Aset bukan
untuk disimpan begitu sahaja...
Aset perlu dijana dan diproduk untuk mendatangkan
hasil…
11 JUN 2009
Berakhir sahaja peperiksaan
tahun 1, saya terus masuk bekerja secara penuh di Kuala Lumpur Cairo Café
(KLCC). Sebelum ini saya bekerja di KLCC hanya sekadar membantu ustaz Al Hafiz
sahaja. Saya menggantikan shift ustaz Ali Imran kerana beliau bakal
menduduki peperiksaan tahun akhir (Shoubra) tidak lama lagi. Peluang saya
bekerja di KLCC telah banyak mengajar erti kehidupan kepada saya. Belajar
mengenai harga nilai setiap nilai wang. Belajar menghargai nilai masa. Bahkan
saya juga mahir membawa motosikal dan kereta juga adalah kesan daripada
bertugas di KLCC.
Masuk shift jam 3.00
petang dan berakhir lewat 12.00 tengah malam. Kadangkala hanya mampu berehat di
sebelah masa pagi, tidak sempat membuat kerja lain terus perlu bersiap sedia
untuk masuk ke shift keesokan harinya. Dalam masa yang sama saya juga
menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Unit Perumahan Kesenian dan Sukan (UPKS)
BKAWM 09/10 dan juga jurulatih Kelab Tae Kwon-Do SWAD PMRAM. Ketika itu saya melalui
tempoh yang penuh cabaran terutama cabaran pengurusan masa dan pertembungan
tugasan. Namun itu bukan sebagai alasan, bahkan satu peluang latihan untuk saya
ke peringkat yang lebih baik.
Ketika ini juga saya berpeluang
bertemu dengan pelbagai ragam manusia. Kalau sebelum ini hanya terhad kepada sahabat-sahabat
pimpinan dan ahli Kelab Tae Kwon-Do sahaja. Ketika bekerja di KLCC, lain pula
suasananya. Saya berpeluang bertemu dengan mereka yang bekerja kerana wang,
bekerja kerana suka bekerja. Saya juga berpeluang bertemu dengan bermacam-macam
ragam pelanggan.
Ustaz
Hasni (mantan AJKT Perak) bersama ustaz Ali Imran (mantan UPK BKAWM 08/09
bergambar di persisiran pantai Matruh ketika kami bertiga bertugas selaku unit
masakan (wakil KLCC) bagi rombongan pelajar siswi perubatan Iskandariah.
Ada individu yang terlalu rajin
bekerja, namun kualiti kerjanya kurang. Ada individu yang pandai berkata-kata
dan memberi komen, namun tindakannya tidak ke mana pun. Mungkin itu yang
dimaksudkan oleh pepatah Melayu ‘1001 macam’. Dalam seribu yang pelbagai ragam
itu ada juga yang ‘1’ pelik dari lain.
Sifat dan sikap seseorang
mempamerkan imej dan dalaman dirinya yang sebenar. Personaliti seseorang itu
membentuk wataknya dalam ‘filem’ kehidupannya. Kehidupan anda adalah satu projek
anda untuk mendapat hasil di akhirat kelak dan personaliti adalah antara aset
utama anda.
BORN TO BE
SOMEBODY
Lihat sahaja pada individu-individu
yang berjaya di mata dunia. Donald Trump yang merupakan usahawan terkenal.
Justin Bieber penyanyi muda yang mencapai kejayaan dalam masa yang singkat.
Chef Wan yang merupakan chef terkenal di peringkat antarabangsa yang pada
mulanya mengambil bidang perakaunan. Namun Chef Wan meneruskan kerjaya dalam
bidang chef atas faktor minat.
Apakah persamaan yang mereka
miliki? Ya, pastinya kesungguhan dalam bekerja, melakukan perkara yang luar
biasa dan sebagainya. Persamaan yang lebih utama antara mereka adalah mereka
kenal ‘siapakah’ diri mereka di dunia ini. Mereka tahu yang mereka born to
be somebody. Mereka menjadi diri mereka sendiri. Diri mereka yang berjaya.
Untuk berjaya anda tidak perlu
menjadi atau meniru orang lain. Anda hanya perlu menjadi diri anda yang luar
biasa. Luar biasa hebat!
KATEGORI
PERSONALITI
Personaliti
anda adalah perwatakan dan keperibadian yang anda sedang miliki. Semua individu
memiliki personaliti yang neutral ketika lahir, kemudian mengalami perubahan
dari semasa ke semasa. Personaliti anda terbahagi kepada tiga kategori :
PERSONALITI
SEMULA JADI, sifat dan sikap yang terbentuk secara semula jadi. Juga
kecenderungan dan minat seseorang terhadap sesuatu. Bakat dan kemahiran yang
terpendam seperti menyanyi, melukis dan memberi motivasi.
