Ceria, Tenang, Sentiasa...

HIDUP CERIA : BAHAGIAN 2

5 April 2012

Hari ini rutin harian berjalan seperti biasa. Bangun pagi, study, makan, solat, urus stres dan sewaktu dengannya. Mencuba sedaya upaya mencari kekuatan di setiap celah detik-detik kehidupan. Program Ribat BKAWM berlangsung pagi tadi juga berjalan seperti biasa. Tazkirah disampaikan oleh seorang mahasiswi jurusan perubatan. Walaupun beliau daripada jurusan perubatan, namun mampu memetik ayat-ayat suci Al-Quran dan memberi penjelasan dengan baik. Alhamdulillah sekarang generasi adik-adik sudah mampu ke hadapan, mampu menjadi imam, mampu memberi tazkirah dan mampu mengurus majlis dengan baik.

Semoga kalian menjadi generasi yang lebih baik daripada sebelumnya…

Terkenang satu ketika dahulu, beberapa tahun lepas. Ketika menjemput mereka di airport dan mengurus mereka di dalam program USMB. Semua dalam keadaan masih terpinga-pinga. Biasalah masih baru di perantauan. Kami membantu mengurus mereka bermula dengan urusan perhubungan, penginapan hinggalah urusan membeli sim card untuk mereka.  Kini generasi tersebut telah mampu berdiri di atas kaki sendiri. Mampu mengambil alih tugasan kami satu ketika dahulu.

 Jamuan selepas Ribat BKAWM, minggu lepas.

Semalam jadual peperiksaan bagi tahun akhir Shoubra telah keluar. Debaran dan tekanan peperiksaan kian kuat terasa. Walau apa pun, kehidupan mesti diteruskan seperti biasa. Hidup mesti ceria, mesti tenang sentiasa…

TIP 4 : REHAT CUKUP

            Dapatkan rehat yang cukup, tidak terlalu SEDIKIT dan tidak pula terlalu BANYAK. Anda berasa stres kemungkinan berpunca daripada badan yang letih. Pastikan badan anda bertenaga dengan mendapat rehat yang cukup dan khasiat makanan yang seimbang. Tiada guna jika anda terus memaksa diri anda dalam keadaan keletihan dan mungkin hasilnya adalah teruk atau anda terus berputus asa.

Kenal pasti apakah aktiviti yang mudah bagi anda lakukan ketika berehat seperti merenggangkan otot atau mengambil secawan minuman panas. Berilah peluang badan anda untuk rehat dengan layanan yang baik daripada diri anda sendiri. Musim panas juga sudah tiba. Pastikan tubuh badan anda mendapat bekalan air dengan meminum air secukupnya. Jangan hanya minum air ketika dahaga sahaja.

Fakta : Lebih 80% daripada otak anda adalah cecair.

TIP 5 : BERSENAM

            Secara umumnya tubuh kita perlu bersenam sekurang-kurangnya dua kali dalam seminggu. Minima 20 minit setiap kali bersenam. Pastikan anda melakukan senaman dan aktiviti sukan yang secukupnya. Ini bagi memastikan tubuh anda dapat membesar dengan baik dan tubuh anda juga dapat menggunakan khasiat makanan yang anda makan sepenuhnya. Tidak semestinya anda perlu ke padang untuk bersukan, bersenam di dalam bilik pun sudah memadai. Anda boleh melakukan aktiviti senaman yang ringan seperti renggangkan otot, menarik nafas dan berlari setempat.

Badan sihat, otak cerdas, hidup ceria…

Daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda :

“Orang Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada Mukmin yang lemah. Pada setiap perkara ada kebaikan. Tekunlah kamu atas sesuatu yang bermanfaat bagimu. Mintalah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu berputus asa. Jika kamu ditimpa sesuatu bencana, janganlah kamu berkata : ‘Kalaulah aku berbuat demikian, maka akan jadi demikian, demikian.’ Akan tetapi berkatalah bahawa Allah telah mentakdirkan dan barang yang dikehendaki Allah, pasti Allah lakukan. Kerana kata-kata ‘Kalaulah’ dapat membuka perbuatan syaitan.” – Hadis Riwayat Imam Muslim.

TIP 6 : KERJA BERSUNGGUH-SUNGGUH

            Seorang pekerja yang proaktif akan menyelesaikan tugasannya mengikut jadual dan perancangan seperti yang telah diatur. Pekerja tersebut terus tekun dalam menyelesaikan tugasnya satu persatu. Setelah tugasannya selesai mengikut perancangan, dia akan berasa puas hati dan akan terus bekerja pada masa akan datang dengan peningkatan prestasi yang cemerlang. Pihak atasan juga pasti menyukainya kerana mampu menyelesaikan tugasan mengikut perancangan organisasi. Maka kesan kepada kesungguhan pekerja itu telah membuatkan dirinya dan pihak atasan berasa gembira.

            Bekerjalah dengan bersungguh-sungguh kerana anda akan berpuas hati apabila mendapat hasilnya kelak. Mereka yang bekerja separuh hati akan menghadapi kemurungan dalam melakukan kerjanya. Lebih parah jika mereka membenci pekerjaannya sendiri. Tanamkan minat yang mendalam terhadap kerja yang anda lakukan. Pastikan matlamat anda jelas, dan susun gerak kerja anda melalui kaedah pengurusan seperti MBO dan To Do List (senarai perkara yang perlu dilakukan).

Begitu juga dengan belajar. Belajar dengan bersungguh-sungguh, gunalah segenap kekuatan dan ruang yang ada. Belajar dalam keadaan ceria dan gembira akan membawa lebih makna berbanding belajar dalam keadaan murung dan terpaksa.

TIP 7 : BERUSAHA UNTUK CERIA

            Semua manusia mahukan hidup yang ceria dan bahagia. Namun mereka terlepas pandang dalam berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi ceria. anda perlu mengetahui apakah faktor yang mampu membuatkan diri anda ceria. Ada yang dapat ceria hanya dengan menyanyi, ada yang dapat ceria dengan melihat anak-anak dan sebagainya.

Persoalannya di sini : adakah anda sudah mengenal pasti faktor yang dapat memberi anda ceria? Jika sudah mengetahuinya, adakah anda sudah melaksanakannya?

            Anda perlu sentiasa ceria, kerana keceriaan adalah hak anda. Apabila anda ceria, anda juga mampu membuatkan individu di sekeliling anda juga ceria. Sama ada di rumah, di pejabat, di tempat kerja dan sebagainya. Jika anda berusaha untuk memiliki keceriaan, anda pasti akan memilikinya. Punca utama anda tidak mampu menjana keceriaan adalah kerana diri anda sendiri yang tidak bersungguh-sungguh.

            Ramai yang menganggap keceriaan dapat dimiliki dengan berdamping dengan mereka yang sedang ceria. Kaedah ini hanya kaedah ‘meminjam’ keceriaan orang lain  sahaja. Hasilkan keceriaan anda sendiri dan nikmatinya bersama orang di sekeliling anda.

Lebih menarik jika anda menyenaraikan kaedah dan cara menceriakan diri anda di dalam buku nota peribadi. Apabila anda inginkan keceriaan, anda hanya perlu rujuk kaedah dan tip yang anda sendiri sediakan. Hasilnya anda akan lebih mudah dalam menjana keceriaan.

Kekal ceria sepanjang hari...

Penulis : Adlly Bokhari ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Ceria, Tenang, Sentiasa... ini dipublish oleh Adlly Bokhari pada hari Friday, May 4, 2012. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Ceria, Tenang, Sentiasa...
 

0 comments:

Post a Comment