Teguh Bertapak

MY TKD STORY : PART 1

Jika ditanya kepada saya “Bilakah anda bermula belajar Taekwondo (TKD)?” Jawapan saya adalah ; saya belajar Taekwondo semenjak di tadika lagi. Tetapi apa yang saya belajar ketika itu pun saya sudah tidak ingat. Hanya tinggal di dalam memori yang saya pernah beruniform TKD dan jurulatih ketika itu adalah seorang warga India.

2002 : INTRO

Episod mendalami ilmu TKD secara serius bermula ketika saya di alam sekolah menengah, di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (MTAQ), Pulai Chondong, Kelantan. TKD diperkenalkan kepada pelajar tingkatan 1 oleh senior. Pada suatu malam, mereka menjemput seluruh pelajar tingkatan 1 ke taklimat pengenalan TKD. Selepas taklimat itu saya terus mendaftarkan diri sebagai ahli TKD dan diikuti oleh seluruh ahli bilik saya, bilik 202.

Namun kami pelajar tingkatan 1 hanya berpeluang menyertai latihan TKD sekali sahaja pada tahun tersebut. Ini kerana pihak Maahad telah mengeluarkan peraturan baru. Semua pelajar tingkatan 1 tidak dibenarkan menyertai mana-mana persatuan beruniform. Peraturan itu bagi memastikan pelajar tingkatan 1 dapat memberi tumpuan kepada hafalan al-Quran masing-masing. Sukatan hafalan bagi tingkatan 1 ketika itu adalah 10 juzuk.

Walaupun terpaksa menanti selama setahun, ia tidak melunturkan semangat saya. Hampir setiap petang saya berlatih bersendirian di dalam bilik. Lebih fokus kepada latihan fitness dan stretching. Ini bagi memastikan saya mampu meneruskan latihan pada tahun hadapan dengan keadaan yang lebih bersiap-sedia.

2003 : 1ST GRADING

Saya terus mendaftarkan diri sebagai ahli Persatuan TKD di MTAQ pada awal tahun 2003. Ketika itu saya di tingkatan 2 dan terdapat 2 orang di kalangan kami yang sudah pun memegang color belt (tali pinggang berwarna). Mereka pernah berlatih TKD sejak di sekolah rendah lagi.

Batch White Belt bersama saya ketika itu seramai sekitar 15 orang. Kami menjalani latihan asas White Belt hampir 6 bulan. Sehingga ada di kalangan kami sudah jemu dengan latihan yang sama. Namun bagi saya, ini adalah penting kerana kemantapan teknik asas akan memudahkan kita ketika latihan teknik yang lebih mencabar kelak.

Semasa cuti sekolah sempena Hari Raya Aidil Adha, ayah saya telah membawa saya ke kedai uniform Every Body Martial Art. Saya membeli uniform untuk saya sendiri dan beberapa uniform yang ditempah oleh rakan-rakan. Kedai tersebut berdekatan dengan Shopping Mall Times Square, Kuala Lumpur. Shahrul Khan sendiri pernah ke sana ketika beliau membuat rakaman filemnya di Malaysia. Sehingga kini sudah berpuluh-puluh uniform dan equipment saya beli dari kedai tersebut dan dibawa ke Kelantan dan Mesir. Kualiti uniform dan harganya yang memuaskan berbanding beberapa jenama uniform yang lain membuatkan saya masih tetap dengan jenama tersebut sehingga hari ini.

Ibu dan ayah saya tidak menghalang saya untuk terus aktif di dalam TKD. Ibu saya selalu menceritakan bahawa nenek moyang kami merupakan pendekar-pendekar di masa silam. Kisah tentang sejarah keturunan saya telah dibukukan secara lebih terperinci di dalam buku karangan ibu saya sendiri, Salmiah binti Alias. Buku bertajuk Cowrie Emas, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, tahun 2006.

