Susah Senang, Gelak Bersama

16 Mac 2012

                Selepas selesai solat Isyak, semua ahli pasukan bola Wilayah Persekutuan telah pun bersiap sedia untuk bertolak ke Dumyat bagi menyertai kejohanan bola sepak di sana. Perjalanan ke Dumyat daripada Kaherah mengambil masa sekitar lima jam.

                Kejohanan bola sepak tersebut berjalan seperti biasa. Pada hari kedua kejohanan tersebut, 18 Mac, salah seorang daripada pemain bola pasukan Wilayah Persekutuan telah mengalami kecederaan. Beliau bernama Khairul Fikri bin Helmi Azhar, 18 tahun. Beliau telah dikejarkan ke hospital di Dumyat dan pada peringkat awalnya mereka hanya menyangka Fikri mengalami seliuh di bahagian lutut.

 Pasukan bola sepak Wilayah Persekutuan bergambar sebelum bertolak ke Dumyat.

                Saya hanya mendapat berita tentang kecederaan Fikri setelah mereka pulang ke Kaherah. Saya tidak turut bersama ke Dumyat. Pada ketika itu ibu jari kaki kiri saya terkehel akibat terjatuh, masih dalam keadaan belum pulih sepenuhnya. Tulang ibu jari saya ‘terkeluar’ dari tempat asalnya. Akhirnya ibu jari saya ‘dikepak’ kembali ke kedudukan asalnya oleh doktor di University Aim Shams. Sebuah pengalaman yang menarik bagi saya, mungkin…

                Setelah hampir tiga minggu, keadaan lutut Fikri masih tiada perubahan. Kami membawa Fikri ke Hospital Taufiqiyyah di Abas Aqad bagi rawatan selanjutnya. Setelah membuat pemeriksaan dan X-ray, doktor menyarankan untuk beliau menjalani scan MRI. Hasil scan MRI menunjukkan Fikri mengalami cedera pada dua ligamen di lututnya dan beliau perlu menjalani rawatan terapi selama 6 hari berturut.

 17 April 2012, kami menyambut ulang tahun kelahiran Fikri kali ke-18.

SUSAH SENANG, GELAK BERSAMA

                Fikri menjalani rawatan terapi di Hopital Taufiqiyyah. Setiap malam selepas Isyak kami akan membawa Fikri ke sana sama ada menaiki kereta Encik Yahya atau sewa kereta luar. Agak sukar untuk menaiki teksi apatah lagi motor. Kadangkala ustaz Haziq yang membawa kereta, kadangkala Ilman dan kadangkala saya sendiri yang membawa kereta.

                Lokasi rawatan terapi tersebut berada di tingkat paling bawah. Kawasan tersebut tidak ramai pesakit, kawasannya lengang sahaja. Tetapi setiap kali kami ke sana pasti riuh. Mana tidaknya, kerja gelak saja. Hendak berkomunikasi dengan doktor itu pun sudah bermacam-macam gaya, sekejap bahasa arab, sekejap speaking, akhirnya gelak juga menjadi ‘kesimpulannya’. Doktor dan pekerja di sana pun sudah mengenali dan mesra dengan  kami. Terdapat beberapa jenis rawatan terapi yang dijalani. Setiap kali rawatan, doktor akan meletakkan sejenis mesin di lutut Fikri. Mengalirkan getaran elektrik ke otot-otot di sekitar lututnya. “Rasa macam kena kejutan elektrik, kadang-kadang rasa macam denyutan jantung” kata Fikri.

 Fikri sedang menjalani rawatan terapi.

                Kemudian doktor akan membawa beliau ke dalam bilik latihan, bilik seolah-olah sebuah gym. Fikri akan diminta untuk mengayuh ‘basikal’ secara perlahan-lahan. Semua rawatan terapi ini bagi memastikan otot lutut beliau dapat terus berfungsi.

 Kami di bilik latihan untuk pesakit. Fikri sedang kayuh basikal, kami pula seolah-olah memberi sorakan semangat kepada beliau.

                “Emm bau kopi, macam sedap je Yop…” kata saya pada Fitry pada satu malam ketika kami menghantar Fikri ke hospital. Ketika itu saya dan Fitry berada di hadapan Hospital. Ilman pula sedang membawa Fikri masuk ke dalam hospital. Saya dan Fitry terus berjalan ‘mengekori’ bau kopi tersebut. Akhirnya menemukan kami dengan kedai kopi Shaheen. Kedai kopi tersebut menjual bermacam-macam jenis produk kopi seperti biji kopi, serbuk kopi, minuman kopi dan beberapa lagi produk lain. Saya membeli beberapa jenis kopi di dalam paket. Kualitinya memuaskan dan harga pun berpatutan.

                Sepanjang bersama menemani Fikri ke hospital, beliau banyak berkongsi pengalaman beliau bersama kami. Antaranya pengalaman beliau ketika berada di rumah lama Darul Rahim. Rumah lama Darul Rahim bertempat berdekatan dengan hospital tersebut. Segala selok-belok jalan dan kedai di sekitar Abas Aqad Fikri telah mahir. Setiap kali selepas rawatan terapi kami akan sama-sama keluar makan malam. Tidak perlu buka katalog atau menu restoran tersebut, tanya sahaja pada Fikri, pasti beliau akan mencadangkan menu dan gerai yang terbaik.

 Menu makan malam, Shistowook ½ meter di restoran Welatain, belakang Ganena Mall.

                Bukan saja-saja menghabiskan masa keluar ke hospital. Bukan saja-saja bergelak-tawa. Bukan saja-saja makan malam bersama. Semua ini adalah bagi memberi sokong kepada sahabat yang ditimpa kemalangan, semoga terus tabah menempuh hari-hari seterusnya. Erti sebuah kefahaman di dalam jaringan ukhuwah. Bukan ukhuwah ‘geli-geli’ semata.

                Terima kasih kepada BKAWM yang telah memberi bantuan Tabung Kebajikan. Terima kasih kepada Encik Yahya kerana bagi pinjam kereta. Terima kasih kepada semua dalam saling bantu-membantu.

Kepada semua pemain bola, mainlah bola dengan berhati-hati…
Kepada semua sahabat-sahabat, selamat menempuhi peperiksaan…

Penulis : Adlly Bokhari ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Susah Senang, Gelak Bersama ini dipublish oleh Adlly Bokhari pada hari Monday, April 23, 2012. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Susah Senang, Gelak Bersama
 

0 comments:

Post a Comment