PERSONALITI
YANG DIPENGARUHI SUASANA, sifat yang terkesan dengan suasana sekeliling sama
ada secara sedar ataupun tidak. Sifat ini juga mempunyai unsur-unsur lakonan
dan hipokrit. Apabila di hadapan orang ramai sifat ini menonjol, tetapi tidak pula ketika
keseorangan.
PERSONALITI
YANG DILATIH, personaliti setiap individu boleh dibentuk melalui latihan.
Seorang individu biasa, boleh dilatih untuk menjadi pemimpin dan sebagainya.
Setiap kategori personaliti ini
memiliki unsur positif dan negatif. Anda sahaja yang lebih mengetahui tentang
personaliti diri anda sendiri. Maka tingkatkan unsur-unsur yang positif dan
kurangkan unsur yang negatif.
Antara
barisan pelaksana SEDEKAD’09. Pelbagai jenis ragam dan personaliti individu
yang dapat ditemui, berjaya disatukan di bawah satu naungan BKAWM.
ESTIM
TUNJANG PERSONALITI
Estim adalah keyakinan seseorang
terhadap dirinya sendiri. Kekuatan estim akan memberi kesan secara langsung
terhadap personaliti seseorang. Keyakinan positif kepada diri sendiri akan
menghasilkan personaliti yang positif.
Tahap estim sentiasa berubah-ubah,
kadangkala meningkat dan kadangkala jatuh menjunam. Apa yang penting adalah
kemahiran anda dalam mengekalkan tahap estim ini di paras yang positif.
Di dalam dunia persatuan, estim
kita akan dilatih dan dijana secara tidak langsung melalui tugasan dan
tanggungjawab. Individu dilatih untuk memberi hujah dan pandangan di dalam
mesyuarat. Diberi peluang untuk menjadi pengerusi majlis rasmi. Juga peluang
menjadi ketua unit ataupun pengarah program. Semua sesi latihan ini menjana
tahap keyakinan diri anda untuk terus meningkat.
Maka apabila diberi peluang
untuk ke hadapan, jangan terus menolak. Latih keyakinan diri anda untuk
berhadapan dengan masyarakat dan menjalankan amanah tersebut dengan baik. Tip
mudah untuk meningkatkan tahap estim anda :
1. Estim perlu dijana setiap hari, maka setiap pagi pastikan tahap estim anda berada di tahap yang optima.
2. Gunakan kekuatan minda yang positif dalam menjana imaginasi dan persepsi yang positif.
3. Kekuatan estim berkait rapat dengan keceriaan diri. Pastikan setiap hari anda adalah hari yang ceria. Keceriaan adalah pilihan, maka tidak perlu memilih untuk bersedih.
4. Penampilan luaran memberi kesan dan mempamerkan dalaman diri. Pastikan imej luaran anda sentiasa bertenaga.
5. Menjana suasana sekeliling yang mampu membantu meningkatkan tahap estim anda. Seperti keadaan bilik yang kemas.
6. Perlunya ilmu dan kemahiran dalam menjana estim. Pastikan anda mengenal cara untuk memberi motivasi kepada diri anda sendiri (self-motivation).
7. Jika merasa tahap estim lemah, cari punca dan faktornya kemudian atasinya dengan berhemah.
KARISMA PEMANGKIN PERSONALITI
Karisma adalah kualiti daya kepimpinan, daya penarik atau
sifat-sifat tertentu seseorang individu yang menjadikannya berupaya
mempengaruhi atau menjadi perangsang kepada khalayak ramai. Keyakinan pihak
lain terhadap diri anda.
Karisma
memberi kesan kepada daya pengaruh, jika tahap karisma seseorang itu tinggi,
maka tahap daya pengaruhnya juga akan meningkat. Antara cara mudah menilai
tahap karisma adalah peminat. Individu yang berkarisma tinggi selalunya
memiliki peminat dan pengikut yang ramai. Tip untuk meningkatkan
tahap karisma :
1. Tingkatkan daya pengaruh melalui unsur penampilan dan seni komunikasi.
2. Berpakaian kemas kerana pemakaian yang kemas mempengaruhi tahap karisma.
3. Sentiasa siap sedia kelengkapan penampilan dari sudut pakaian dan alatan peribadi.
4. Menjana daya karisma melalui unsur sekeliling seperti pengaruh sahabat dan jawatan.
5. Jangan salah guna ‘low profil’. Tampil ke hadapan dalam memimpin masyarakat.
Hasil gabungan estim yang
positif dan tahap karisma yang tinggi, maka akan terbentuklah personaliti
individu yang dinamik.
“Sesiapa
yang Allah mahukan dirinya berada dalam kebaikan, diujinya dengan kesusahan.” – Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.
Dua orang pemegang anugerah Tokoh Ma’al Hijrah
PMRAM. Mereka sentiasa mempamerkan personaliti yang positif dan bertenaga. Ustaz
Fairus, Tokoh Maal Hijrah 1432H dan ustaz Hairul Nizam, Tokoh Maal Hijrah
1433H. Kedua-dua mereka dari cawangan Wilayah Persekutuan.
0 comments:
Post a Comment