Masuk kandang
kambing mengembek…
Masuk alam
mahasiswa, jadilah mahasiswa…
4 OGOS 2008
Tarikh ini merupakan tarikh
penerbangan saya bersama Kak Hana (N.P HEWI 1 BKAWM 11/12) ke bumi Mesir. Juga
merupakan tarikh hari kelahiran saya kali ke-19. Ini merupakan penerbangan saya
buat kali kedua ke bumi Mesir dan mungkin kali ke enam bagi Kak Hana.
Perpisahan bersama keluarga yang tercinta mungkin merupakan proses yang biasa
sahaja bagi saya memandangkan sejak kecil lagi sudah biasa berjauhan daripada
keluarga.
Setibanya kami di Mesir, kami di
sambut oleh ustaz Hakim (Hakim Burger) membawa kereta Mitsubishi Lancer
berwarna putih yang disewanya. Saya ditempatkan di asrama Selangor buat
sementara waktu sebelum ke bumi Shoubra. Hampir dua minggu juga berkongsi bilik
dan katil bersama ustaz Yazid, mantan Yang Dipertua BKASM 10/11.
Beberapa hari sebelum Hari
Tautan Silaturahim (HTS) peringkat DPM [MAQAZ] Shoubra berlangsung, saya telah
dijemput oleh ustaz Abdul Rahman bersama ustaz Hafis Rejab untuk dibawa ke
Shoubra. Perjalanan daripada Hayyu ‘Asyir ke Shoubra mengambil masa sekitar 30
minit. Di Shoubra saya ditempatkan di rumah sewa sementara, serumah dengan
ustaz Don Danial.
Terima kasih kepada semua
abang-abang Selangor dan Shoubra yang telah banyak membantu saya di peringkat
awal di bumi Mesir ini.
KESEDARAN
PERTAMA
Ketika di alam persekolahan,
kita berada di bawah jagaan ibu bapa. Ibu bapa sering menasihati dan memantau
kelakuan anak-anaknya. Peraturan sekolah juga mengongkong kebebasan seseorang
pelajar itu untuk melakukan sesuatu mengikut sesuka hati. Ini sesuai dengan
peringkat umur ketika itu yang masih dalam proses pematangan.
Setelah tamat pengajian di alam
persekolahan dan terus melangkah ke bumi Mesir ini. Ramai dalam kalangan kita
yang mengalami kejutan budaya atau istilah kampungnya ‘culture shock’.
Mereka tidak lagi berada di bawah pantauan ibu bapa. Bebas berada di
perantauan. Mereka tidak lagi terkongkong dengan cikgu-cikgu disiplin. Bebas
melakukan sebarang tindakan.
Memiliki rumah sewa sendiri,
komputer sendiri, motosikal sendiri. Wah, memang dunia milikku!
Di sinilah pentingnya peranan kesedaran
anda terhadap dunia apakah yang sedang anda tempuhi sekarang? Adakah dunia
kebebasan? Ataupun dunia tanpa sempadan? Sedarilah bahawa anda kini sedang
menempuhi alam mahasiswa. Alam yang penuh dengan tanggungjawab kepada
masyarakat. Alam yang menuntut kejituan disiplin diri dan alam di mana anda
membentuk kematangan diri masing-masing.
LANGKAH PERTAMA untuk menjadi mahasiswa
yang cemerlang adalah dengan anda SEDAR bahawa anda kini berada di alam
mahasiswa. Tidak boleh lagi berkelakuan seperti budak-budak sekolah menegah.
Tidak boleh lagi berkelahi mulut seperti pelajar sekolah rendah. Anda adalah
mahasiswa yang menggalas tanggungjawab dalam menyampaikan dakwah kepada seluruh
umat.
MENJADI
MAHASISWA
Selepas minda anda memainkan
peranan dengan kesedaran bahawa anda kini berada di alam mahasiswa. Maka ia
secara langsung akan memberi kesan kepada kesediaan anda untuk berubah menjadi
mahasiswa. Pastinya anda tidak akan memilih untuk menjadi mahasiswa yang pasif
apatah lagi yang gagal. Kita semua mahu menjadi mahasiswa yang cemerlang,
kredibiliti dan proaktif dalam pelbagai aspek.
Alatan peribadi
seperti buku nota, planner, telefon bimbit dan komputer riba amat
memainkan peranan dalam membantu anda menjadi seorang mahasiswa proaktif. LANGKAH KEDUA adalah anda mampu mengaplikasi kegunaan barangan peribadi dengan baik.
Bagaimana mahu dijadikan contoh
sebagai mahasiswa jika masih menggunakan kotak pensel yang bercorak kartun? Bagaimana
pula mahu digelar sebagai mahasiswa jika planner dan buku nota masih
tidak mampu dikendali dengan baik? Ini belum diperbincangkan lagi bab
pemfailan, akaun dan sebagainya.
Pernah satu ketika dahulu saya
menegur ahli perjumpaan yang hampir semuanya hadir tanpa membawa sebarang buku
nota mahupun catatan. Tanpa buku nota dan catatan, tiada bezanya antara
perjumpaan itu dengan sembang-sembang di gerai makan.
