Memimpin Tanpa Syarat

Cinta sejati, bercinta tanpa syarat…
Pemimpin sejati, memimpin tanpa syarat…

SYARAT BAYANGAN

“Susah la nak siapkan laporan ni, komputer aku rosak…”
“Esok aje la kita pergi beli barang tu, sekarang tak de motosikal la…”
“Tak payah print la, tulis tangan je, printer rosak, nak print dekat luar mahal pulak nanti..”
“Ni bukan kerja aku ni, biar je la…”

                Antara contoh ‘syarat’ yang diletak oleh sesetengah individu dalam mereka bekerja. Syarat bayangan tanpa mereka sedari. Syarat yang melemahkan daya gerak kerja. Syarat yang dalam bahasa lainnya adalah ‘alasan’.

                Mereka sudah memahami etika kerja. Mereka merupakan pemimpin yang memimpin. Mereka memiliki ilmu pengurusan yang baik. Namun terperangkap dalam syarat yang diletakkannya sendiri tanpa disedari. Ini berbeza dengan ‘halangan’. Halangan adalah sesuatu di luar pilihan anda seperti kemalangan. Alasan pula perkara yang anda cipta dan hadirkan.

                Koreksi kembali kaedah anda bekerja. Adakah anda bekerja dengan meletakkan pelbagai alasan dan syarat? Perbaiki kemahiran anda dari semasa ke semasa pasti di sana anda bertemu dengan mutiara-mutiara berharga.

Hendak seribu ‘like’, ta nak seribu ‘komen’…

 Kasih bapa tiada bersyarat. Melawat Fatimah Nabawiyah, anak sulung kepada ustaz Hairul Nizam (mantan YDP BKAWM, mantan Presiden PMRAM) di rumah tetamu Perak A.

ROBOT PORTFOLIO

                Setiap kali mesyuarat kali pertama mana-mana peringkat AJK pelaksana, pasti adanya pembentangan bidang tugas atau portfolio. Ini bagi memastikan setiap AJK memahami skop bidang tugas masing-masing. Namun perlu difahami bahawa selaku individu yang bekerja secara efisien, gerak kerja anda bukan hanya tertakluk di dalam senarai bidang tugas itu semata-mata.

                Tanggungjawab di dalam portfolio dan tanggungjawab di dalam budaya masyarakat perlu anda raikan bersama. Tanggungjawab budaya bagi siswa adalah seperti mengangkat tong gas, menjadi musyrif dan membaiki lampu. Tanggungjawab budaya bagi siswi pula seperti menyediakan jamuan selepas mesyuarat dan mengingatkan ketua tentang hal-hal kecil. Individu itu akan mampu memimpin dengan jayanya apabila dia memahami dan melaksanakan kedua-dua aspek tanggungjawab ini.

                Dalam bekerja juga anda tidak boleh terlalu menunggu arahan. Sekali ketuk, selangkah jalan. Anda perlu menjadi pekerja yang proaktif. Aktif mencari peluang dan ruang. Menghasilkan perkara yang bernafas baru. Sentiasa bersemangat dan dinamik. Sebagai contoh AJK promosi perlu aktif dalam menjalankan aktiviti promosi program tersebut sama ada dalam bentuk iklan cetak, Facebook, blog, sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya. Jangan hanya menunggu arahan pengarah semata-mata. Jangan menjadi robot!

                Fahami etika kerja dan fahami skop bidang tugas. Minta nasihat pihak atasan dan sentiasa membuat rujukan. Tiada perkara lagi yang akan menghalang anda kecuali diri anda sahaja, teruslah bergerak laju dan mara ke hadapan.

PASSION, PASSION, PASSION

                Kekuatan, tenaga dan semangat dalam bekerja dapat dijana melalui ‘keghairahan’ (passion) anda terhadap perkara yang anda lakukan. Dengan adanya passion dalam bekerja, maka kekuatan lain akan datang secara langsung. Anda akan terus bersemangat walau menghadapi pelbagai cabaran dalam menjalankan tugas tersebut. Dalam kata lain anda perlu ‘menjiwai’ tugasan yang diberi.

                Jika diberi jawatan selaku perumahan, maka anda perlu menjiwai tugasan tersebut. Jadikan tugasan tersebut sebagai kerjaya dan hobi anda. Anda perlu sedia menghadapi cabaran-cabaran yang bakal unit perumahan hadapi. Menyedia segala kelengkapan yang perlu sebagai seorang AJKT perumahan dari aspek kemahiran, perhubungan dan aset. Jika diberi jawatan selaku teknikal, maka anda perlu ‘proud’ dengan tugasan tersebut. Hadir awal sebelum majlis bagi mempersiapkan alatan teknikal. Cakna dengan alatan-alatan WIMAC dan sebagainya. Begitulah seterusnya, walau di mana posisi anda diletak, anda terus bersemangat dalam bekerja. Tidak memilih kerja apatah lagi lari dari tanggungjawab.

Selaku unit jamuan, gembira…
Pegang ketua unit disiplin, bersemangat…
Berpeluang jadi pengarah, cool
Jadi hisbah, let’s roll out

                Amat pelik lagi menyedihkan jika ada individu yang bekerja dalam keadaan tiada passion. Bekerja dalam keadaan tiada perasaan. Lesu tidak bermaya. Maka akan menghasilkan gerak kerja yang ‘gersang’. Idea kreatif tidak akan hadir jika anda bekerja tanpa passion. Cabaran-cabaran kelihatan seperti masalah yang terlalu rumit.

                “Ana pelik betul dengan anta, happy je memanjang…” seorang sahabat saya cuba meluahkan ke’khuatiran’nya kepada saya. Cabaran dan masalah pasti ada di dalam bekerja. Namun yang utama adalah bagaimana kita berhadapan dan mengurusnya.

                Pastinya kefahaman dalam bekerja perlu diletakkan di hadapan sekali. Kemudian dilengkapi dengan passion dan kemahiran. Bekerjalah tanpa alasan, memimpinlah tanpa syarat. Tiada siapa yang akan membantu anda kecuali diri anda. Tiada siapa menghalang anda untuk menjadi luar biasa kecuali diri anda. Anda menentukan siapa diri anda.

“Cintailah perkara yang anda lakukan, dan lakukan perkara yang anda cintai” – Donald Trump.

 Kiri sekali, ustaz Rahman (ketua Penasihat BKAWM 11/12) dengan beberapa sahabat dari BKMIP (Pahang) sedang menguruskan perpindahan pelajar baru masuk ke ARWP. Mereka bekerja dengan penuh dedikasi tanpa mengharapkan sebarang balasan.

BE THE 2%

                “Adlly, kita ada masa seminggu je ni…” kata ustaz Ali Imran yang baru sahaja disahkan pelantikannya selaku pengarah hari keluarga BKAWM bagi sesi 09/10. Program tersebut diberi nama Federal Territory’s Student Family Day In Egypt 2010 (FIESTA’10). Saya diminta oleh ust Ali Imran untuk menjadi Timbalan Pengarah 1 dan kami dibantu oleh ustazah Hazirah Azizan, selaku Timbalan Pengarah 2. Dalam masa seminggu kami terpaksa melantik barisan Eksekutif, mencari sumbangan, merangka program, menjayakan bazar, pameran dan sebagainya. Namun hasil usaha gigih dan daya pemikiran pengarah yang kreatif membawa kepada kejayaan program. Ustaz Ali Imran membuktikan beliau mampu melakukan luar dari biasa. Beliau telah banyak mengajar saya erti ‘never say never’.

                Ustaz Al Hafiz (matan S.U.A BKAWM 07/08, penasihat BKAWM 08/09) merupakan seorang yang gigih dan berfikiran ‘luar kotak’. Beliau juga selaku pengurus Kuala Lumpur Cairo Café (KLCC) dan wakil Media Azhar bagi jualan Kamus Miftah di Mesir. Pelbagai cabaran beliau hadapi namun diatasi dengan berhemah. Antara kemahiran beliau, mampu memasak seorang diri dengan jumlah yang banyak dalam tempoh yang singkat. Ustaz Al Hafiz telah membuktikan bahawa beliau mampu melakukan sesuatu dengan cara yang luar biasa. Beliau telah banyak mengajar saya erti kehidupan sebenar, menilai kembali segala nilai.

 Wajah-wajah bakal bapa, kiri sekali, ustz Al Hafiz (mantan S.U.A BKAWM 07/08), kanan sekali, ustaz Hisyam (mantan YDP BKAWM 08/09) bersama-sama anak-anak ustaz Ibrahim di bilik pameran sempena FIESTA’10.

                Banyak lagi contoh-contoh individu luar biasa seperti ustaz Hairul Nizam, ustaz Fairus, ustaz Syed Kadir dan ustzah Haizun. Mereka semua telah mempamerkan prestasi yang cemerlang dan sehingga kini masih terus berbakti di posisi masing-masing.

                Jika anda melakukan perkara yang rutin, anda hanya mengulangi dan meneruskan tradisi sahaja. Tiada apa yang berbeza. Anda perlu keluar daripada pemikiran dan tindakan yang orang umum lakukan. Untuk mencapai kejayaan yang luar biasa, anda perlu keluar daripada golongan 98% orang umum. Anda perlu menjadi golongan 2%, iaitu golongan individu yang luar biasa. Bertindak, berfikir dan semangat secara luar biasa.

Jadilah luar biasa hebat, untuk Islam…

Penulis : Adlly Bokhari ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Memimpin Tanpa Syarat ini dipublish oleh Adlly Bokhari pada hari Wednesday, April 18, 2012. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Memimpin Tanpa Syarat
 

0 comments:

Post a Comment