Cowrie adalah sejenis cengkerang (shell) yang amat berharga pada suatu ketika dahulu. Disebabkan berlaku peperangan dengan penjajah Belanda. Maka Raja telah memerintahkan supaya semua keluarga di Raja membawa diri ke tempat yang selamat. Setiap keluarga daripada keturunan di Raja tersebut telah diberi simbol dan simbol kepada keturunan kami adalah Courie yang berwarna emas. Sedikit sedutan kisah keturunan di sebelah ibu saya…

NEVER QUIT

Selepas fasa 2 tahun 2003, saya menjalani grading (ujian kenaikan tali pinggang) buat kali pertama. Grading tersebut telah di nilai oleh Ketua Jurulatih Kelantan, Sir Ariffin. Bermula saya White Belt hingga Black Belt, sehinggalah membuka Kelab TKD di Mesir, Sir Ariffin telah banyak membantu dan memberi sokongan moral kepada saya. Beliau telah banyak memberi kepercayaan dan ruang kepada saya untuk terus maju di dalam dunia TKD.

Saya mendapat anugerah Best Student ketika grading tersebut. Ini telah memberikan semangat dan inspirasi kepada saya untuk meneruskan latihan ke peringkat seterusnya.

Saya sentiasa meminta senior untuk mengajar lebih dari apa yang di ajar di gelanggang. Antara senior yang sudi mengajar ketika itu adalah abang Dzul Khairi, merupakan Majlis Pelajar (MP) Badan Dakwah MTAQ ketika itu dan mantan Presiden GAMIS 2008. Beberapa senior lain juga sempat saya menuntut ilmu, membuatkan saya sentiasa berpeluang mempelajari teknik baru lebih awal sebelum ia diajar di gelanggang.

Bagi saya, gelanggang adalah tempat untuk kita mempamerkan prestasi kepada jurulatih. Latihan untuk meningkatkan prestasi lebih banyak saya lakukan sendiri di luar gelanggang.

            Pada tahun 2003 dan 2004, Maahad kami tidak berpeluang untuk menyertai kejohanan TKD peringkat Kelantan atas masalah dan sebab-sebab tertentu. Walaupun agak mengecewakan, kami tetap meneruskan latihan sebaik mungkin bagi memastikan peluang menyertai kejohanan pada tahun seterusnya tidak di sia-siakan.

            Bermula daripada tali pinggang putih ke tali pinggang kuning, hijau dan seterusnya, pelbagai cabaran yang kami lalui seperti masalah dalam latihan dan masalah penyertaan kejohanan. Sehingga ada beberapa orang di kalangan kami yang keluar daripada Persatuan TKD. Mungkin bosan, mungkin juga tidak mempunyai matlamat arah tuju. Namun saya tetap teruskan latihan.

TKD bukan sekadar aktiviti kelab, tetapi telah menjadi sebahagian daripada aktiviti kehidupan saya...

1st TOURNAMENT

Akhirnya ketika saya tingkatan 4, tahun 2005. Maahad kami berjaya menghantar pasukan kontinjen bagi menyertai kejohanan TKD peringkat Kelantan. Kejohanan tersebut berlangsung selama dua hari. Menghimpunkan peserta daripada sekolah menengah biasa, MRSM dan Maahad Tahfiz. Sekitar 20 orang peserta mewakili kontinjen MTAQ. Saya mengambil bahagian kategori tali pinggang biru.

 Peserta kategori Blue Belt sedang bersedia sebelum beraksi. Di sebelah kiri saya adalah sahabat seperjuangan TKD, saudara Ammar Farhan.

Pengalaman yang menarik buat kali pertama menyertai kejohanan. Tanpa guru pengiring, tanpa jurulatih khusus, tanpa pengangkutan dan tanpa penginapan yang sempurna. Hanya ada saya, rakan-rakan dan abang-abang senior sahaja. Saling bantu-membantu dan memberi sokongan antara satu sama lain. Sir Ariffin pula telah memberi kebenaran kepada kami untuk menginap di kelab TKD Kota Baharu sepanjang kejohanan tersebut berlangsung.

Alhamdulillah walaupun pelbagai cabaran yang terpaksa ditelan, saya berjaya memiliki tempat kedua dalam kategori sparring. Bagi saya nilai pingat perak itu bukan sekadar tempat kedua, tetapi ia adalah sebagai nilai pengalaman yang amat berharga.

 Ketika hendak menerima pingat perak bagi kategori Sparring, saya di perhatikan oleh Sir Ariffin (kiri).

Penulis : Adlly Bokhari ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Teguh Bertapak ini dipublish oleh Adlly Bokhari pada hari Monday, May 7, 2012. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 1comments: di postingan Teguh Bertapak
 

1 comments: