PENGURUSAN STRES : BAHAGIAN 1
Jika anda bijak mengurus stres, maka stres akan membantu anda dalam
mencapai matlamat yang anda tujui…
Musim peperiksaan tiba lagi. Pelbagai persediaan perlu
dilakukan bagi mendapat hasil yang terbaik. Persediaan bahan bacaan, persediaan
meja belajar, persediaan kesihatan dan juga persediaan mental. Di musim
peperiksaan inilah juga bermacam-macam ujian yang muncul. Tidur pun serba tidak
kena, makan pun selera macam-macam, mandi pun di tempat wuduk, stok koleksi movie
pula kian bertambah, memang terbaik…
Antara ujian utama yang pasti kita semua alami adalah
ujian perasaan. Masalah dalam menghadapi tekanan perasaan atau bahasa umumnya
STRES. Stres adalah perkara normal. Hanya orang tidak normal sahaja yang tidak
mengalami stres. Maka masalah stres bukanlah untuk di elakkan, bukan juga untuk
dibuat tidak tahu sahaja. Stres adalah satu cabaran kepada kita semua. Cabaran
dalam mengurus stres.
Best juga ada stres, namun sejauh manakah anda memahami dengan sebenar maksud
stres?
Stres adalah keadaan resah, cemas dan sebagainya di sebabkan akibat
tekanan mental atau fizikal. Stres juga merupakan
tindak balas dari minda dan fizikal terhadap perubahan-perubahan yang berlaku
di persekitaran anda. Secara umumnya, stres
adalah istilah yang merangkumi maksud tekanan, beban, konflik, keletihan,
ketegangan, panik, perasaan gemuruh, bimbang, kemurungan dan hilang daya. Gejala stres ini terhasil apabila seseorang itu berasa yang
keperluan melebihi dari keupayaan atau sumber yang ada pada dirinya.
Faktor
persepsi memainkan peranan yang penting dalam diri seseorang. Jika anda
memandang sesuatu perkara itu dengan persepsi yang negatif, maka anda akan
mengalami tekanan stres. Sesuatu rangsangan luaran yang hanya bersifat neutral
itu boleh menghasilkan pengamatan yang
berbeza antara dua individu yang berlainan dan yang seterusnya
menghasilkan tindak balas yang berbeza.
Bagaimana
kita mengamati kehidupan adalah ditentukan oleh cara kita menerima diri
sendiri. Oleh itu, sesuatu realiti itu bukan dijadikan untuk kita, tetapi untuk
dibentuk oleh kita sendiri. Bergantung pada diri seseorang, ada individu yang
bangkit dengan cabaran dalam kesukaran kehidupan, ada pula individu yang
mengelak. Ada yang terus hidup bergelumang dengan kesukaran dan ada yang terus
hilang daya dalam meneruskan kehidupan mereka. Hanyut dibawa arus hidup.
Adakah anda tidak mengambil peduli
tentang stres?
Adakah anda cuba mengelak daripada
stres?
Atau adakah anda mengambil langkah
bijak dengan mengurus stres tersebut?
KESAN STRES
Masalah stres adalah antara isu utama
yang melanda masyarakat umum. Semua manusia normal tidak akan terkecuali
daripada menikmati stres.
Apabila
seseorang individu itu tidak mampu mengurus stres dengan baik, maka stres akan
menguasai diri mereka. Mereka akan mempamerkan stres tersebut sama ada secara
sedar atau pun tidak sedar. Sebagai seorang pemimpin, amat penting untuk anda
mengenali dan mengesan kesan stres ini pada orang bawahan anda bagi memudahkan
anda memberi nasihat atau tugasan kepada mereka. Sebagai seorang sahabat pula
anda perlu mengenal pasti sahabat-sahabat di sekeliling anda sama ada mereka
sedang mengalami stres atau pun tidak.
Kesan-kesan stres dapat dilihat pada seseorang individu itu melalui beberapa
perkara :
1. Cara pemikiran
Pemikiran mereka yang sedang stres akan menghasilkan
keputusan yang tergesa-gesa dan tidak matang. Mereka yang stres juga akan sukar
untuk memberi keputusan kerana pemikiran yang sedang berserabut.
2. Air muka
Mereka yang sedang mengalami stres akan mempamerkan air muka
yang tidak tenang. Ini dapat dilihat melalui kerutan dahi, jelingan mata, mimik
bibir dan sebagainya.
3. Kaedah komunikasi
Kaedah komunikasi mereka yang sedang stres akan berubah
secara langsung. Ada individu yang lebih banyak berdiam diri ketika stres. Ada
juga yang lebih gemar bergurau ketika stres.
4. Tingkah laku
Tingkah laku mereka yang sedang mengalami stres juga akan
berubah. Kebanyakan individu akan lebih cenderung untuk bersendirian apabila
menghadapi stres. Mereka juga akan mengambil jalan mudah untuk melepaskan stres
seperti keluar berhibur.
5. Penampilan dan imej
Mereka yang tidak mampu mengurus stres dengan baik akan
mempamerkan kesannya secara langsung melalui penampilan dan imej mereka.
Penampilan mereka akan kelihatan tidak menarik.
Jadi
perhatikanlah diri anda dan mereka yang berada di sekeliling anda, adakah anda
mempamerkan kesan-kesan stres ini apabila anda menghadapinya? Menerima stres
adalah perkara normal, perkara yang penting adalah bagaimana anda
menguruskannya. Fahami punca stres, atasi stres dengan pengurusan yang
berhemah, dan teruskan hidup dengan pemikiran yang positif dan optimis.
