Lelaki penuh
dengan fakta dan rasional…
Wanita pula
kaya dengan emosi dan perasaan…
HAKIKAT PERBEZAAN
“Assalamulaikum
ustaz, maaf ganggu, ustaz ada dekat mana ya sekarang ni?” saya mendapat
panggilan daripada seorang siswi.
“Waalaikumusalam,
ana ada di rumah” jawab saya ringkas.
“Ustaz sibuk
tak sekarang?” tanya siswi itu lagi.
“Tak, kenapa
ya?” jawab saya ringkas dan bertanya semula, mungkin mahu segera mengetahui
sebab panggilan tersebut.
“Ustaz boleh
tak tolong hantarkan tong gas ke rumah ana?” akhirnya siswi tersebut menyatakan
hasrat sebenarnya.
“Boleh”
jawab saya ringkas lagi.
“Ustaz boleh
hantar sekarang ke tong gas tu?” siswi itu menduga.
“Boleh”
jawab saya.
“Eh tak pe
la ustaz, ana nak keluar ni, nanti ana call semula, assalamualaikum
ustaz, maaf ganggu…” siswi tersebut mengakhirkan perbualan.
“Kenapa tak
cakap nak tong gas je, kan senang, tak payah nak sembang panjang-panjang” ngomel
saya seorang diri.
Ada kalanya pernah juga saya
menerima panggilan yang terlalu ringkas daripada kalangan siswa. “Nanti ana
hantar surat tu dekat anta.” terus siswa tersebut menamatkan panggilan. Panggilan
yang cukup ringkas, hanya mengandungi fakta yang hendak disampai. Tiada pembuka
dan penutup bicara. Sungguh ‘rasional’ siswa tersebut!
Ini mungkin pengalaman yang saya
sendiri alami. Pengalaman yang mewakili sebahagian golongan tertentu. Anda
mungkin berhadapan dengan individu yang berbeza-beza perwatakannya. Hakikatnya inilah
realiti, lelaki hanya memerlukan fakta dalam berkomunikasi. Manakala komunikasi
wanita pula bersulam emosi. Lelaki mahukan komunikasi yang ringkas dan padat.
Wanita pula perlukan komunikasi yang sempurna huraiannya. Kedua-duanya saling
melengkapi.
Saya bukanlah pakar psikologi,
bukan juga pakar motivasi. Hanya sekadar berkongsi pengalaman yang pernah saya
lalui.
LAMPU SULUH
VS LASER
Seorang lelaki memiliki sembilan
rasional dan satu emosi. Berbeza dengan wanita yang memiliki sembilan emosi dan
satu rasional.
Dalam kehidupan seharian seorang
lelaki, mereka hanya berkehendak kepada perkara yang rasional sahaja. Keadaan
bilik yang ringkas. Menu makanan pun asal kenyang dan kaedah komunikasi juga
ringkas sahaja. Inilah sebab lelaki agak lemah dalam memahami wanita yang kaya
dengan emosi.
Wanita pula merupakan individu
yang inginkan kesempurnaan. Mereka lebih mahir dalam perkara yang halus
berbanding lelaki kerana mereka memiliki sentuhan naluri yang tinggi. Mereka cekap
dalam menyediakan keadaan bilik yang sempurna dan menu makanan yang menarik.
Inilah juga sebab wanita selalu gagal dalam memenangi pemikiran lelaki yang
penuh dengan rasional.
Lelaki ibarat cahaya laser yang
mampu pergi jauh. Lelaki selalu melihat perkara yang terkehadapan dan terus
menuju ke arah tersebut. Namun titik fokusnya kecil sahaja. Berbeza dengan
wanita, pemikirannya ibarat lampu suluh. Mampu lihat dengan kadar yang luas.
Wanita mampu melihat perkara-perkara yang lebih terperinci dan hal-hal kecil
berbanding lelaki. Namun cahaya lampu suluh itu tidak mampu pergi jauh seperti
cahaya laser. Kedua-dua unsur ini saling melengkapi.
“Eh ustaz, macam mana dengan
tema warna persiapan? Set kelengkapan pinggan VIP nak guna ke?” pihak timbalan
memainkan peranan dalam memantau perkara yang teknikal. “Erm ana serah pada ustazah
je, ana nak kena settlekan urusan bas peserta, lagi penting.” pihak
ketua yang inginkan komunikasi yang ringkas dan lebih fokus pada perkara yang
lebih besar.
