Jom Menulis

Tulis jangan tak tulis…
Tiada rugi, manfaat menanti…

Musim peperiksaan sudah rancak berjalan, ada juga yang sudah tamat dan ada juga yang sudah pulang ke Malaysia. Bagi kami pelajar tahun akhir Qiraat Shoubra, peperiksaan telah bermula pada 5 Jun dan bakal berakhir pada 28 Jun, maka pada fasa ini perlu utama yang mana terutama. Membuatkan masa untuk menulis di blog ini terhad.

Alhamdulillah dalam kesibukan tugasan dan juga peperiksaan, buku kedua saya bertajuk 23 TAKTIK LUAR BIASA PENGURUSAN ORGANISASI telah berjaya diterbitkan pada 7 Jun baru-baru ini. Terima kasih kepada semua pembaca yang memberi sokongan kepada saya untuk terus menulis.

BAGAIMANA 23 TAKTIK DITULIS

Setelah penerbitan buku pertama saya, STRATEGI PENGURUSAN INDIVIDU DAN ORGANISASI, saya telah mendapat banyak respons daripada pembaca, khususnya daripada kalangan mahasiswa Mesir. Mereka ingin lebih mendalami dan memahami pengetahuan pengurusan organisasi bukan sekadar teori, tetapi secara realiti dan praktikal.

Pelbagai soalan tentang pengurusan diajukan kepada saya dan saya sering tekankan bahawa saya bukanlah pakar dalam bidang ini, hanya sekadar berkongsi pengalaman. Mohon tunjuk andai ada tersalah.

Buku kedua saya ditulis berdasarkan pengalaman saya sendiri di dalam mengurus organisasi, juga berdasarkan respons daripada persoalan-persoalan yang ditujukan kepada saya. Saya mendapati bahawa ilmu pengurusan perlu di ‘persembahkan’ dalam bentuk yang lebih mudah dan mesra agar mampu mencapai bukan sahaja lapisan atasan organisasi, bahkan juga mampu mencapai lapisan tenaga kerja bawahan.

Maka saya mula menulis dan menyusun buku 23 TAKTIK tersebut dengan membawa mesej pengurusan di tahap yang mudah difahami oleh semua peringkat tenaga kerja. Dengan harapan semoga ilmu pengurusan organisasi bukan sahaja diambil berat oleh peringkat atasan, tetapi juga diambil berat oleh lapisan AJK bawahan.

Saya mengambil masa dua hari suntuk untuk menyiapkan penulisan buku ini, dan mengambil masa sekitar dua minggu untuk urusan pelukis kartun, izin terbit PMRAM dan juga pencetakan.

TIP MENULIS

Tidak kurang juga dengan persoalan “Bagaimana menulis buku?” yang saya terima daripada sahabat dan pembaca. Berikut adalah tip daripada pengalaman saya sendiri yang boleh saya kongsikan, terutama bagi penulis baru :

Kenal Pasti Tajuk, Bahagian, Bab, Topik

Langkah pertama apabila anda ingin menghasilkan buku adalah anda perlu merangka buku yang bakal anda tulis secara menyeluruh. Ibarat seorang arkitek membuat pelan rumah sebelum dibina, begitulah seorang penulis perlu merangka bukunya sebelum menulis. Tetapkan tajuk buku, bahagian, bab dan topik yang bakal anda tulis.

Tidak perlu fikirkan sangat tentang tajuk buku yang bombastik kerana anda boleh memikirkan tajuk yang menarik sambil-sambil anda menulis nanti. Jika tidak mampu target menulis 300 muka surat, maka target sahaja sekitar 50-80 muka surat sudah memadai. Apa yang penting adalah anda MULA MENULIS.

Tulis Pusingan Pertama

Jangan terlalu mendesak otak anda untuk menulis ke tahap antarabangsa. Untuk pusing pertama ini, tulis sahaja semampu anda. Tulis dengan selesa, seperti anda sedang bercakap dengan seseorang. Tulis dengan gaya anda sendiri. Tidak perlu fikir tentang tatabahasa lagi, tidak perlu fikir tentang fakta-fakta berat lagi. TULIS SAHAJA dan terus menulis.

Tulis berdasarkan bab dan topik yang anda telah rangka. Jika ada terlintas idea tentang topik atau bab baru, terus sahaja menambahnya. Peringkat ini adalah peringkat menghasilkan penulisan, belum lagi menilai penulisan.

Ini seolah-olah peringkat pembinaan sebuah rumah yang sedang disusun batu-batanya…

Tulis Pusingan Kedua

Setelah anda siap menulis pusingan pertama, anda boleh melakukan penulisan pusingan kedua. Pusingan ini seolah-olah anda melakukan semakan dan penilaian kepada penulisan anda sendiri. Susun kembali struktur ayat. Betulkan ejaan, istilah dan tatabahasa. Kemaskan struktur perenggan dan sebagainya.

Sediakan kamus di sisi anda bagi memudahkan rujukan maksud ayat-ayat. Fokus kepada kesalahan umum dahulu. Tidak perlu tekankan kepada kesalahan yang kecil lagi.

Ini seolah-olah peringkat pembinaan rumah yang sedang disapu simen dan dipasang bumbungnya…

Bersambung…