Langkah Pertama


Sejuta langkah bermula dengan langkah pertama…

10 MAC 2009

                Hari ini merupakan hari pertama saya ‘bertugas’ di Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM). Seawal jam 10 pagi saya telah bersiap sedia. Berjalan kaki melangkah keluar dari sebuah rumah pelajar Shoubra di Hayyu Sabie’, menyelusur jalan Syari’ Bukhori menuju destinasi ke sebuah bangunan. Bangunan yang bakal menjadi asrama bagi anak-anak Wilayah Persekutuan di bumi Mesir ini.

                Minda ketika itu kosong, hanya yang saya tahu ialah saya telah mendapat panggilan daripada sahabat-sahabat untuk membantu mereka.

                Saya dan hampir sepuluh sahabat-sahabat yang lain dikumpulkan di Kuala Lumpur Cairo Café (KLCC). KLCC ketika itu masih belum beroperasi dan masih belum diberi nama. Semua sahabat-sahabat saya yang dikumpulkan terdiri daripada pelajar daripada cawangan Shoubra. Turut bersama ketika itu ustaz Muhammad Nur Waafi (mantan Bendahari Agung BKAWM 10/11). Kami semua disatukan di bawah Unit Jawatankuasa Khas sempena perpindahan pelajar-pelajar Wilayah Persekutuan di Mesir ke dalam asrama tersebut.

                Unit Khas ini diketuai oleh ustaz Anas, di bawah seliaan ustaz Ali Imran selaku Ketua Unit Perumahan Dan Kebajikan (UPK) BKAWM sesi 2008/2009. Arahan yang kami terima hanya mudah sahaja, pergi ke rumah-rumah ahli wilayah, dan bawa barang mereka ke asrama. Namun tugasan yang kami lalui tidaklah semudah arahan yang diterima, dan itulah realiti dalam berjuang.

TIDAK SEMUDAH YANG DIRANCANG

                Destinasi pertama kami adalah ke Hayyu Asyir, satu persatu rumah ahli kami terokai dan mengumpul barang mereka di bawah bangunan masing-masing. Perancangan awalnya adalah untuk mengumpul semua barang di bawah bangunan dan menunggu lori datang untuk membawanya. Perkhidmatan lori itu disediakan secara percuma oleh kontraktor asrama. Namun semuanya tidak semudah yang dirancangkan apabila lori yang diharapkan tiba pada tengah hari masih belum tiba. Lori tersebut lewat tiba bukan sejam dua, namun lewat tiba pada malam harinya!

                Lebih merumitkan apabila setiap kali barang dan kotak-kotak diturunkan dari rumah penghuni ke bawah bangunan, kami terpaksa menugaskan seorang daripada AJK untuk menjaga barang tersebut. Ini bermakna semakin banyak rumah yang di terokai, semakin kuranglah petugas kami.

                Inilah realiti dalam bekerja, semuanya tidak semudah yang dirancang, hanya mereka yang merasainya sahaja yang memahami hakikat ini. Sebab itulah tidak pelik apabila terdapat individu yang masih baru dalam bekerja, terus memberi idea-idea yang fantastik tanpa berfikir panjang. Mereka masih belum memahami kaedah pelaksanaan dan realiti semasa yang sebenar.

                Pada sebelah malam, setelah beberapa jam menanti akhirnya lori tiba dan barang-barang terus dibawa ke asrama. Barang-barang tersebut di kumpulkan di café terlebih dahulu sebelum di agihkan ke bilik-bilik penghuni. Alhamdulillah proses perpindahan untuk hari pertama berjalan dengan lancar.

 Suasana di café ketika pengumpulan barang-barang, kelihatan di dalam gambar ustaz Khairul Aswad (mantan UPP 08/09) dan ustazah Haizun Hasni (mantan N.P.HEWI 09-11).

                Pada ketika itu hanya satu perkara di dalam minda saya iaitu ingin membantu abang-abang dan kakak-kakak. Tidak lebih dari itu, tidak mengharapkan sebarang ganjaran. Alhamdulillah langkah pertama saya ke dunia BKAWM di bimbing oleh abang dan kakak senior dengan baik.

                Terima kasih juga kepada kakak saya Nurul Hanna yang telah memberi banyak dorongan dan nasihat di peringkat awal ini. Dari tangannya saya menerima borang keahlian BKAWM dan borang masuk ke asrama. “Eh nanti hang isi borang ahli Selangor tu, tulis ahli bersekutu tau, yang KL ni hang tulis ahli tetap” antara pesanan awal Kak Hana kepada saya ketika menyerahkan borang keahlian BKAWM kepada saya. Pada ketika itu saya hanya mengikut nasihat tersebut, dan mungkin kini baru saya memahami maksud sebenar kata-kata itu.

SEBAGAI SENIOR

                Sebagai seorang abang mahupun kakak senior, anda perlu memberi peluang kepada adik-adik membantu dan bekerjasama dengan anda. Jangan hanya mengharapkan mereka hadir dengan sendiri menawarkan bantuan. Mereka tidak datang membantu mungkin kerana segan, mungkin juga kerana tidak tahu apa yang perlu diberi bantuan, mungkin juga terasa tidak diperlukan.

                Memberi peluang bermakna menyediakan ruang untuk mereka berbakti. Bukan sekadar menanti peluang itu sahaja. Maka peranan andalah selaku senior dalam sesebuah keluarga untuk menyediakan peluang kepada adik-adik memberi bantuan kepada anda. Sama ada bantuan itu secara spontan, secara rasmi, mahupun secara lantikan sebagai mentee dan ahli jawatankuasa sesuatu unit.

                Pengenalan dan taaruf seperti bertanya nama, latar belakang dan bertegur sapa belum dikira lengkap tanpa kerjasama. Hasil kerjasama antara senior dan junior akan mencorakkan satu ikatan keluarga yang sempurna. Tanpa perlu di letakkan carta organisasi atau siapa ketuanya, suasana ukhuwah kekeluargaan ini akan bercambah sendiri dengan suburnya.

                Berikan tugasan yang mudah dan mesra pada peringkat awal kepada adik-adik seperti mengangkat barang, membasuh alatan memasak dan membeli barangan di pasar. Lebih baiknya jika anda selaku senior melakukan tugasan itu bersama-sama mereka. Ini secara langsung akan menyediakan mereka untuk lebih bersedia menerima tugasan dan jawatan secara rasmi.

PERANAN KOMUNIKASI

                Gunakan kaedah komunikasi yang lebih mesra seperti “Jom kita angkat barang sama-sama”, berbanding komunikasi yang berbentuk arahan seperti “Nanti anta angkat barang ni ke atas”. Pastinya tiada niat di dalam hati anda untuk memaksa adik-adik dan tujuan anda juga tidak terpesong dari syariat Islam. Namun peranan komunikasi amat penting dalam memberi kesan kepada penerimaan ‘arahan’ tersebut.

                Banyak idea yang bagus, namun kelihatan tidak menarik hanya kerana kelemahan dalam berkomunikasi. Banyak juga idea yang biasa-biasa sahaja, namun nampak menarik dan memberi kesan kepada pihak lain hanya kerana kuasa daya berkomunikasi.

                Seni dan kaedah komunikasi tidak boleh diambil ringan. Bagi menguasai seni tersebut memerlukan kepada latihan dan mengambil masa yang agak panjang. Kemahiran berkomunikasi itu tidak akan datang bergolek. Namun tidak dinafikan ada di sana individu yang berbakat dalam berkomunikasi. Satu anugerah dan nikmat daripada Allah kepada golongan tersebut dan jangan salah gunakan nikmat pemberiannya.

Ustaz Ali Imran, mantan UPK BKAWM 08/09 sedang memeriksa keadaan asrama ketika awal kemasukan.