Ini antara format komunikasi
yang sering berlaku. Pihak wanita perlu memainkan peranan dalam memantau
perkara yang lebih teknikal dan jangan pelik jika pihak lelaki kurang cakna hal
ini. Pihak lelaki pula perlu memainkan peranan dalam menangani isu yang lebih
besar dan jangan pelik jika pihak wanita terlalu banyak cakna hal sampingan
berbanding hal utama yang anda lihat.
“Ustaz, kad nama tak siap lagi
ni.” timbalan cuba mengingatkan ketuanya. “Tak de kad nama pun tak pe la, ana
nak kena settle benda lagi penting, tempat program tak dapat lagi ni…”
ketua cuba memberi penerangan bercampur sindiran. “VIP punya hadiah nak beli
apa ya?” timbalan memberi asakan soalan seterusnya. “Ala ustazah kan dah besar,
pandai-pandai je la…” gurauan ketua yang sudah mula rimas dengan soalan-soalan
remeh. “Erm…” akhirnya timbalan malas bersuara. Ini antara contoh perkembangan
komunikasi yang tidak baik.
SALING
MEMAHAMI
“Berpesanlah
kamu kepada wanita dengan cara yang baik. Sesungguhnya wanita itu berasal
daripada tulang rusuk. Sesungguhnya sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah
tulang rusuk yang paling atas. Jika engkau hendak meluruskan tulang rusuk yang
telah bengkok itu bererti engkau hendak mematahkannya, dan jika engkau biarkan
begitu sahaja, tentulah tulang selama-lamanya tulang itu dalam keadaan bengkok.
Maka kamu terimalah amanah terhadap wanita dengan cara yang baik.” – Hadis
Riwayat Bukhari.
Apabila seorang lelaki ingin
berkomunikasi dengan wanita. Gunakan frasa ayat yang lengkap dan arahan yang
terperinci dan jelas. Pastikan anda tidak terus fokus kepada isi yang hendak
disampaikan. Utamakan perasaan pihak wanita dalam menerima isi komunikasi
tersebut. Fahamilah bahawa mereka kaya dengan emosi.
Bagi wanita yang ingin memenangi
komunikasi lelaki. Kurangkan tahap emosi anda. Fokus kepada fakta dan poin yang
hendak disampaikan. Ringkaskan struktur ayat anda kerana lelaki tidak minat
kepada komunikasi yang berjela-jela dan soalan yang bertimbun. Fahamilah bahawa
mereka adalah individu yang kering emosi.
Kursus
Pengurusan Organisasi (KPO) AJKT BKAWM 09/10. BKAWM menyediakan ruang untuk
mahasiswa/wi belajar berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain.
Perkara utama adalah anda perlu
sentiasa mencuba untuk memahami dan bekerjasama dengan pihak lain. Jangan hanya
mahu memenangkan ego sendiri kerana ini hanya merugikan diri anda dan
organisasi. Masalah komunikasi jika tidak dikawal akan membawa kepada masalah
gerak kerja dan mungkin juga akan membawa kepada masalah lain seperti stres.
Sepanjang pengalaman saya bekerja di dalam persatuan, sering kali berlaku
permasalahan komunikasi antara ketua dan timbalan. Namun perkara ini bergantung
ke atas sejauh mana usaha mereka dalam saling memahami. Inilah cabaran dalam
menurus seni dan kaedah berkomunikasi.
Mengurus masalah komunikasi akan
menjadi mudah apabila kedua-dua pihak meraikan kelemahan dan kelebihan
masing-masing. Kedua belah pihak memahami peranan masing-masing. Ketua memahami
kemampuan timbalan dan timbalan pula memahami rentak kerja ketua. Bukan satu
kesalahan jika berlaku masalah dalam komunikasi. Itu adalah perkara normal. Tetapi
yang menjadi masalahnya apabila anda tidak tahu cara untuk mengatasinya.
Lelaki
sering bertenaga apabila diperlukan…
Wanita
sering bersemangat apabila dihargai…
Kuota
percakapan lelaki dalam sehari sekitar 5,000 patah perkataan…
Kuota
percakapan perempuan dalam sehari sekitar 20,000 patah perkataan…
Jadilah
seorang lelaki yang matang dalam menangani emosi wanita…
Jadilah
seorang wanita yang matang dalam mendepani rasional lelaki…
0 comments:
Post a Comment