MY TKD STORY
: PART 2
Jatuh
tersungkur perkara biasa…
Bangun dan
terus berlari, menjadi luar biasa…
Selepas menyertai kejohanan TKD kali pertama pada tahun 2005.
Semangat saya dan rakan-rakan semakin berkobar untuk meneruskan latihan TKD bagi
persiapan kejohanan pada tahun-tahun yang akan datang. Berdasarkan bilangan
pingat yang telah kontinjen kami miliki, kami yakin pada tahun hadapan kami
mampu melakukan yang lebih baik. Meletakkan sasaran bagi memiliki Piala
Kontinjen Terbaik Kelantan pada suatu masa nanti.
Latihan sepak terajang seni bela diri pastinya menjanjikan risiko
yang tinggi kepada semua pengamal-pengamalnya. Bengkak, hidung berdarah, buku
lima (fist) lebam, semua ini telah menjadi ‘makanan’ biasa bagi kami.
Kami hanya berpeluang menjalani latihan di atas court bola
tampar yang berlantaikan simen. Kadangkala latihan hanya dijalankan di atas
jalan tar sahaja. Kelengkapan latihan memang terhad, maka segala yang ada di
asrama itulah menjadi alat gim kami. Batang besi bumbung kaki lima, kepala
kipas, tiang besi tangki air, tilam dan bermacam-macam lagi alatan yang telah
menjadi equipment latihan kami.
Hendak
seribu daya, tak hendak seribu komen…
Alhamdulillah pada akhir tahun 2005
ketika saya tingkatan 4, saya telah berjaya memegang tali pinggang hitam (1st
Degree) TKD dan juga telah berjaya menamatkan hafazan al-Quran. Bersedia untuk
menghadapi tahun 2006, tahun yang bakal saya menduduki SPM.
2006 :
MEMBIMBING DAN MEMBERI
Pada tahun 2006 saya telah diberi
kepercayaan untuk memegang jawatan selaku Presiden Persatuan TKD MTAQ. Pada tahun
tersebut juga saya memegang jawatan selaku Majlis Pelajar (MP) Badan Redaksi
MTAQ. Tahun tersebut juga merupakan tahun saya menduduki SPM. Satu cabaran yang
kuat bagi saya untuk mengimbangi kejayaan dalam akademik dan juga kokurikulum.
Pada tahun ini cabaran TKD semakin
kuat. Saya bukan sahaja perlu fokus kepada peningkatan prestasi latihan diri
sendiri. Namun perlu juga fokus kepada latihan dan peningkatan prestasi ahli junior
TKD. Saya perlu memantau bermula daripada mereka yang bertali pinggang putih
hinggalah barisan jurulatih yang bertali pinggang hitam. Sekarang saya sudah
mengambil alih tugasan senior-senior terdahulu dalam membimbing junior.
Pada suatu hari, saya mendapat panggilan daripada Sir Ariffin. Beliau
telah memberi tawaran kepada saya dan Ammar Farhan untuk menjadi jurulatih
kepada Kelab Taekwondo MRSM Kuala Krai. MRSM tersebut memerlukan jurulatih khas
bagi persiapan kontinjen Taekwondo mereka untuk menyertai Kejohanan Taekwondo
MRSM se-Malaysia yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Saya juga diberi peluang
oleh Sir Ariffin untuk menjadi pengadil bagi kejohanan tersebut. Satu peluang
emas buat kami berdua.
Kejohanan Taekwondo MRSM se-Malaysia tersebut bakal berlangsung
pada akhir bulan Mac 2006, bertempat di MRSM Pontian, Johor. Kejohanan tersebut
menghimpunkan seluruh ahli Kelab Taekwondo MRSM di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
NAFAS BARU
Pada peringkat awal, proses untuk menjadi jurulatih bagi MRSM
tersebut agak sukar. Ini kerana pihak Maahad tidak membenarkan kami menjadi jurulatih
MRSM atas sebab-sebab tertentu. Walaupun telah membuat beberapa permohonan,
namun keputusannya tetap sama. Saya berasa kecewa dan hampir putus harapan
untuk menyertai kejohanan tersebut.
Peluang terakhir untuk kami memohon kebenaran daripada pihak Maahad
adalah pada pagi hari kontinjen MRSM Kuala Krai bertolak ke Johor. Ini kerana
kami bersama Sir Ariffin dijadualkan menaiki bas MRSM Kuala Krai untuk ke Johor.
Jika masih tidak mendapat kebenaran pihak Maahad, maka impian kami hanya akan
menjadi kenangan sahaja.
Selepas sesi persekolahan, Sir Ariffin datang ke Maahad untuk bersemuka
dan berbincang dengan Mudir MTAQ. Ketika itu saya berada di kantin sekolah. Duduk
bersahaja di atas kerusi, reda dengan apa yang bakal terjadi. Tidak dapat
menyertai pun tidak mengapa. Masa pun sudah semakin suntuk, Sir Ariffin perlu
berada di MRSM Kuala Krai sebelum jam 3.00 petang.
“Adlly, kita dapat pergi lah… tapi kena buat surat permohonan
kepada Mudir!” tiba-tiba Ammar datang menerpa kepada saya dan memberi khabar
gembira. Kami terus ke pejabat, berjumpa dengan Mudir dan Sir Ariffin. Surat masih
tidak buat, beg tidak kemas lagi, tetapi kebenaran sudah dapat. Tanpa berlengah,
saya dan Ammar bergegas menyiapkan apa yang perlu.
Setelah mendapat izin daripada pihak Maahad dan siap mengemas beg,
kami terus menaiki kereta Sir Ariffin menuju MRSM Kuala Krai. Perasaan ketika
itu bercampur-aduk. Ada rasa gembira, ada rasa terkejut dan ada juga rasa berdebar-debar
memikirkan perkara yang bakal kami hadapi.
Nafas baru
buat saya di dalam dunia TKD, menjadi jurulatih dan pengadil di peringkat MRSM…
0 comments:
Post a Comment