Sebelum
mengembara jauh, siapkan bekalannya terlebih dahulu…
TRY AND
ERROR AND GAMBLE
Tugasan besar yang pertama saya
terima pada peringkat awal adalah menjadi Eksekutif Perhubungan dalam program
Sambutan Ulang Tahun Kali Ke-10 BKAWM (SEDEKAD `09). Bertugas sebagai seorang
Eksekutif tanpa kemahiran pengurusan yang cekap pastinya menjanjikan kerumitan
yang luar biasa. Bukan sekadar kurang dalam pengalaman mengendali sesebuah
unit, bahkan membawa kenderaan pun masih tidak mampu ketika itu.
Dalam keadaan serba kekurangan,
saya terpaksa juga mengendalikan pengangkutan barang-barang program dari
destinasi ke destinasi. Mengatur jadual kereta, pemandu dan AJK kecil. Memberi
penerangan gerak kerja kepada AJK bawahan semampu mungkin. Dalam program yang
sama juga saya bertanggungjawab untuk mengendalikan kaunter pameran SWAD PMRAM
dan persembahan Tae Kwon-Do.
Tugasan yang kedua adalah
menjadi Pengarah Program Majlis Ramah Mesra Dan Sambutan Aidiladha (MARMA `09).
Menjadi seorang pengarah dalam keadaan masih terpinga-pinga tentang format
kertas kerja dan tiada pengalaman dalam mengendali mesyuarat. Apatah lagi ilmu
perancang dan strategi belanjawan, jauh sekali memahami istilahnya ketika itu.
Ibarat berjalan di dalam gelap, sesekali terhantuk dan sesekali jatuh ke dalam
lubang. Pertindanan tugasan AJK, pengurusan belanjawan program tidak
sistematik, kambing sakit dan bermacam-macam lagi cabaran entah dari mana
puncanya.
Bukan tiada kefahaman, bukan
tiada semangat, namun kurang dalam kemahiran dan pengalaman. Tiga perkara ini
perlu seiringan, KEFAHAMAN dalam membawa dakwah Islam, SEMANGAT dalam berjuang
dan KEMAHIRAN dalam mengurus.
Bekerja dalam keadaan semangat
kerja tanpa kemahiran, maka jadilah konsep kerja try and error.
Melakukan sesuatu tanpa kepastian apakah hasilnya kelak. Akhirnya membawa
kepada ‘gamble’ atau bahasa ‘K.L.’nya “Belasah je!”.
Majlis perasmian MARMA `09, dari
kanan ustaz Samad selaku YDP BKAWM 09/10, ustaz Halim selaku Pengurus ARWP dan
perasmi, dan saya selaku pengarah.
BEKALAN AWAL
Kemahiran asas seperti kefahaman
dalam ilmu Fiqh Khamsah, seni berkomunikasi dan perakaunan adalah amat
penting. Ini bagi memastikan setiap individu itu mampu menempuhi cabaran dalam tugasan
yang dihadapinya dari peringkat ke peringkat seterusnya dengan baik. Kadangkala
terdapat individu yang diberikan tugasan dan terus sahaja melaksanakan tugas
tersebut. Tanpa memiliki kemahiran asas yang baik maka tugasan yang dibawa
hanya sekadar menyelesaikan tugas sahaja.
Poin di sini
adalah : Miliki kemahiran asas dan praktiknya dalam bekerja.
Selaku pekerja yang cemerlang,
anda tidak boleh hanya menyelesaikan tugasan semata-mata. Anda perlu sentiasa
menambah kemahiran anda dari sudut pengurusan dan sebagainya. Sama ada dengan
cara menyertai kursus-kursus, membaca buku atau merujuk senior. Pastikan usaha
ke arah menambah nilai diri anda itu sentiasa berlaku.
Sebagai pemimpin pula, anda
perlu menyediakan AJK dan petugas bawahan anda dengan kemahiran asas yang cukup.
Jangan hanya bijak memberi arahan dan mengatur tugasan sahaja. Aturkan
pengisian kepada AJK anda sama ada dalam bentuk taklimat mahupun kursus.
