PENGURUSAN STRES : BAHAGIAN
3
Jika kita selalu stres, itu antara petanda
merosotnya tahap iman dan kurangnya amalan cara hidup Islam dalam kehidupan
kita…
Dari sudut perspektif Islam, stres bukan
sekadar berpunca daripada tekanan mental semata-mata. Bahkan berpunca daripada
kecelaruan dan kelemahan hati, roh, jiwa dan akal. Islam mendidik kita untuk
melalui jalan hidup yang selamat dan sempurna. Islam mengajar kita untuk
sentiasa tenang dengan cara memahami bahawa segala yang berlaku adalah dari
ketentuan Allah s.w.t.
Maka bagi menguruskan stres secara
menyeluruh, anda tidak boleh tertumpu pada aspek luaran semata-mata. Pengurusan
stres yang berkesan perlu meneliti juga aspek rohani. Statistik menunjukkan
bahawa hampir 70% pesakit yang mengunjungi hospital adalah berpunca daripada
stres. Stres boleh menyebabkan pelbagai penyakit kronik jika tidak di urus
dengan sempurna.
Buku
perubatan cara Rasullah s.a.w ini telah dikarang oleh Imam Ibn Qayyum
Al-Jauziyah lebih 650 tahun yang lepas. Karangan beliau telah diterjemahkan
kepada beberapa bahasa lain. Perubatan secara Islam ini membuktikan hubungan
kait rapat antara kesihatan rohani dan jasmani perlu seiringan. Buku ini boleh
didapati di Maktabah Darussalam.
KELEMAHAN
HATI
“Ish
dia ni, buat sakit hati aku jer…” ayat yang biasa kita dengar dalam bualan
seharian. Adakah ‘sakit hati’ itu bermaksud kepada kelemahan hati? Adakah ‘panas
hati’ itu membawa maksud kepada kelemahan hati? Kelemahan hati yang sebenar
adalah apabila seseorang individu itu jauh daripada Allah s.w.t. Kurang amal
ibadahnya, kurang mengadu kepada Allah s.w.t dan sering bergelumang dengan
dosa.
Kelemahan hati yang menyebabkan
lemahnya hubungan individu itu dengan Allah s.w.t. Memberi kesan kehidupan menjadi
sempit, seolah-olah tiada jalan keluar dari setiap masalah. Apabila hati kotor, maka akan timbul perasaan dan
persepsi yang negatif dalam diri anda seperti hasad dengki, dendam dan
sebagainya.
“Sesiapa yang berpaling dari
ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya
baginya kehidupan yang sempit dan kami akan himpunkan dia di hari qiamat dalam
keadaan buta” - Surah Taaha : 124
Hati yang baik mempunyai unsur yang sangat halus (latifah)
ketuhanan (rabbaniah) dan kerohanian (ruhaniah). Sucikan hati anda dengan amalan seperti banyakan
berzikir dan membaca Al-Quran. Lapangkan hati anda, sentiasalah berfikiran
positif.
Banyak individu
telah mengalami stres tetapi terus dengan cara kehidupan yang sama dengan
menggunakan penafian. Seseorang individu itu akan menggunakan mekanisme minda
untuk mempertahankan diri dari sedar akan keadaannya yang sebenar. Merasionalkan
perbuatannya itu atas sebab-sebab yang boleh diterima. Contohnya seorang
perokok itu menidakkan keadaan paru-parunya yang tidak sihat dan mengatakan
merokok itu baginya melegakan stres.
Mekanisme
mempertahankan diri ini agak sesuai dalam mengendalikan diri semasa berhadapan
dengan stres yang besar tetapi bukan cara yang baik untuk mengatasi masalah
atau stres yang berpanjangan. Pengawalan stres yang berjaya ialah dengan
bersikap “Apa yang boleh dilakukan” bukannya “Kalaulah...”. Bertindak melegakan
stres akan membantu diri anda hidup dalam keadaan sihat dan cergas.
KELEMAHAN JIWA
Al-Imam
Al-Ghazali, memberi pengertian An-Nafs itu sebagai satu unsur yang halus
yang mana dialah hakikat manusia. Ia mempunyai bermacam-macam sifat dan
bermacam-macam keadaan. Apabila keinginan negatif dan keburukan
menguasai hati itulah yang dikatakan ‘nafs lawwamah atau nafs ‘ammaratu
bissu’. Apabila ketenangan, ketenteraman dan kejernihan menyelubungi
hati itu, maka itulah yang disebut oleh Allah s.w.t dengan ‘nafsul mutmainnah’
:
“Wahai jiwa yang tenang
kembalilah kepada Tuhanmu dengan penuh keredaan maka masuklah ke dalam kumpulan hamba hambaku yang berbahagia
dan masuklah ke syurga ku” – Surah Al-Fajr : 27-30
Roh menghidupkan jasad atau badan maka kekuatan
roh itu dinilai dari sudut mengenali Allah s.w.t. Semakin ia kenal Allah,
semakin kuat dan mantap roh itu. Jika tidak, jadilah roh itu roh yang lemah
yang mudah diganggu dan diresapi oleh Syaitan. Peliharalah roh anda dengan
sentiasa melakukan ibadah kepada Allah s.w.t.
Stres
berganding erat dengan ketakutan. Takut kegagalan, takut dalam pengharapan,
takut perubahan, takut seseorang, takut imej diri yang tidak baik, takut
kejayaan, takut akan tidak dapat melakukan sesuatu adalah antara bermacam-macam
jenis takut. Takut tidak dapat melakukan sesuatu adakalanya menghalang
seseorang itu memulakan sebarang usaha.
Penawar
paling baik kepada takut tidak dapat melakukan sesuatu ialah dengan terus
melakukannya. Takut seperti juga stres ada positif dan negatifnya. Bila
berhadapan dengan ketakutan adalah lebih wajar mengambil kira realiti dan bukan
dongengan atau kebimbangan yang tidak realistik. Berani untuk menerima perasaan
takut dan mengawal atau menakluki ketakutan itu.
“Sesungguhnya berjayalah mereka
yang membersihkan jiwanya. Dan rugilah mereka yang mengotorinya” – Surah
As-Syams : 9-10
KELEMAHAN AKAL
Kelemahan akal berpunca dari kejahilan atau sedikit ilmu
seseorang. Mereka yang lemah akalnya pasti akan menemui pelbagai masalah dan
sukar untuk mengatasinya walaupun kadangkala masalah itu hanyalah masalah yang
remeh. Atasi kelemahan akal dengan menimba ilmu, banyakan bahan bacaan dan
sumber ilmu selain ilmu yang anda pelajari di pusat pengajian anda.
Jika anda mahukan diri anda lebih baik daripada semalam,
maka setiap hari anda hendaklah sentiasa dalam keadaan menimba ilmu. Bawalah
buku ke mana jua anda pergi dan jika ada masa lapang terus membacanya walau
sedikit. Amalkan budaya membaca dan mencari ilmu dalam hidup anda.
Maka jelaslah bahawa kunci utama untuk mendapat
kebahagian hidup adalah dengan menjaga hati, jiwa dan akal. Sentiasa hidup
berlandaskan syariat Islam. Semoga dengan izinNya kita semua dapat menikmati kehidupan
dunia dan akhirat dengan sempurna.
“Allah tidak akan menguji manusia
melainkan sepadan dengan keupayaan mereka menghadapinya.” –
Surah Al-Baqarah : 286
0 comments:
Post a Comment