MY TKD STORY
: PART 1
Jika ditanya kepada saya “Bilakah anda bermula belajar Taekwondo
(TKD)?” Jawapan saya adalah ; saya belajar Taekwondo semenjak di tadika lagi. Tetapi
apa yang saya belajar ketika itu pun saya sudah tidak ingat. Hanya tinggal di
dalam memori yang saya pernah beruniform TKD dan jurulatih ketika itu adalah
seorang warga India.
2002 : INTRO
Episod mendalami ilmu TKD secara serius bermula ketika saya di
alam sekolah menengah, di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (MTAQ), Pulai
Chondong, Kelantan. TKD diperkenalkan kepada pelajar tingkatan 1 oleh senior.
Pada suatu malam, mereka menjemput seluruh pelajar tingkatan 1 ke taklimat
pengenalan TKD. Selepas taklimat itu saya terus mendaftarkan diri sebagai ahli TKD
dan diikuti oleh seluruh ahli bilik saya, bilik 202.
Namun kami pelajar tingkatan 1 hanya berpeluang menyertai latihan
TKD sekali sahaja pada tahun tersebut. Ini kerana pihak Maahad telah
mengeluarkan peraturan baru. Semua pelajar tingkatan 1 tidak dibenarkan
menyertai mana-mana persatuan beruniform. Peraturan itu bagi memastikan pelajar
tingkatan 1 dapat memberi tumpuan kepada hafalan al-Quran masing-masing.
Sukatan hafalan bagi tingkatan 1 ketika itu adalah 10 juzuk.
Walaupun terpaksa menanti selama setahun, ia tidak melunturkan
semangat saya. Hampir setiap petang saya berlatih bersendirian di dalam bilik.
Lebih fokus kepada latihan fitness dan stretching. Ini bagi
memastikan saya mampu meneruskan latihan pada tahun hadapan dengan keadaan yang
lebih bersiap-sedia.
2003 : 1ST
GRADING
Saya terus mendaftarkan diri sebagai ahli Persatuan TKD di MTAQ
pada awal tahun 2003. Ketika itu saya di tingkatan 2 dan terdapat 2 orang di
kalangan kami yang sudah pun memegang color belt (tali pinggang
berwarna). Mereka pernah berlatih TKD sejak di sekolah rendah lagi.
Batch White Belt bersama saya ketika itu seramai sekitar 15 orang. Kami menjalani
latihan asas White Belt hampir 6 bulan. Sehingga ada di kalangan kami
sudah jemu dengan latihan yang sama. Namun bagi saya, ini adalah penting kerana
kemantapan teknik asas akan memudahkan kita ketika latihan teknik yang lebih
mencabar kelak.
Semasa cuti sekolah sempena Hari Raya Aidil Adha, ayah saya telah membawa
saya ke kedai uniform Every Body Martial Art. Saya membeli uniform untuk saya
sendiri dan beberapa uniform yang ditempah oleh rakan-rakan. Kedai tersebut berdekatan
dengan Shopping Mall Times Square, Kuala Lumpur. Shahrul Khan sendiri pernah ke
sana ketika beliau membuat rakaman filemnya di Malaysia. Sehingga kini sudah
berpuluh-puluh uniform dan equipment saya beli dari kedai tersebut dan
dibawa ke Kelantan dan Mesir. Kualiti uniform dan harganya yang memuaskan
berbanding beberapa jenama uniform yang lain membuatkan saya masih tetap dengan
jenama tersebut sehingga hari ini.
Ibu dan ayah saya tidak menghalang saya untuk terus aktif di dalam
TKD. Ibu saya selalu menceritakan bahawa nenek moyang kami merupakan
pendekar-pendekar di masa silam. Kisah tentang sejarah keturunan saya telah
dibukukan secara lebih terperinci di dalam buku karangan ibu saya sendiri,
Salmiah binti Alias. Buku bertajuk Cowrie Emas, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka,
tahun 2006.
