Terus Kembara

MY TKD STORY : PART 2

Jatuh tersungkur perkara biasa…
Bangun dan terus berlari, menjadi luar biasa…

Selepas menyertai kejohanan TKD kali pertama pada tahun 2005. Semangat saya dan rakan-rakan semakin berkobar untuk meneruskan latihan TKD bagi persiapan kejohanan pada tahun-tahun yang akan datang. Berdasarkan bilangan pingat yang telah kontinjen kami miliki, kami yakin pada tahun hadapan kami mampu melakukan yang lebih baik. Meletakkan sasaran bagi memiliki Piala Kontinjen Terbaik Kelantan pada suatu masa nanti.

Latihan sepak terajang seni bela diri pastinya menjanjikan risiko yang tinggi kepada semua pengamal-pengamalnya. Bengkak, hidung berdarah, buku lima (fist) lebam, semua ini telah menjadi ‘makanan’ biasa bagi kami.

Kami hanya berpeluang menjalani latihan di atas court bola tampar yang berlantaikan simen. Kadangkala latihan hanya dijalankan di atas jalan tar sahaja. Kelengkapan latihan memang terhad, maka segala yang ada di asrama itulah menjadi alat gim kami. Batang besi bumbung kaki lima, kepala kipas, tiang besi tangki air, tilam dan bermacam-macam lagi alatan yang telah menjadi equipment latihan kami.

Hendak seribu daya, tak hendak seribu komen…

            Alhamdulillah pada akhir tahun 2005 ketika saya tingkatan 4, saya telah berjaya memegang tali pinggang hitam (1st Degree) TKD dan juga telah berjaya menamatkan hafazan al-Quran. Bersedia untuk menghadapi tahun 2006, tahun yang bakal saya menduduki SPM.

2006 : MEMBIMBING DAN MEMBERI

            Pada tahun 2006 saya telah diberi kepercayaan untuk memegang jawatan selaku Presiden Persatuan TKD MTAQ. Pada tahun tersebut juga saya memegang jawatan selaku Majlis Pelajar (MP) Badan Redaksi MTAQ. Tahun tersebut juga merupakan tahun saya menduduki SPM. Satu cabaran yang kuat bagi saya untuk mengimbangi kejayaan dalam akademik dan juga kokurikulum.

            Pada tahun ini cabaran TKD semakin kuat. Saya bukan sahaja perlu fokus kepada peningkatan prestasi latihan diri sendiri. Namun perlu juga fokus kepada latihan dan peningkatan prestasi ahli junior TKD. Saya perlu memantau bermula daripada mereka yang bertali pinggang putih hinggalah barisan jurulatih yang bertali pinggang hitam. Sekarang saya sudah mengambil alih tugasan senior-senior terdahulu dalam membimbing junior.

Pada suatu hari, saya mendapat panggilan daripada Sir Ariffin. Beliau telah memberi tawaran kepada saya dan Ammar Farhan untuk menjadi jurulatih kepada Kelab Taekwondo MRSM Kuala Krai. MRSM tersebut memerlukan jurulatih khas bagi persiapan kontinjen Taekwondo mereka untuk menyertai Kejohanan Taekwondo MRSM se-Malaysia yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Saya juga diberi peluang oleh Sir Ariffin untuk menjadi pengadil bagi kejohanan tersebut. Satu peluang emas buat kami berdua.

Kejohanan Taekwondo MRSM se-Malaysia tersebut bakal berlangsung pada akhir bulan Mac 2006, bertempat di MRSM Pontian, Johor. Kejohanan tersebut menghimpunkan seluruh ahli Kelab Taekwondo MRSM di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

NAFAS BARU

Pada peringkat awal, proses untuk menjadi jurulatih bagi MRSM tersebut agak sukar. Ini kerana pihak Maahad tidak membenarkan kami menjadi jurulatih MRSM atas sebab-sebab tertentu. Walaupun telah membuat beberapa permohonan, namun keputusannya tetap sama. Saya berasa kecewa dan hampir putus harapan untuk menyertai kejohanan tersebut.

Peluang terakhir untuk kami memohon kebenaran daripada pihak Maahad adalah pada pagi hari kontinjen MRSM Kuala Krai bertolak ke Johor. Ini kerana kami bersama Sir Ariffin dijadualkan menaiki bas MRSM Kuala Krai untuk ke Johor. Jika masih tidak mendapat kebenaran pihak Maahad, maka impian kami hanya akan menjadi kenangan sahaja.

Selepas sesi persekolahan, Sir Ariffin datang ke Maahad untuk bersemuka dan berbincang dengan Mudir MTAQ. Ketika itu saya berada di kantin sekolah. Duduk bersahaja di atas kerusi, reda dengan apa yang bakal terjadi. Tidak dapat menyertai pun tidak mengapa. Masa pun sudah semakin suntuk, Sir Ariffin perlu berada di MRSM Kuala Krai sebelum jam 3.00 petang.

“Adlly, kita dapat pergi lah… tapi kena buat surat permohonan kepada Mudir!” tiba-tiba Ammar datang menerpa kepada saya dan memberi khabar gembira. Kami terus ke pejabat, berjumpa dengan Mudir dan Sir Ariffin. Surat masih tidak buat, beg tidak kemas lagi, tetapi kebenaran sudah dapat. Tanpa berlengah, saya dan Ammar bergegas menyiapkan apa yang perlu.

Setelah mendapat izin daripada pihak Maahad dan siap mengemas beg, kami terus menaiki kereta Sir Ariffin menuju MRSM Kuala Krai. Perasaan ketika itu bercampur-aduk. Ada rasa gembira, ada rasa terkejut dan ada juga rasa berdebar-debar memikirkan perkara yang bakal kami hadapi.

Nafas baru buat saya di dalam dunia TKD, menjadi jurulatih dan pengadil di peringkat MRSM…

Penulis : Adlly Bokhari ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Terus Kembara ini dipublish oleh Adlly Bokhari pada hari Sunday, May 13, 2012. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Terus Kembara
 

0 comments:

Post a Comment