                Apa yang penting adalah keinginan anda untuk sentiasa menambah baik kaedah berkomunikasi dan sedia menerima teguran. Antara tip bagi menguasai seni berkomunikasi dengan baik :

1. Sentiasa bergaul dengan masyarakat.
2. Memahami perbezaan komunikasi antara lelaki dan perempuan.
3. Sertai kursus dan bengkel berkaitan komunikasi.
4. Membaca bahan bacaan berkaitan komunikasi.
5. Berbincang dan bertukar pendapat dengan sahabat.
6. Sedia memperbaiki kaedah berkomunikasi dari semasa ke semasa. 

JUNIOR BERDEDIKASI

                Kepada adik-adik junior, serlahkan diri anda ke hadapan. Tiada siapa yang akan membawa anda ke hadapan kecuali diri anda sendiri. Hulurkan bantuan semampunya dan terimalah tugasan jika diberi peluang. Kerana di sinilah titik permulaan untuk anda mengenal potensi diri dan mematangkan diri ke alam dunia sebenar.

                Individu biasa hanya menanti peluang, individu yang cemerlang mencari peluang, manakala individu yang luar biasa pula mencipta peluang. Maka amat lemah dan rugilah bagi seseorang individu yang menolak peluang. Lemah kerana menolak peluang dalam bertugas. Rugi kerana menolak peluang mencari pengalaman dalam berpersatuan.

                Kehadiran anda ke bumi Mesir ini pasti tujuan utama adalah untuk belajar. Maka kutiplah segala ilmu dan pengetahuan sama ada dari kelas pengajian mahupun melalui medium berpersatuan.

                Anda adalah rantai-rantai penyambung perjuangan abang-abang dan kakak-kakak senior. Maka pastinya anda mahu menjadi senior yang lebih baik dari yang sedia ada. Jangan malu bertanya dan berkongsi bersama senior. Pastikan anda sentiasa memegang kepada kaedah ‘rujuk’. Jika ada sebarang masalah, maka rujuklah kepada senior. Jika ada sebarang kekeliruan, maka rujuklah kepada senior kalian.
                Jika ada yang tidak berkenan dengan sikap mana-mana senior, jadikan ia sebagai sempadan. Bukan sebagai alasan untuk anda terus jauh daripada mereka. Jadilah junior yang berdedikasi, proaktif dan bersemangat. Semoga bila tiba masa anda menjadi senior kelak, anda juga akan memiliki adik-adik yang berdedikasi.

RALAT YANG MENJADI ADAT

                Kadangkala masih ada individu yang berada dalam situasi yang ralat sama ada mereka sedari ataupun tidak. Ada dalam kalangan senior yang segan untuk bersama adik-adik. Mereka lebih selesa memencilkan diri. Mungkin mereka memegang kepada prinsip tidak mahu menyusahkan pihak lain. Mungkin juga bagi mereka cukup sekadar mereka melaksanakan ibadah dan tidak melakukan maksiat. Kalau begitu, di mana pula mahu letaknya seruan Allah s.w.t tentang tanggungjawab Amar Ma’ruf Wa Nahi Mungkar?

                Ada pula dalam kalangan adik-adik yang tidak mahu bercampur dengan orang ramai. Bagi mereka cukup sekadar belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan segulung sijil untuk dibawa pulang ke Malaysia kelak. Namun sedarilah bahawa realiti kehidupan kita bukan sekadar di dalam kelas pengajian semata-mata. Perlunya kemahiran mengurus stres, kemahiran bermasyarakat, kemahiran mengurus kewangan dan sebagainya.

                Jadilah seorang senior yang memainkan peranan dalam membimbing adik-adik ke arah kebaikan. Jadilah seorang junior yang sedia mencari ilmu pengalaman buat bekalan di dunia dan akhirat. Saling memahami peranan masing-masing dalam membawa dakwah Islam.

Penulis : Adlly Bokhari ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Langkah Pertama ini dipublish oleh Adlly Bokhari pada hari Sunday, April 15, 2012. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 1comments: di postingan Langkah Pertama
 

1 comments: