Sejuta langkah bermula dengan
langkah pertama…
10 MAC 2009
Hari ini merupakan hari pertama
saya ‘bertugas’ di Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM). Seawal
jam 10 pagi saya telah bersiap sedia. Berjalan kaki melangkah keluar dari sebuah
rumah pelajar Shoubra di Hayyu Sabie’, menyelusur jalan Syari’ Bukhori menuju
destinasi ke sebuah bangunan. Bangunan yang bakal menjadi asrama bagi anak-anak
Wilayah Persekutuan di bumi Mesir ini.
Minda ketika itu kosong, hanya
yang saya tahu ialah saya telah mendapat panggilan daripada sahabat-sahabat
untuk membantu mereka.
Saya dan hampir sepuluh
sahabat-sahabat yang lain dikumpulkan di Kuala Lumpur Cairo Café (KLCC). KLCC
ketika itu masih belum beroperasi dan masih belum diberi nama. Semua
sahabat-sahabat saya yang dikumpulkan terdiri daripada pelajar daripada
cawangan Shoubra. Turut bersama ketika itu ustaz Muhammad Nur Waafi (mantan Bendahari
Agung BKAWM 10/11). Kami semua disatukan di bawah Unit Jawatankuasa Khas
sempena perpindahan pelajar-pelajar Wilayah Persekutuan di Mesir ke dalam asrama
tersebut.
Unit Khas ini diketuai oleh
ustaz Anas, di bawah seliaan ustaz Ali Imran selaku Ketua Unit Perumahan Dan
Kebajikan (UPK) BKAWM sesi 2008/2009. Arahan yang kami terima hanya mudah
sahaja, pergi ke rumah-rumah ahli wilayah, dan bawa barang mereka ke asrama.
Namun tugasan yang kami lalui tidaklah semudah arahan yang diterima, dan itulah
realiti dalam berjuang.
TIDAK
SEMUDAH YANG DIRANCANG
Destinasi pertama kami adalah ke
Hayyu Asyir, satu persatu rumah ahli kami terokai dan mengumpul barang mereka
di bawah bangunan masing-masing. Perancangan awalnya adalah untuk mengumpul
semua barang di bawah bangunan dan menunggu lori datang untuk membawanya.
Perkhidmatan lori itu disediakan secara percuma oleh kontraktor asrama. Namun
semuanya tidak semudah yang dirancangkan apabila lori yang diharapkan tiba pada
tengah hari masih belum tiba. Lori tersebut lewat tiba bukan sejam dua, namun lewat
tiba pada malam harinya!
Lebih merumitkan apabila setiap
kali barang dan kotak-kotak diturunkan dari rumah penghuni ke bawah bangunan, kami
terpaksa menugaskan seorang daripada AJK untuk menjaga barang tersebut. Ini
bermakna semakin banyak rumah yang di terokai, semakin kuranglah petugas kami.
Inilah realiti dalam bekerja,
semuanya tidak semudah yang dirancang, hanya mereka yang merasainya sahaja yang
memahami hakikat ini. Sebab itulah tidak pelik apabila terdapat individu yang
masih baru dalam bekerja, terus memberi idea-idea yang fantastik tanpa berfikir
panjang. Mereka masih belum memahami kaedah pelaksanaan dan realiti semasa yang
sebenar.
Pada sebelah malam, setelah
beberapa jam menanti akhirnya lori tiba dan barang-barang terus dibawa ke
asrama. Barang-barang tersebut di kumpulkan di café terlebih dahulu sebelum di
agihkan ke bilik-bilik penghuni. Alhamdulillah proses perpindahan untuk hari
pertama berjalan dengan lancar.
Suasana
di café ketika pengumpulan barang-barang, kelihatan di dalam gambar ustaz
Khairul Aswad (mantan UPP 08/09) dan
ustazah Haizun Hasni (mantan N.P.HEWI 09-11).
Pada ketika itu hanya satu
perkara di dalam minda saya iaitu ingin membantu abang-abang dan kakak-kakak.
Tidak lebih dari itu, tidak mengharapkan sebarang ganjaran. Alhamdulillah
langkah pertama saya ke dunia BKAWM di bimbing oleh abang dan kakak senior
dengan baik.
Terima kasih juga kepada kakak
saya Nurul Hanna yang telah memberi banyak dorongan dan nasihat di peringkat
awal ini. Dari tangannya saya menerima borang keahlian BKAWM dan borang masuk
ke asrama. “Eh nanti hang isi borang ahli Selangor tu, tulis ahli bersekutu
tau, yang KL ni hang tulis ahli tetap” antara pesanan awal Kak Hana kepada saya
ketika menyerahkan borang keahlian BKAWM kepada saya. Pada ketika itu saya
hanya mengikut nasihat tersebut, dan mungkin kini baru saya memahami maksud
sebenar kata-kata itu.
SEBAGAI SENIOR
Sebagai seorang abang mahupun
kakak senior, anda perlu memberi peluang kepada adik-adik membantu dan bekerjasama
dengan anda. Jangan hanya mengharapkan mereka hadir dengan sendiri menawarkan
bantuan. Mereka tidak datang membantu mungkin kerana segan, mungkin juga kerana
tidak tahu apa yang perlu diberi bantuan, mungkin juga terasa tidak diperlukan.
Memberi peluang bermakna
menyediakan ruang untuk mereka berbakti. Bukan sekadar menanti peluang itu
sahaja. Maka peranan andalah selaku senior dalam sesebuah keluarga untuk
menyediakan peluang kepada adik-adik memberi bantuan kepada anda. Sama ada
bantuan itu secara spontan, secara rasmi, mahupun secara lantikan sebagai mentee
dan ahli jawatankuasa sesuatu unit.
Pengenalan dan taaruf seperti
bertanya nama, latar belakang dan bertegur sapa belum dikira lengkap tanpa
kerjasama. Hasil kerjasama antara senior dan junior akan mencorakkan satu
ikatan keluarga yang sempurna. Tanpa perlu di letakkan carta organisasi atau
siapa ketuanya, suasana ukhuwah kekeluargaan ini akan bercambah sendiri dengan
suburnya.
Berikan tugasan yang mudah dan
mesra pada peringkat awal kepada adik-adik seperti mengangkat barang, membasuh
alatan memasak dan membeli barangan di pasar. Lebih baiknya jika anda selaku
senior melakukan tugasan itu bersama-sama mereka. Ini secara langsung akan
menyediakan mereka untuk lebih bersedia menerima tugasan dan jawatan secara
rasmi.
PERANAN
KOMUNIKASI
Gunakan kaedah komunikasi yang
lebih mesra seperti “Jom kita angkat barang sama-sama”, berbanding komunikasi
yang berbentuk arahan seperti “Nanti anta angkat barang ni ke atas”. Pastinya
tiada niat di dalam hati anda untuk memaksa adik-adik dan tujuan anda juga
tidak terpesong dari syariat Islam. Namun peranan komunikasi amat penting dalam
memberi kesan kepada penerimaan ‘arahan’ tersebut.
Banyak idea yang bagus, namun
kelihatan tidak menarik hanya kerana kelemahan dalam berkomunikasi. Banyak juga
idea yang biasa-biasa sahaja, namun nampak menarik dan memberi kesan kepada
pihak lain hanya kerana kuasa daya berkomunikasi.
Seni dan kaedah komunikasi tidak
boleh diambil ringan. Bagi menguasai seni tersebut memerlukan kepada latihan
dan mengambil masa yang agak panjang. Kemahiran berkomunikasi itu tidak akan
datang bergolek. Namun tidak dinafikan ada di sana individu yang berbakat dalam
berkomunikasi. Satu anugerah dan nikmat daripada Allah kepada golongan tersebut
dan jangan salah gunakan nikmat pemberiannya.
Ustaz
Ali Imran, mantan UPK BKAWM 08/09 sedang memeriksa keadaan asrama ketika awal
kemasukan.
Apa yang penting adalah
keinginan anda untuk sentiasa menambah baik kaedah berkomunikasi dan sedia menerima
teguran. Antara tip bagi menguasai seni berkomunikasi dengan baik :
1. Sentiasa bergaul dengan masyarakat.
2. Memahami perbezaan komunikasi antara lelaki dan perempuan.
3. Sertai kursus dan bengkel berkaitan komunikasi.
4. Membaca bahan bacaan berkaitan komunikasi.
5. Berbincang dan bertukar pendapat dengan sahabat.
6. Sedia memperbaiki kaedah berkomunikasi dari semasa ke semasa.
1. Sentiasa bergaul dengan masyarakat.
2. Memahami perbezaan komunikasi antara lelaki dan perempuan.
3. Sertai kursus dan bengkel berkaitan komunikasi.
4. Membaca bahan bacaan berkaitan komunikasi.
5. Berbincang dan bertukar pendapat dengan sahabat.
6. Sedia memperbaiki kaedah berkomunikasi dari semasa ke semasa.
JUNIOR BERDEDIKASI
Kepada adik-adik junior,
serlahkan diri anda ke hadapan. Tiada siapa yang akan membawa anda ke hadapan
kecuali diri anda sendiri. Hulurkan bantuan semampunya dan terimalah tugasan
jika diberi peluang. Kerana di sinilah titik permulaan untuk anda mengenal
potensi diri dan mematangkan diri ke alam dunia sebenar.
Individu biasa hanya menanti
peluang, individu yang cemerlang mencari peluang, manakala individu yang luar
biasa pula mencipta peluang. Maka amat lemah dan rugilah bagi seseorang
individu yang menolak peluang. Lemah kerana menolak peluang dalam bertugas.
Rugi kerana menolak peluang mencari pengalaman dalam berpersatuan.
Kehadiran anda ke bumi Mesir ini
pasti tujuan utama adalah untuk belajar. Maka kutiplah segala ilmu dan
pengetahuan sama ada dari kelas pengajian mahupun melalui medium berpersatuan.
Anda adalah rantai-rantai
penyambung perjuangan abang-abang dan kakak-kakak senior. Maka pastinya anda
mahu menjadi senior yang lebih baik dari yang sedia ada. Jangan malu bertanya
dan berkongsi bersama senior. Pastikan anda sentiasa memegang kepada kaedah
‘rujuk’. Jika ada sebarang masalah, maka rujuklah kepada senior. Jika ada
sebarang kekeliruan, maka rujuklah kepada senior kalian.
Jika ada yang tidak berkenan
dengan sikap mana-mana senior, jadikan ia sebagai sempadan. Bukan sebagai
alasan untuk anda terus jauh daripada mereka. Jadilah junior yang berdedikasi,
proaktif dan bersemangat. Semoga bila tiba masa anda menjadi senior kelak, anda
juga akan memiliki adik-adik yang berdedikasi.
RALAT YANG
MENJADI ADAT
Kadangkala masih ada individu
yang berada dalam situasi yang ralat sama ada mereka sedari ataupun tidak. Ada dalam
kalangan senior yang segan untuk bersama adik-adik. Mereka lebih selesa
memencilkan diri. Mungkin mereka memegang kepada prinsip tidak mahu menyusahkan
pihak lain. Mungkin juga bagi mereka cukup sekadar mereka melaksanakan ibadah
dan tidak melakukan maksiat. Kalau begitu, di mana pula mahu letaknya seruan
Allah s.w.t tentang tanggungjawab Amar Ma’ruf Wa Nahi Mungkar?
Ada pula dalam kalangan
adik-adik yang tidak mahu bercampur dengan orang ramai. Bagi mereka cukup
sekadar belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan segulung sijil untuk dibawa
pulang ke Malaysia kelak. Namun sedarilah bahawa realiti kehidupan kita bukan
sekadar di dalam kelas pengajian semata-mata. Perlunya kemahiran mengurus
stres, kemahiran bermasyarakat, kemahiran mengurus kewangan dan sebagainya.
Jadilah seorang senior yang
memainkan peranan dalam membimbing adik-adik ke arah kebaikan. Jadilah seorang
junior yang sedia mencari ilmu pengalaman buat bekalan di dunia dan akhirat. Saling
memahami peranan masing-masing dalam membawa dakwah Islam.
erk..kat gmbar atas tu ustazah liyana ahmad la...
ReplyDelete