Sentiasa pantau dan bimbing AJK bawahan dalam tempoh mereka bekerja. Tegur jika
ada nampak kekurangan, hargai dan iktiraf mereka jika ada hasil yang baik. Jangan
hanya memberi arahan, dan di akhir sesi muhasabah sahajalah yang memenuhi
laporan.
Sebetulnya semakin banyak
bekerja, semakin mahir seseorang individu itu dalam mengaplikasikan ilmu teori
yang dimilikinya. Tidak sewajarnya pula jika semakin banyak bekerja, semakin
ketemui pelbagai masalah yang rumit pula dan akhirnya membawa kepada futur (lemah
semangat).
Mengembaralah
dengan bekalan yang cukup…
Berikanlah
bekalan kepada mereka yang bakal mengembara…
PUNCA DAN
FAKTOR
Segala isu dan permasalahan
pastinya berpunca dari PENGURUSAN. Adanya masalah kewangan, maka pastinya di
sana terdapat permasalahan dalam pengurusan kewangan. Adanya masalah tenaga
kerja, maka pengurusan tenaga kerja yang bermasalah. Begitulah seterusnya.
Masalah pengurusan pula sering
kali berpunca daripada masalah KOMUNIKASI. Kertas kerja program dan pengurusan
telah sempurna, tetapi kerana masalah pada peringkat penerangan kepada AJK,
maka masalah mula timbul. Lemah daya pengaruh menyebabkan gerak kerja
pengurusan menjadi terbantut. Ini semua berpunca daripada masalah komunikasi.
Masalah komunikasi pula pastinya
berpunca daripada MINDA. Minda yang memberi input kepada tubuh badan untuk
berkomunikasi. Minda yang negatif akan menghasilkan komunikasi yang negatif. Minda
yang lemah akan menghasilkan daya komunikasi yang lemah.
Perkara ini
sering saling berkaitan :
ISU/MASALAH
– PENGURUSAN – KOMUNIKASI – MINDA
Maka perlunya anda menyediakan
diri dan AJK bawahan anda dengan persediaan bekalan yang baik. Persediaan minda
seperti kefahaman fikrah yang jelas, kefahaman Fiqh Khamsah, pemikiran
positif dan imaginasi yang cemerlang. Persediaan komunikasi seperti seni
berkomunikasi antara lelaki dan wanita, daya pengaruh dan kemahiran menyampai.
Persediaan kemahiran strategi pengurusan seperti kemahiran pengurusan
kepejabatan, pemfailan, pengurusan program dan format terkini.
Apabila aspek tersebut anda
mampu kuasai dengan baik, maka mudahlah bagi anda terus ke peringkat
menyelesaikan sebarang isu dan masalah. Juga dalam memimpin sesebuah
organisasi.
Kesalahan yang sering berlaku
adalah apabila anda terus fokus kepada penyelesaian isu semata-mata sehingga
terlupa kepada pembinaan minda, komunikasi dan pengurusan.
THE
APPRENTICE
Pada sesi lepas (sesi 10/11), BKAWM
telah melancarkan sebuah program bernama The Apprentice. Berkonsepkan mentor
dan mentee. Setiap AJKT memiliki mentee masing-masing dan mentee tersebut akan
dipantau dari semasa ke semasa. Program sokongan seperti Program Pembangunan
Mahasiswa Islam (PROMISE) dan tugasan berkumpulan juga telah bayak membantu barisan
mentee dalam mencari bekalan sebelum kembara. Mereka akan diberi pengisian
sebelum mereka menjalankan tugasan masing-masing sama ada di peringkat unit
mahupun program.
Alhamdulillah konsep ini memberi
hasil dan kesan yang baik. Ada di kalangan peserta yang kini sudah berkhidmat
sebagai AJKT BKAWM dan ada juga menjadi AJKT PERUBATAN. Kini usaha tersebut
masih diteruskan dengan program Smart Generation (SINERGI) dan masih
mengekalkan konsep yang sama.
Tahniah dan
terima kasih kepada semua barisan pelaksana, mentor dan mentee.
0 comments:
Post a Comment