Dalam alam mahasiswa anda pasti
mengalami cabaran dalam pengurusan masa. Jadual kelas yang padat, kelas
tambahan hujung minggu, tugasan dalam persatuan, urusan peribadi dan
bermacam-macam lagi tuntutan yang membuatkan anda terdesak dan kesuntukan masa.
Maka jalan penyelesaiannya adalah anda perlu mengurus masa. Antara item yang
membantu anda dalam mengurus masa adalah buku planner. Di dalam planner
anda boleh mengatur jadual, mesyuarat dan temu janji. Dari sinilah anda mampu
mengurus masa anda dari semasa ke semasa.
Jangan biarkan masalah
pengurusan masa anda membawa kepada masalah lain seperti masalah stres dan
masalah kewangan. Pengurusan masa perlu diambil berat dalam anda menempuhi alam
mahasiswa ini. Urus kesibukan anda, jangan biarkan ‘kesibukan’ mengurus anda.
PENAMPILAN UNTUK KEJAYAAN
LANGKAH KETIGA untuk menjadi
mahasiswa adalah dengan merubah PENAMPILAN. Daripada penampilan pelajar sekolah
kepada penampilan mahasiswa. Penampilan yang mempamerkan keyakinan dan jati
diri. Baik dari sudut penampilan sikap mahupun penampilan dalam berpakaian.
Penampilan yang dimaksudkan
semestinya penampilan yang berimejkan Islam. Juga penampilan yang kemas dan
sederhana. Tidak terlalu terkesan dengan trend terkini atau kononnya up to
date. Berdasarkan kajian pakar psikologi, penampilan seseorang dari sudut
rupa paras, pemakaian dan air muka amat memberi kesan kepada daya pengaruh
seseorang individu tersebut.
Bayangkan jika seseorang
individu itu memasuki mesyuarat dengan berkain pelekat dan berbaju t-shirt,
pastinya segala pandangan dan hujahnya dipandang lemah dan tidak memberi kesan
kepada keputusan mesyuarat. Berbeza pula jika individu yang sama itu memasuki
mesyuarat dengan mengenakan blazer, kemeja, bertali leher, seluar hitam dan
berstoking. Pastinya daya pengaruh individu tersebut meningkat dan memberi
kesan kepada mesyuarat.
Bukan imej yang kita kejar.
Bukan populariti yang kita gilakan. Namun dalam berdakwah perlunya kepada daya
pengaruh, agar segala mesej dakwah yang hendak disampaikan lebih mudah dan
berkesan.
CAKNA ISU
SEMASA
LANGKAH KEEMPAT sebagai
mahasiswa yang proaktif, anda perlu sentiasa CAKNA ISU SEMASA. Sentiasa cakna
dan bukan bermusim. Cakna kepada isu di Malaysia, cakna kepada isu umat Islam
sedunia, dan cakna kepada isu mahasiswa. Bagaimana anda mahu bertindak dalam
berdakwah andai isu semasa tidak diketahui?
Sifat yang hanya bersendirian,
tidak mengambil peduli pihak lain dan hanya menguruskan hal peribadi sahaja
adalah merugikan diri anda dan juga merugikan pihak lain. Anda rugi kerana
tidak mampu memberi manfaat kepada masyarakat. Dan masyarakat juga rugi kerana
tidak dapat mengambil manfaat daripada anda.
Kontinjen Wilayah Persekutuan
menyertai Konvensyen DPM kali ke-4, mereka bersama-sama dalam mendepani isu
mahasiswa.
Pada masa kini amat mudah untuk
anda mendapatkan sumber-sumber info isu semasa. Baik info itu bersumber daripada
sahabat anda, ataupun daripada Facebook dan bahan-bahan bacaan lain. Segala-galanya
‘mudah dicapai’. Maka tiada alasan dalam mendapatkan maklumat tentang isu
terkini. Jadilah seorang individu yang cakna dengan perkembangan sekeliling,
moga anda mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan masyarakat juga mampu
menikmati manfaat daripada anda.
KOMITMEN
Saban hari bersama BKAWM saya
menerima tugasan. Belajar menerima komitmen dan memberi komitmen. Di sana abang
dan kakak senior memberi tunjuk ajar dan bimbingan nasihat kepada saya dalam
menjalankan tugasan yang diberi. Baik selaku AJK kecil yang mengedar iklan,
hinggalah ke tahap Yang Dipertua. BKAWM memberi saya ruang dan peluang untuk
berkomitmen.
LANGKAH KELIMA dalam menjadi
mahasiswa, anda perlu dan pastinya memiliki KOMITMEN dalam organisasi dan
masyarakat sekeliling. Dan pastinya di sana memerlukan kepada kemahiran,
pengurusan dan kesabaran yang tinggi. Jalan penyelesaiannya bukanlah dengan
anda mengurangkan tahap komitmen tersebut, tetapi adalah satu cabaran kepada
anda untuk terus memberi komitmen kepada tugasan dan tanggungjawab.
