sesuatu rangsangan luaran yang hanya bersifat neutral itu boleh menghasilkan  pengamatan yang berbeza antara dua individu yang berlainan dan yang seterusnya menghasilkan  tindak balas yang berbeza.

            Bagaimana kita mengamati kehidupan adalah ditentukan oleh cara kita menerima diri sendiri. Oleh itu, sesuatu realiti itu bukan dijadikan untuk kita, tetapi untuk dibentuk oleh kita sendiri. Bergantung pada diri seseorang, ada individu yang bangkit dengan cabaran dalam kesukaran kehidupan, ada pula individu yang mengelak. Ada yang terus hidup bergelumang dengan kesukaran dan ada yang terus hilang daya dalam meneruskan kehidupan mereka. Hanyut dibawa arus hidup.

Adakah anda tidak mengambil peduli tentang stres?
Adakah anda cuba mengelak daripada stres?
Atau adakah anda mengambil langkah bijak dengan mengurus stres tersebut?

KESAN STRES

Masalah stres adalah antara isu utama yang melanda masyarakat umum. Semua manusia normal tidak akan terkecuali daripada menikmati stres.

            Apabila seseorang individu itu tidak mampu mengurus stres dengan baik, maka stres akan menguasai diri mereka. Mereka akan mempamerkan stres tersebut sama ada secara sedar atau pun tidak sedar. Sebagai seorang pemimpin, amat penting untuk anda mengenali dan mengesan kesan stres ini pada orang bawahan anda bagi memudahkan anda memberi nasihat atau tugasan kepada mereka. Sebagai seorang sahabat pula anda perlu mengenal pasti sahabat-sahabat di sekeliling anda sama ada mereka sedang mengalami stres atau pun tidak.  Kesan-kesan stres dapat dilihat pada seseorang individu itu melalui beberapa perkara :

1. Cara pemikiran
Pemikiran mereka yang sedang stres akan menghasilkan keputusan yang tergesa-gesa dan tidak matang. Mereka yang stres juga akan sukar untuk memberi keputusan kerana pemikiran yang sedang berserabut.

2. Air muka
Mereka yang sedang mengalami stres akan mempamerkan air muka yang tidak tenang. Ini dapat dilihat melalui kerutan dahi, jelingan mata, mimik bibir dan sebagainya.

3. Kaedah komunikasi
Kaedah komunikasi mereka yang sedang stres akan berubah secara langsung. Ada individu yang lebih banyak berdiam diri ketika stres. Ada juga yang lebih gemar bergurau ketika stres.

4. Tingkah laku
Tingkah laku mereka yang sedang mengalami stres juga akan berubah. Kebanyakan individu akan lebih cenderung untuk bersendirian apabila menghadapi stres. Mereka juga akan mengambil jalan mudah untuk melepaskan stres seperti keluar berhibur.

5. Penampilan dan imej
Mereka yang tidak mampu mengurus stres dengan baik akan mempamerkan kesannya secara langsung melalui penampilan dan imej mereka. Penampilan mereka akan kelihatan tidak menarik.

            Jadi perhatikanlah diri anda dan mereka yang berada di sekeliling anda, adakah anda mempamerkan kesan-kesan stres ini apabila anda menghadapinya? Menerima stres adalah perkara normal, perkara yang penting adalah bagaimana anda menguruskannya. Fahami punca stres, atasi stres dengan pengurusan yang berhemah, dan teruskan hidup dengan pemikiran yang positif dan optimis.

 Buku bertajuk ‘How to Stop Worrying anda Start Living’ (Bagaimana Berhenti Bimbang Dan Teruskan Kehidupan) antara buku yang membincangkan tentang bagaimana menangani cabaran hidup, dan membina kehidupan kita di jalan yang terbaik. Karangan seorang motivator dunia, Dale Carnegie. Beliau menghimpunkan kisah dan pengalaman beliau dalam menangani masalah kehidupan pelbagai lapisan masyarakat secara realiti.

KISAH DALE CARNEGIE

            Dale Carnegie merupakan seorang motivator yang terkenal di peringkat antarabangsa, antara karya penulisan beliau adalah buku motivasi berjudul How To Win Friends And Influence People. Buku tersebut telah terjual lebih 16 juta cetakan di serata dunia.

            Dale Breckenridge Carnegie dilahirkan pada 24 November 1888 di Maryville, Missouri. Dibesarkan di dalam sebuah keluarga petani yang amat miskin. Merupakan anak kedua kepada pasangan James William Carnegey dan Amanda Elizabeth Harbison.

