Pilihan Anda

HIDUP CERIA : BAHAGIAN 1

Keceriaan adalah pilihan, anda berhak memilih kehidupan yang ceria, jadi mengapa perlu bersedih?...

            Semua manusia inginkan kehidupan yang bahagia dan ceria. Malangnya masih ramai yang tidak tahu bagaimana mahu menceriakan diri sendiri. Mereka hanya menanti keceriaan itu hadir dalam hidup mereka sedangkan keceriaan adalah pilihan. Anda berhak memilih untuk hidup ceria dan bahagia. Keceriaan boleh dicipta dan dicari dengan beberapa kaedah dan strategi.

Pastinya Allah s.w.t jualah yang berkuasa mutlak dalam memberi ketenangan dan keceriaan kepada setiap hambaNya. Namun usaha untuk memiliki kehidupan bahagia itu penting. Kenali diri anda, ketahui bagaimana kaedah menceriakan diri anda dan pilihlah untuk terus hidup ceria dan bahagia.

            Keceriaan boleh dijana, dicari dan dimiliki. Perasaan ceria boleh hilang tanpa anda sedari jika anda tidak mahir untuk memeliharanya. Lebih parah jika seseorang individu tersebut langsung tidak mampu menikmati kehidupan yang ceria. Terdapat beberapa kaedah untuk anda menceriakan kehidupan anda. Antara tip untuk hidup ceria adalah :

TIP 1 : KASIH SAYANG

            Sifat kasih sayang adalah sifat semula jadi bagi setiap manusia. Tiada manusia yang mampu hidup dengan sempurna tanpa kasih sayang. Kadangkala anda mungkin berasa murung dan tidak ceria adalah disebabkan kurang memberi atau menerima kasih sayang.

Suburkan sifat kasih sayang di dalam diri anda seperti berjumpa sahabat-sahabat dan bergurau bersama kanak-kanak. Jangan pula 24 jam seharian hidup anda hanya fokus kepada kerja dan belajar semata-mata. Manusia bukan mesin atau robot, manusia memiliki sifat naluri. Sifat kasih sayang perlu dijana dari hati anda dan diberikan kepada mereka yang berada di sekeliling anda termasuklah keluarga, sahabat, pemimpin dan pekerja anda. Dengan cara ini akan menggembirakan hati dan menceriakan kehidupan seharian anda.

            Sifat negatif seperti berdengki, buruk sangka, benci dan sebagainya akan membuatkan anda berasa murung dan tidak ceria. Sekarang perhatikan kehidupan anda, adakah anda sudah MEMBERI dan MENERIMA kasih sayang secukupnya? Jika tidak, luangkan sedikit masa untuk bersama-sama mereka yang tersayang agar ia dapat membantu anda untuk terus hidup dengan ceria.

KHASIAT CIUMAN

            Satu kajian telah dilakukan oleh pakar psikologi tentang rahsia dan kesan ciuman seorang isteri kepada suaminya dan ciuman seorang ibu kepada anak-anaknya. Kajian dilakukan terhadap mereka yang pergi ke tempat kerja menaiki kereta peribadi. Para suami ini dibahagikan kepada dua kelompok.
           
            Kelompok pertama adalah suami-suami yang menerima ciuman daripada isteri sebelum pergi ke pejabat, manakala kelompok yang kedua adalah suami-suami yang pergi ke pejabat tanpa menerima ciuman daripada isterinya.

            Keputusannya daripada hasil kajian tersebut amat menakjubkan. Kajian membuktikan bahawa suami yang menerima ciuman isteri sebelum pergi ke pejabat akan lebih yakin dan bersemangat serta mempunyai kemungkinan yang kurang untuk berhadapan dengan kecelakaan, berbanding dengan suami yang tidak menerima ciuman daripada isterinya sebelum ke pejabat. Ternyata mutu dan semangat bekerja mereka juga mengalami perbezaan yang cukup ketara.

            Kajian terhadap kesan ciuman ibu kepada anaknya sebelum ke sekolah juga menunjukkan kesan yang luar biasa. Anak-anak yang menerima ciuman ibu mereka sebelum ke sekolah menunjukkan peningkatan prestasi pencapaian pelajaran di sekolah. Malah ciuman itu juga membuatkan anak tersebut mampu menahan kemarahan supaya tidak bergaduh semasa di sekolah.
           
            Keadaan yang sebaliknya ditunjukkan oleh anak-anak yang tidak menerima ciuman ibu mereka, atau diuruskan oleh pengasuh dan pembantu rumah. Ini adalah hasil satu kajian menarik mengenai rahsia kesan ciuman seorang isteri dan seorang ibu yang memberi ciuman itu dengan penuh tulus ikhlas dan kasih sayang.

TIP 2 : MENJANA PERSEKITARAN YANG CERIA

            Persekitaran amat memberi kesan kepada emosi anda. Persekitaran anda termasuklah bilik tidur, ruang-ruang di rumah, laman rumah, tempat kerja, tempat belajar dan semua kawasan yang menjadi tempat anda melakukan sesuatu aktiviti. Suasana bilik yang muram, bersepah dan tidak bersih akan membuatkan anda tidak ceria. Bina suasana persekitaran yang ceria agar ia memberi kesan kepada anda untuk menikmati keceriaan itu. Hiasi bilik dengan warna yang cerah, pastikan barang-barang peribadi anda tersusun rapi dan bilik anda sentiasa dikemas. Begitu juga dengan suasana pejabat anda atau kelas pengajian anda.

            Dengan meluangkan sedikit masa untuk menjana persekitaran yang ceria dan selesa, anda dapat melalui kehidupan dan sepanjang hari dengan lebih ceria dan bersemangat.  Anda juga boleh membersihkan diri anda untuk mendapat perasaan yang ceria. Memakai pakaian yang bersih dan haruman yang wangi. Penampilan yang kemas dan bersih akan memberi keyakinan kepada diri anda untuk menjadi diri anda yang lebih baik.

TIP 3 : SENYUM

            Senyum adalah sedekah, dengan senyum dapat melegakan perasaan anda ketika sedang tertekan. Latih diri anda untuk sentiasa senyum apabila bertemu dengan sesiapa pun. Apabila anda senyum, maka orang lain akan berasa senang dengan anda dan mereka juga akan mempamerkan perasaan ceria. Luangkan sedikit masa untuk bergurau bersama sahabat atau keluarga anda kerana ia akan mampu menghasilkan senyuman di wajah anda.

            Saya memiliki seorang sahabat yang selalu ceria. Senyuman selalu saja terukir di mukanya. Sehingga ada sahabat yang lain pelik mengapa dia ni asyik senyum saja? “Saya terfikir, daripada duduk saja, muka masam, lebih baik saya senyum…” jawabnya ringkas.

Senyumlah kepada dunia, dan dunia akan senyum kepada anda

Penulis : Adlly Bokhari ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Pilihan Anda ini dipublish oleh Adlly Bokhari pada hari Tuesday, May 1, 2012. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Pilihan Anda
 

0 comments:

Post a Comment