Antara Dua Dunia

Lelaki penuh dengan fakta dan rasional…
Wanita pula kaya dengan emosi dan perasaan…

HAKIKAT PERBEZAAN

“Assalamulaikum ustaz, maaf ganggu, ustaz ada dekat mana ya sekarang ni?” saya mendapat panggilan daripada seorang siswi.
“Waalaikumusalam, ana ada di rumah” jawab saya ringkas.
“Ustaz sibuk tak sekarang?” tanya siswi itu lagi.
“Tak, kenapa ya?” jawab saya ringkas dan bertanya semula, mungkin mahu segera mengetahui sebab panggilan tersebut.
“Ustaz boleh tak tolong hantarkan tong gas ke rumah ana?” akhirnya siswi tersebut menyatakan hasrat sebenarnya.
“Boleh” jawab saya ringkas lagi.
“Ustaz boleh hantar sekarang ke tong gas tu?” siswi itu menduga.
“Boleh” jawab saya.
“Eh tak pe la ustaz, ana nak keluar ni, nanti ana call semula, assalamualaikum ustaz, maaf ganggu…” siswi tersebut mengakhirkan perbualan.
“Kenapa tak cakap nak tong gas je, kan senang, tak payah nak sembang panjang-panjang” ngomel saya seorang diri.

                Ada kalanya pernah juga saya menerima panggilan yang terlalu ringkas daripada kalangan siswa. “Nanti ana hantar surat tu dekat anta.” terus siswa tersebut menamatkan panggilan. Panggilan yang cukup ringkas, hanya mengandungi fakta yang hendak disampai. Tiada pembuka dan penutup bicara. Sungguh ‘rasional’ siswa tersebut!

                Ini mungkin pengalaman yang saya sendiri alami. Pengalaman yang mewakili sebahagian golongan tertentu. Anda mungkin berhadapan dengan individu yang berbeza-beza perwatakannya. Hakikatnya inilah realiti, lelaki hanya memerlukan fakta dalam berkomunikasi. Manakala komunikasi wanita pula bersulam emosi. Lelaki mahukan komunikasi yang ringkas dan padat. Wanita pula perlukan komunikasi yang sempurna huraiannya. Kedua-duanya saling melengkapi.

                Saya bukanlah pakar psikologi, bukan juga pakar motivasi. Hanya sekadar berkongsi pengalaman yang pernah saya lalui.

LAMPU SULUH VS LASER

                Seorang lelaki memiliki sembilan rasional dan satu emosi. Berbeza dengan wanita yang memiliki sembilan emosi dan satu rasional.

                Dalam kehidupan seharian seorang lelaki, mereka hanya berkehendak kepada perkara yang rasional sahaja. Keadaan bilik yang ringkas. Menu makanan pun asal kenyang dan kaedah komunikasi juga ringkas sahaja. Inilah sebab lelaki agak lemah dalam memahami wanita yang kaya dengan emosi.

                Wanita pula merupakan individu yang inginkan kesempurnaan. Mereka lebih mahir dalam perkara yang halus berbanding lelaki kerana mereka memiliki sentuhan naluri yang tinggi. Mereka cekap dalam menyediakan keadaan bilik yang sempurna dan menu makanan yang menarik. Inilah juga sebab wanita selalu gagal dalam memenangi pemikiran lelaki yang penuh dengan rasional.

                Lelaki ibarat cahaya laser yang mampu pergi jauh. Lelaki selalu melihat perkara yang terkehadapan dan terus menuju ke arah tersebut. Namun titik fokusnya kecil sahaja. Berbeza dengan wanita, pemikirannya ibarat lampu suluh. Mampu lihat dengan kadar yang luas. Wanita mampu melihat perkara-perkara yang lebih terperinci dan hal-hal kecil berbanding lelaki. Namun cahaya lampu suluh itu tidak mampu pergi jauh seperti cahaya laser. Kedua-dua unsur ini saling melengkapi.

                “Eh ustaz, macam mana dengan tema warna persiapan? Set kelengkapan pinggan VIP nak guna ke?” pihak timbalan memainkan peranan dalam memantau perkara yang teknikal. “Erm ana serah pada ustazah je, ana nak kena settlekan urusan bas peserta, lagi penting.” pihak ketua yang inginkan komunikasi yang ringkas dan lebih fokus pada perkara yang lebih besar.

                Ini antara format komunikasi yang sering berlaku. Pihak wanita perlu memainkan peranan dalam memantau perkara yang lebih teknikal dan jangan pelik jika pihak lelaki kurang cakna hal ini. Pihak lelaki pula perlu memainkan peranan dalam menangani isu yang lebih besar dan jangan pelik jika pihak wanita terlalu banyak cakna hal sampingan berbanding hal utama yang anda lihat.

                “Ustaz, kad nama tak siap lagi ni.” timbalan cuba mengingatkan ketuanya. “Tak de kad nama pun tak pe la, ana nak kena settle benda lagi penting, tempat program tak dapat lagi ni…” ketua cuba memberi penerangan bercampur sindiran. “VIP punya hadiah nak beli apa ya?” timbalan memberi asakan soalan seterusnya. “Ala ustazah kan dah besar, pandai-pandai je la…” gurauan ketua yang sudah mula rimas dengan soalan-soalan remeh. “Erm…” akhirnya timbalan malas bersuara. Ini antara contoh perkembangan komunikasi yang tidak baik.

SALING MEMAHAMI

Berpesanlah kamu kepada wanita dengan cara yang baik. Sesungguhnya wanita itu berasal daripada tulang rusuk. Sesungguhnya sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah tulang rusuk yang paling atas. Jika engkau hendak meluruskan tulang rusuk yang telah bengkok itu bererti engkau hendak mematahkannya, dan jika engkau biarkan begitu sahaja, tentulah tulang selama-lamanya tulang itu dalam keadaan bengkok. Maka kamu terimalah amanah terhadap wanita dengan cara yang baik.” – Hadis Riwayat Bukhari.

                Apabila seorang lelaki ingin berkomunikasi dengan wanita. Gunakan frasa ayat yang lengkap dan arahan yang terperinci dan jelas. Pastikan anda tidak terus fokus kepada isi yang hendak disampaikan. Utamakan perasaan pihak wanita dalam menerima isi komunikasi tersebut. Fahamilah bahawa mereka kaya dengan emosi.

                Bagi wanita yang ingin memenangi komunikasi lelaki. Kurangkan tahap emosi anda. Fokus kepada fakta dan poin yang hendak disampaikan. Ringkaskan struktur ayat anda kerana lelaki tidak minat kepada komunikasi yang berjela-jela dan soalan yang bertimbun. Fahamilah bahawa mereka adalah individu yang kering emosi.

Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) AJKT BKAWM 09/10. BKAWM menyediakan ruang untuk mahasiswa/wi belajar berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain.

                Perkara utama adalah anda perlu sentiasa mencuba untuk memahami dan bekerjasama dengan pihak lain. Jangan hanya mahu memenangkan ego sendiri kerana ini hanya merugikan diri anda dan organisasi. Masalah komunikasi jika tidak dikawal akan membawa kepada masalah gerak kerja dan mungkin juga akan membawa kepada masalah lain seperti stres. Sepanjang pengalaman saya bekerja di dalam persatuan, sering kali berlaku permasalahan komunikasi antara ketua dan timbalan. Namun perkara ini bergantung ke atas sejauh mana usaha mereka dalam saling memahami. Inilah cabaran dalam menurus seni dan kaedah berkomunikasi.
               
                Mengurus masalah komunikasi akan menjadi mudah apabila kedua-dua pihak meraikan kelemahan dan kelebihan masing-masing. Kedua belah pihak memahami peranan masing-masing. Ketua memahami kemampuan timbalan dan timbalan pula memahami rentak kerja ketua. Bukan satu kesalahan jika berlaku masalah dalam komunikasi. Itu adalah perkara normal. Tetapi yang menjadi masalahnya apabila anda tidak tahu cara untuk mengatasinya.

Lelaki sering bertenaga apabila diperlukan…
Wanita sering bersemangat apabila dihargai…

Kuota percakapan lelaki dalam sehari sekitar 5,000 patah perkataan…
Kuota percakapan perempuan dalam sehari sekitar 20,000 patah perkataan… 

Jadilah seorang lelaki yang matang dalam menangani emosi wanita…
Jadilah seorang wanita yang matang dalam mendepani rasional lelaki…

Penulis : Adlly Bokhari ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Antara Dua Dunia ini dipublish oleh Adlly Bokhari pada hari Wednesday, April 18, 2012. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Antara Dua Dunia
 

0 comments:

Post a Comment