Buku bertajuk
‘How to Stop Worrying anda Start Living’ (Bagaimana Berhenti Bimbang Dan Teruskan
Kehidupan) antara buku yang membincangkan tentang bagaimana menangani cabaran
hidup, dan membina kehidupan kita di jalan yang terbaik. Karangan seorang
motivator dunia, Dale Carnegie. Beliau menghimpunkan kisah dan pengalaman
beliau dalam menangani masalah kehidupan pelbagai lapisan masyarakat secara
realiti.
KISAH
DALE CARNEGIE
Dale Carnegie merupakan seorang
motivator yang terkenal di peringkat antarabangsa, antara karya penulisan
beliau adalah buku motivasi berjudul How To Win Friends And Influence
People. Buku tersebut telah terjual lebih 16 juta cetakan di serata dunia.
Dale Breckenridge Carnegie
dilahirkan pada 24 November 1888 di Maryville, Missouri. Dibesarkan di dalam
sebuah keluarga petani yang amat miskin. Merupakan anak kedua kepada pasangan
James William Carnegey dan Amanda Elizabeth Harbison.
Ketika berusia remaja, beliau
terpaksa bangun seawal 4.00 pagi bagi memerah susu lembu bagi membantu
keluarganya. Beliau kemudiannya menyambungkan pengajian di State Teacher’s
College di Warrensburg. Selepas menamatkan pengajian, beliau melakukan pelbagai
jenis pekerjaan. Daripada menjual sabun hingga menjual trak.
Di dalam buku beliau bertajuk How
To Stop Worrying And Start Living, beliau telah menceritakan tentang
kehidupan beliau. “Pada 35 tahun yang lepas, saya tergolong di kalangan mereka
yang paling malang di New York. Saya bekerja sebagai penjual trak. Namun saya
tidak memahami bagaimana trak itu berfungsi, bahkan membenci pekerjaan itu”
beliau menceritakan kisah hitam dalam hidupnya kepada pembaca. Ketika bekerja
sebagai penjual trak itulah beliau telah mengambil keputusan untuk merubah
kehidupannya.
Beliau merasakan bahawa kehidupan
beliau telah menjadi amat teruk. Beliau amat merindukan pengalaman dan
impiannya ketika kuliah dahulu, beliau merindukan saat-saat yang tenang ketika
membaca dan menulis buku. “Saya yakin dengan menamatkan pekerjaan ini, saya
tidak akan rugi, bahkan akan menguntungkan diri saya. Telah tiba masanya untuk
saya membuat perubahan.”
Beliau mengambil keputusan untuk
memasuki bidang pendidikan dan latihan pembangunan insan. Beliau telah membuat
permohonan untuk mengajar kursus penyelidikan di Colombia University dan New
York University. Permohonan beliau itu ditolak mentah-mentah.
Kemudian beliau permohonan untuk
bekerja di YMCA bagi mengajar kelas malam. Pihak YMCA bersetuju untuk mengambil
beliau dengan bayaran yang murah. Beliau bersetuju, tetapi cabaran yang besar
sebenarnya adalah apakah yang perlu beliau mengajar di dalam kelas malam
tersebut?
Pelajar yang hadir di dalam kelas
tersebut terdiri daripada golongan orang dewasa yang ingin meningkatkan ilmu
pengetahuan mereka bukan melalui sekeping sijil, tetapi melalui latihan yang dapat
mereka praktikkan di dalam kehidupan seharian. Pihak YMCA pula mahu beliau
menunjukkan prestasi yang baik dalam masa yang singkat. Kebanyakan pelajar di
dalam kelas tersebut membayar yuran secara ansuran, maka jika prestasi beliau
tidak baik, pelajar tidak akan membayar yuran dan YMCA akan menamatkan
perkhidmatan beliau.
Beliau mendapat idea dengan mengajar
pelajarnya mengenai ilmu komunikasi dan pengaruh, juga menjadikan kelasnya
sebagai platform untuk para pelajar bertukar-tukar pendapat dan menyelesaikan
masalah harian yang mereka hadapi. “Saya perlu mendorong pelajar saya,
menyelesaikan masalah-masalah yang mereka hadapi dan setiap jam diisi dengan
pelajaran yang menarik sehingga mereka terus berminat mengikuti pelajaran
seterusnya.”
Hasilnya, kelas beliau telah
mendapat sambutan luar biasa. Sehinggakan pihak YMCA terpaksa membayar kepada
beliau lebih hampir lapan kali ganda daripada bayaran asal. Melalui YMCA ini
kehidupan beliau menyinar. Beliau juga bersyukur atas hikmah penolakan dua universiti
sebelum ini.
“Sekarang saya bersyukur kepada
tuhan kerana mereka menolak permohonan saya, disebabkan itu saya ditawarkan
mengajar kelas-kelas malam YMCA”, tulis beliau di dalam prakata buku How To
Stop Worrying And Start Living.
Karya penulisan pertama beliau
adalah buku bertajuk Public Speaking : A Practical Course For Business Men,
diterbitkan pada tahun 1926. Diikuti oleh buku Public Speaking And Influence
Men In Business pada tahun 1932. Penulisan beliau yang mendapat sambutan
luar biasa adalah buku bertajuk How To Win Friends And Influence People
yang diterbitkan pada tahun 1936. Merupakan buku terlaris pada tahun 1937 dan
dicetak sebanyak 17 kali dalam beberapa bulan sahaja. Buku ini masih dicetak
sehingga hari ini dan telah dialih bahasa kepada 40 bahasa.
Beliau meninggal dunia pada 1
November 1955 dan telah meninggalkan warisannya merupakan penulisan buku beliau
dan sebuah konsultan Dale Carnegie Institute for Effective Speaking and
Human Resource, peninggalan beliau telah memberi perubahan kepada
berjuta-juta orang di seluruh dunia.
0 comments:
Post a Comment