Hati, Jiwa, Akal

PENGURUSAN STRES : BAHAGIAN 3

Jika kita selalu stres, itu antara petanda merosotnya tahap iman dan kurangnya amalan cara hidup Islam dalam kehidupan kita…

            Dari sudut perspektif Islam, stres bukan sekadar berpunca daripada tekanan mental semata-mata. Bahkan berpunca daripada kecelaruan dan kelemahan hati, roh, jiwa dan akal. Islam mendidik kita untuk melalui jalan hidup yang selamat dan sempurna. Islam mengajar kita untuk sentiasa tenang dengan cara memahami bahawa segala yang berlaku adalah dari ketentuan Allah s.w.t.

            Maka bagi menguruskan stres secara menyeluruh, anda tidak boleh tertumpu pada aspek luaran semata-mata. Pengurusan stres yang berkesan perlu meneliti juga aspek rohani. Statistik menunjukkan bahawa hampir 70% pesakit yang mengunjungi hospital adalah berpunca daripada stres. Stres boleh menyebabkan pelbagai penyakit kronik jika tidak di urus dengan sempurna.
Buku perubatan cara Rasullah s.a.w ini telah dikarang oleh Imam Ibn Qayyum Al-Jauziyah lebih 650 tahun yang lepas. Karangan beliau telah diterjemahkan kepada beberapa bahasa lain. Perubatan secara Islam ini membuktikan hubungan kait rapat antara kesihatan rohani dan jasmani perlu seiringan. Buku ini boleh didapati di Maktabah Darussalam.

KELEMAHAN HATI

            “Ish dia ni, buat sakit hati aku jer…” ayat yang biasa kita dengar dalam bualan seharian. Adakah ‘sakit hati’ itu bermaksud kepada kelemahan hati? Adakah ‘panas hati’ itu membawa maksud kepada kelemahan hati? Kelemahan hati yang sebenar adalah apabila seseorang individu itu jauh daripada Allah s.w.t. Kurang amal ibadahnya, kurang mengadu kepada Allah s.w.t dan sering bergelumang dengan dosa.

            Kelemahan hati yang menyebabkan lemahnya hubungan individu itu dengan Allah s.w.t. Memberi kesan kehidupan menjadi sempit, seolah-olah tiada jalan keluar dari setiap masalah. Apabila hati kotor, maka akan timbul perasaan dan persepsi yang negatif dalam diri anda seperti hasad dengki, dendam dan sebagainya.

“Sesiapa yang berpaling dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan kami akan himpunkan dia di hari qiamat dalam keadaan buta” - Surah Taaha : 124

            Hati yang baik mempunyai unsur yang sangat halus (latifah) ketuhanan (rabbaniah) dan kerohanian (ruhaniah). Sucikan hati anda dengan amalan seperti banyakan berzikir dan membaca Al-Quran. Lapangkan hati anda, sentiasalah berfikiran positif.

            Banyak individu telah mengalami stres tetapi terus dengan cara kehidupan yang sama dengan menggunakan penafian. Seseorang individu itu akan menggunakan mekanisme minda untuk mempertahankan diri dari sedar akan keadaannya yang sebenar. Merasionalkan perbuatannya itu atas sebab-sebab yang boleh diterima. Contohnya seorang perokok itu menidakkan keadaan paru-parunya yang tidak sihat dan mengatakan merokok itu baginya melegakan stres.

            Mekanisme mempertahankan diri ini agak sesuai dalam mengendalikan diri semasa berhadapan dengan stres yang besar tetapi bukan cara yang baik untuk mengatasi masalah atau stres yang berpanjangan. Pengawalan stres yang berjaya ialah dengan bersikap “Apa yang boleh dilakukan” bukannya “Kalaulah...”. Bertindak melegakan stres akan membantu diri anda hidup dalam keadaan sihat dan cergas.

KELEMAHAN JIWA

            Al-Imam Al-Ghazali, memberi pengertian An-Nafs itu sebagai satu unsur yang halus yang mana dialah hakikat manusia. Ia mempunyai bermacam-macam sifat dan bermacam-macam keadaan. Apabila keinginan negatif dan keburukan menguasai hati itulah yang dikatakan ‘nafs lawwamah atau nafs ‘ammaratu bissu’. Apabila ketenangan, ketenteraman dan kejernihan menyelubungi hati itu, maka itulah yang disebut oleh Allah s.w.t dengan ‘nafsul mutmainnah’ :

“Wahai jiwa yang tenang kembalilah kepada Tuhanmu dengan penuh keredaan maka masuklah ke  dalam kumpulan hamba hambaku yang berbahagia dan masuklah ke syurga ku” – Surah Al-Fajr : 27-30

            Roh  menghidupkan jasad atau badan maka kekuatan roh itu dinilai dari sudut mengenali Allah s.w.t. Semakin ia kenal Allah, semakin kuat dan mantap roh itu. Jika tidak, jadilah roh itu roh yang lemah yang mudah diganggu dan diresapi oleh Syaitan. Peliharalah roh anda dengan sentiasa melakukan ibadah kepada Allah s.w.t.

            Stres berganding erat dengan ketakutan. Takut kegagalan, takut dalam pengharapan, takut perubahan, takut seseorang, takut imej diri yang tidak baik, takut kejayaan, takut akan tidak dapat melakukan sesuatu adalah antara bermacam-macam jenis takut. Takut tidak dapat melakukan sesuatu adakalanya menghalang seseorang itu memulakan sebarang usaha.

            Penawar paling baik kepada takut tidak dapat melakukan sesuatu ialah dengan terus melakukannya. Takut seperti juga stres ada positif dan negatifnya. Bila berhadapan dengan ketakutan adalah lebih wajar mengambil kira realiti dan bukan dongengan atau kebimbangan yang tidak realistik. Berani untuk menerima perasaan takut dan mengawal atau menakluki ketakutan itu.

“Sesungguhnya berjayalah mereka yang membersihkan jiwanya. Dan rugilah mereka yang mengotorinya” – Surah As-Syams : 9-10

KELEMAHAN AKAL

            Kelemahan akal berpunca dari kejahilan atau sedikit ilmu seseorang. Mereka yang lemah akalnya pasti akan menemui pelbagai masalah dan sukar untuk mengatasinya walaupun kadangkala masalah itu hanyalah masalah yang remeh. Atasi kelemahan akal dengan menimba ilmu, banyakan bahan bacaan dan sumber ilmu selain ilmu yang anda pelajari di pusat pengajian anda.

            Jika anda mahukan diri anda lebih baik daripada semalam, maka setiap hari anda hendaklah sentiasa dalam keadaan menimba ilmu. Bawalah buku ke mana jua anda pergi dan jika ada masa lapang terus membacanya walau sedikit. Amalkan budaya membaca dan mencari ilmu dalam hidup anda.

            Maka jelaslah bahawa kunci utama untuk mendapat kebahagian hidup adalah dengan menjaga hati, jiwa dan akal. Sentiasa hidup berlandaskan syariat Islam. Semoga dengan izinNya kita semua dapat menikmati kehidupan dunia dan akhirat dengan sempurna.

“Allah tidak akan menguji manusia melainkan sepadan dengan keupayaan mereka menghadapinya.” – Surah Al-Baqarah : 286

Penulis : Adlly Bokhari ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Hati, Jiwa, Akal ini dipublish oleh Adlly Bokhari pada hari Monday, April 23, 2012. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Hati, Jiwa, Akal
 

0 comments:

Post a Comment