Daya kekuatan komitmen anda amat
diperlukan dan amat berguna dalam kehidupan seharian. Bukan sahaja ketika kita
di alam mahasiswa, bahkan sehingga ke alam kerja dan berkeluarga juga
membutuhkan kepada komitmen yang tinggi. Belajarlah untuk berkomitmen bermula
hari ini.
Jangan pandang masalah sebagai
masalah, pandanglah setiap masalah sebagai cabaran. Cabaran yang perlu dihadapi
bukan dielak. Adanya masalah masa, maka itu adalah cabaran kepada anda untuk
mengurus masa. Adanya masalah kewangan, maka itu adalah cabaran kepada anda
untuk mengurus kewangan. Jika anda memandang masalah sebagai masalah, maka diri
anda sebenarnya yang bermasalah!
Jika anda tidak mahu terikat
dengan mana-mana komitmen, hanya mahu sekadar belajar berkawan, makan dan tidur
sahaja. Maka fikir-fikirkanlah, apa bezanya anda dengan mereka yang masih di
bangku sekolah.
Bagaimana pula mahu menjadi
seorang yang berkomitmen tinggi? Tipnya mudah sahaja, belajarlah untuk menerima
tugasan. Bermula dengan tugasan-tugasan yang kecil dan fokus sepenuh hati dalam
menjalankan amanah tersebut. Dengan izinNya anda akan menemui jalan dan ruang
untuk ke peringkat seterusnya.
Sesi fotografi selepas tamat
Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) kali ke-11, sesi pentadbiran ustaz Hisyam, mantan
YDP BKAWM 08/09. Mereka semua telah mempersembahkan komitmen yang luar biasa,
dan terus berbakti sehingga hari ini di posisi masing-masing.
LANGKAH
KEDUA
“Assalamualaikum Adlly, ana nak lantik anta
jadi unit disiplin MAT ni…” kedengaran suara ustaz Khairul Aswad samar-samar di
telefon bimbit saya. Ustaz Khairul Aswad menelefon saya dari Mesir ketika saya
sedang bercuti di Malaysia. Saya hanya bersetuju memandangkan saya sempat
pulang ke bumi Mesir sebelum tarikh MAT tersebut berlangsung.
MAT BKAWM kali ke-11 berlangsung
selepas beberapa hari pulang dari bercuti di Malaysia. Saya diberi tugasan
sebagai Ketua Unit Disiplin MAT dan dibantu oleh Timbalan Unit Disiplin,
ustazah Azizah. Tarikh MAT tersebut juga menyaksikan kenaikan saya dan
sahabat-sahabat lain selaku Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) BKAWM bagi sesi
2009/2010.
Langkah
kedua saya di dalam dunia BKAWM bermula…
Sesi
taaruf barisan AJKT BKAWM sesi 2009/2010 selepas pengumuman rasmi oleh pihak
SPR BKAWM 08/09.
“Sila beri tunjuk ajar kepada
ana, ana ni tak de pengalaman sangat, sekadar pencuci cawan di Café je la…”
antara ucapan saya ketika sesi taaruf barisan AJKT BKAWM sesi 2009/2010.
Pelbagai perasaan bermain ketika itu, mungkin juga kerana gemuruh dalam
menerima amanah baru yang cukup berat ketika itu.
Selepas majlis selesai, saya
naik ke rumah 601, bilik belakang 601 merupakan bilik ustaz Ali Imran ketika
itu. Merebahkan tubuh ke katil. Mengambil ruang untuk berehat. Beberapa minit
kemudian telefon bimbit saya berbunyi, inbox saya menerima message
daripada Kak Hana. Kak Hana mengucapkan tahniah atas perlantikan saya selaku
AJKT dan beliau memberi beberapa kalam nasihat. Sedar tak sedar, saya sudah
menjadi salah seorang daripada AJKT BKAWM. Apa perlu saya lakukan? Apa patut
buat? Bermacam-macam persoalan bermain di minda saya. Hanya mampu tersenyum dan
bersedia untuk meneruskan tugasan pada hari-hari seterusnya.
Beberapa hari kemudian barisan
AJKT mendapat pengesahan portfolio. Saya memegang portfolio Unit Perumahan,
Kesenian Dan Sukan (UPKS) dan dibantu oleh Timbalan Unit, ustazah Ashikin. Unit
yang menghimpunkan gerak kerja perumahan, kemasyarakatan, kesenian, kesukanan,
rehlah dan Skuad Bakti Suci (SBS). Unit yang banyak ‘memaksa’ saya untuk
memiliki pelbagai kemahiran. Belajar baiki alatan rumah yang rosak, belajar menghasilkan
iklan, belajar buat video, belajar urus rehlah, belajar berurusan dengan arab
dan macam-macam lagi. Semuanya belajar dari ‘kursus percuma’, anjuran UPKS.
“Air yang
bertakung tidak mengalir akan dirosakkan oleh statiknya itu, pemuda yang banyak
masa lapang (tidak aktif) akan dibunuh oleh masa lapangnya itu.” – Pepatah Arab.
0 comments:
Post a Comment