            Ketika berusia remaja, beliau terpaksa bangun seawal 4.00 pagi bagi memerah susu lembu bagi membantu keluarganya. Beliau kemudiannya menyambungkan pengajian di State Teacher’s College di Warrensburg. Selepas menamatkan pengajian, beliau melakukan pelbagai jenis pekerjaan. Daripada menjual sabun hingga menjual trak.

            Di dalam buku beliau bertajuk How To Stop Worrying And Start Living, beliau telah menceritakan tentang kehidupan beliau. “Pada 35 tahun yang lepas, saya tergolong di kalangan mereka yang paling malang di New York. Saya bekerja sebagai penjual trak. Namun saya tidak memahami bagaimana trak itu berfungsi, bahkan membenci pekerjaan itu” beliau menceritakan kisah hitam dalam hidupnya kepada pembaca. Ketika bekerja sebagai penjual trak itulah beliau telah mengambil keputusan untuk merubah kehidupannya.

            Beliau merasakan bahawa kehidupan beliau telah menjadi amat teruk. Beliau amat merindukan pengalaman dan impiannya ketika kuliah dahulu, beliau merindukan saat-saat yang tenang ketika membaca dan menulis buku. “Saya yakin dengan menamatkan pekerjaan ini, saya tidak akan rugi, bahkan akan menguntungkan diri saya. Telah tiba masanya untuk saya membuat perubahan.”

            Beliau mengambil keputusan untuk memasuki bidang pendidikan dan latihan pembangunan insan. Beliau telah membuat permohonan untuk mengajar kursus penyelidikan di Colombia University dan New York University. Permohonan beliau itu ditolak mentah-mentah.

            Kemudian beliau permohonan untuk bekerja di YMCA bagi mengajar kelas malam. Pihak YMCA bersetuju untuk mengambil beliau dengan bayaran yang murah. Beliau bersetuju, tetapi cabaran yang besar sebenarnya adalah apakah yang perlu beliau mengajar di dalam kelas malam tersebut?

            Pelajar yang hadir di dalam kelas tersebut terdiri daripada golongan orang dewasa yang ingin meningkatkan ilmu pengetahuan mereka bukan melalui sekeping sijil, tetapi melalui latihan yang dapat mereka praktikkan di dalam kehidupan seharian. Pihak YMCA pula mahu beliau menunjukkan prestasi yang baik dalam masa yang singkat. Kebanyakan pelajar di dalam kelas tersebut membayar yuran secara ansuran, maka jika prestasi beliau tidak baik, pelajar tidak akan membayar yuran dan YMCA akan menamatkan perkhidmatan beliau.

            Beliau mendapat idea dengan mengajar pelajarnya mengenai ilmu komunikasi dan pengaruh, juga menjadikan kelasnya sebagai platform untuk para pelajar bertukar-tukar pendapat dan menyelesaikan masalah harian yang mereka hadapi. “Saya perlu mendorong pelajar saya, menyelesaikan masalah-masalah yang mereka hadapi dan setiap jam diisi dengan pelajaran yang menarik sehingga mereka terus berminat mengikuti pelajaran seterusnya.”

            Hasilnya, kelas beliau telah mendapat sambutan luar biasa. Sehinggakan pihak YMCA terpaksa membayar kepada beliau lebih hampir lapan kali ganda daripada bayaran asal. Melalui YMCA ini kehidupan beliau menyinar. Beliau juga bersyukur atas hikmah penolakan dua universiti sebelum ini.

            “Sekarang saya bersyukur kepada tuhan kerana mereka menolak permohonan saya, disebabkan itu saya ditawarkan mengajar kelas-kelas malam YMCA”, tulis beliau di dalam prakata buku How To Stop Worrying And Start Living.

            Karya penulisan pertama beliau adalah buku bertajuk Public Speaking : A Practical Course For Business Men, diterbitkan pada tahun 1926. Diikuti oleh buku Public Speaking And Influence Men In Business pada tahun 1932. Penulisan beliau yang mendapat sambutan luar biasa adalah buku bertajuk How To Win Friends And Influence People yang diterbitkan pada tahun 1936. Merupakan buku terlaris pada tahun 1937 dan dicetak sebanyak 17 kali dalam beberapa bulan sahaja. Buku ini masih dicetak sehingga hari ini dan telah dialih bahasa kepada 40 bahasa.

            Beliau meninggal dunia pada 1 November 1955 dan telah meninggalkan warisannya merupakan penulisan buku beliau dan sebuah konsultan Dale Carnegie Institute for Effective Speaking and Human Resource, peninggalan beliau telah memberi perubahan kepada berjuta-juta orang di seluruh dunia.

Penulis : Adlly Bokhari ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Best Vs Stres ini dipublish oleh Adlly Bokhari pada hari Thursday, April 19, 2012. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Best Vs Stres
 

0 comments:

Post a Comment