Cowrie adalah sejenis cengkerang (shell) yang amat berharga
pada suatu ketika dahulu. Disebabkan berlaku peperangan dengan penjajah
Belanda. Maka Raja telah memerintahkan supaya semua keluarga di Raja membawa diri ke
tempat yang selamat. Setiap keluarga daripada keturunan di Raja tersebut telah diberi
simbol dan simbol kepada keturunan kami adalah Courie yang berwarna emas. Sedikit
sedutan kisah keturunan di sebelah ibu saya…
NEVER QUIT
Selepas fasa 2 tahun 2003, saya menjalani grading (ujian
kenaikan tali pinggang) buat kali pertama. Grading tersebut telah di
nilai oleh Ketua Jurulatih Kelantan, Sir Ariffin. Bermula saya White Belt
hingga Black Belt, sehinggalah membuka Kelab TKD di Mesir, Sir Ariffin
telah banyak membantu dan memberi sokongan moral kepada saya. Beliau telah
banyak memberi kepercayaan dan ruang kepada saya untuk terus maju di dalam
dunia TKD.
Saya mendapat anugerah Best Student ketika grading
tersebut. Ini telah memberikan semangat dan inspirasi kepada saya untuk meneruskan
latihan ke peringkat seterusnya.
Saya sentiasa meminta senior untuk mengajar lebih dari apa yang di
ajar di gelanggang. Antara senior yang sudi mengajar ketika itu adalah abang
Dzul Khairi, merupakan Majlis Pelajar (MP) Badan Dakwah MTAQ ketika itu dan
mantan Presiden GAMIS 2008. Beberapa senior lain juga sempat saya menuntut ilmu,
membuatkan saya sentiasa berpeluang mempelajari teknik baru lebih awal sebelum ia
diajar di gelanggang.
Bagi saya, gelanggang adalah tempat untuk kita mempamerkan
prestasi kepada jurulatih. Latihan untuk meningkatkan prestasi lebih banyak saya
lakukan sendiri di luar gelanggang.
Pada tahun 2003 dan 2004, Maahad kami
tidak berpeluang untuk menyertai kejohanan TKD peringkat Kelantan atas masalah
dan sebab-sebab tertentu. Walaupun agak mengecewakan, kami tetap meneruskan
latihan sebaik mungkin bagi memastikan peluang menyertai kejohanan pada tahun
seterusnya tidak di sia-siakan.
Bermula daripada tali pinggang putih
ke tali pinggang kuning, hijau dan seterusnya, pelbagai cabaran yang kami lalui
seperti masalah dalam latihan dan masalah penyertaan kejohanan. Sehingga ada
beberapa orang di kalangan kami yang keluar daripada Persatuan TKD. Mungkin
bosan, mungkin juga tidak mempunyai matlamat arah tuju. Namun saya tetap
teruskan latihan.
TKD bukan
sekadar aktiviti kelab, tetapi telah menjadi sebahagian daripada aktiviti
kehidupan saya...
1st
TOURNAMENT
Akhirnya ketika saya tingkatan 4, tahun 2005. Maahad kami berjaya menghantar
pasukan kontinjen bagi menyertai kejohanan TKD peringkat Kelantan. Kejohanan
tersebut berlangsung selama dua hari. Menghimpunkan peserta daripada sekolah
menengah biasa, MRSM dan Maahad Tahfiz. Sekitar 20 orang peserta mewakili kontinjen
MTAQ. Saya mengambil bahagian kategori tali pinggang biru.
Peserta kategori Blue Belt sedang bersedia sebelum beraksi. Di
sebelah kiri saya adalah sahabat seperjuangan TKD, saudara Ammar Farhan.
Pengalaman yang menarik buat kali pertama menyertai kejohanan.
Tanpa guru pengiring, tanpa jurulatih khusus, tanpa pengangkutan dan tanpa penginapan
yang sempurna. Hanya ada saya, rakan-rakan dan abang-abang senior sahaja.
Saling bantu-membantu dan memberi sokongan antara satu sama lain. Sir Ariffin
pula telah memberi kebenaran kepada kami untuk menginap di kelab TKD Kota Baharu
sepanjang kejohanan tersebut berlangsung.
Alhamdulillah walaupun pelbagai cabaran yang terpaksa ditelan,
saya berjaya memiliki tempat kedua dalam kategori sparring. Bagi saya
nilai pingat perak itu bukan sekadar tempat kedua, tetapi ia adalah sebagai
nilai pengalaman yang amat berharga.
Ketika hendak menerima pingat perak bagi kategori Sparring, saya
di perhatikan oleh Sir Ariffin (kiri).
rndu TWD..dh lme sgt tinggal..
ReplyDelete