adllybokhari

Jom Menulis

Tulis jangan tak tulis…
Tiada rugi, manfaat menanti…

Musim peperiksaan sudah rancak berjalan, ada juga yang sudah tamat dan ada juga yang sudah pulang ke Malaysia. Bagi kami pelajar tahun akhir Qiraat Shoubra, peperiksaan telah bermula pada 5 Jun dan bakal berakhir pada 28 Jun, maka pada fasa ini perlu utama yang mana terutama. Membuatkan masa untuk menulis di blog ini terhad.

Alhamdulillah dalam kesibukan tugasan dan juga peperiksaan, buku kedua saya bertajuk 23 TAKTIK LUAR BIASA PENGURUSAN ORGANISASI telah berjaya diterbitkan pada 7 Jun baru-baru ini. Terima kasih kepada semua pembaca yang memberi sokongan kepada saya untuk terus menulis.

BAGAIMANA 23 TAKTIK DITULIS

Setelah penerbitan buku pertama saya, STRATEGI PENGURUSAN INDIVIDU DAN ORGANISASI, saya telah mendapat banyak respons daripada pembaca, khususnya daripada kalangan mahasiswa Mesir. Mereka ingin lebih mendalami dan memahami pengetahuan pengurusan organisasi bukan sekadar teori, tetapi secara realiti dan praktikal.

Pelbagai soalan tentang pengurusan diajukan kepada saya dan saya sering tekankan bahawa saya bukanlah pakar dalam bidang ini, hanya sekadar berkongsi pengalaman. Mohon tunjuk andai ada tersalah.

Buku kedua saya ditulis berdasarkan pengalaman saya sendiri di dalam mengurus organisasi, juga berdasarkan respons daripada persoalan-persoalan yang ditujukan kepada saya. Saya mendapati bahawa ilmu pengurusan perlu di ‘persembahkan’ dalam bentuk yang lebih mudah dan mesra agar mampu mencapai bukan sahaja lapisan atasan organisasi, bahkan juga mampu mencapai lapisan tenaga kerja bawahan.

Maka saya mula menulis dan menyusun buku 23 TAKTIK tersebut dengan membawa mesej pengurusan di tahap yang mudah difahami oleh semua peringkat tenaga kerja. Dengan harapan semoga ilmu pengurusan organisasi bukan sahaja diambil berat oleh peringkat atasan, tetapi juga diambil berat oleh lapisan AJK bawahan.

Saya mengambil masa dua hari suntuk untuk menyiapkan penulisan buku ini, dan mengambil masa sekitar dua minggu untuk urusan pelukis kartun, izin terbit PMRAM dan juga pencetakan.

TIP MENULIS

Tidak kurang juga dengan persoalan “Bagaimana menulis buku?” yang saya terima daripada sahabat dan pembaca. Berikut adalah tip daripada pengalaman saya sendiri yang boleh saya kongsikan, terutama bagi penulis baru :

Kenal Pasti Tajuk, Bahagian, Bab, Topik

Langkah pertama apabila anda ingin menghasilkan buku adalah anda perlu merangka buku yang bakal anda tulis secara menyeluruh. Ibarat seorang arkitek membuat pelan rumah sebelum dibina, begitulah seorang penulis perlu merangka bukunya sebelum menulis. Tetapkan tajuk buku, bahagian, bab dan topik yang bakal anda tulis.

Tidak perlu fikirkan sangat tentang tajuk buku yang bombastik kerana anda boleh memikirkan tajuk yang menarik sambil-sambil anda menulis nanti. Jika tidak mampu target menulis 300 muka surat, maka target sahaja sekitar 50-80 muka surat sudah memadai. Apa yang penting adalah anda MULA MENULIS.

Tulis Pusingan Pertama

Jangan terlalu mendesak otak anda untuk menulis ke tahap antarabangsa. Untuk pusing pertama ini, tulis sahaja semampu anda. Tulis dengan selesa, seperti anda sedang bercakap dengan seseorang. Tulis dengan gaya anda sendiri. Tidak perlu fikir tentang tatabahasa lagi, tidak perlu fikir tentang fakta-fakta berat lagi. TULIS SAHAJA dan terus menulis.

Tulis berdasarkan bab dan topik yang anda telah rangka. Jika ada terlintas idea tentang topik atau bab baru, terus sahaja menambahnya. Peringkat ini adalah peringkat menghasilkan penulisan, belum lagi menilai penulisan.

Ini seolah-olah peringkat pembinaan sebuah rumah yang sedang disusun batu-batanya…

Tulis Pusingan Kedua

Setelah anda siap menulis pusingan pertama, anda boleh melakukan penulisan pusingan kedua. Pusingan ini seolah-olah anda melakukan semakan dan penilaian kepada penulisan anda sendiri. Susun kembali struktur ayat. Betulkan ejaan, istilah dan tatabahasa. Kemaskan struktur perenggan dan sebagainya.

Sediakan kamus di sisi anda bagi memudahkan rujukan maksud ayat-ayat. Fokus kepada kesalahan umum dahulu. Tidak perlu tekankan kepada kesalahan yang kecil lagi.

Ini seolah-olah peringkat pembinaan rumah yang sedang disapu simen dan dipasang bumbungnya…

Bersambung…
READMORE
 

Terus Kembara

MY TKD STORY : PART 2

Jatuh tersungkur perkara biasa…
Bangun dan terus berlari, menjadi luar biasa…

Selepas menyertai kejohanan TKD kali pertama pada tahun 2005. Semangat saya dan rakan-rakan semakin berkobar untuk meneruskan latihan TKD bagi persiapan kejohanan pada tahun-tahun yang akan datang. Berdasarkan bilangan pingat yang telah kontinjen kami miliki, kami yakin pada tahun hadapan kami mampu melakukan yang lebih baik. Meletakkan sasaran bagi memiliki Piala Kontinjen Terbaik Kelantan pada suatu masa nanti.

Latihan sepak terajang seni bela diri pastinya menjanjikan risiko yang tinggi kepada semua pengamal-pengamalnya. Bengkak, hidung berdarah, buku lima (fist) lebam, semua ini telah menjadi ‘makanan’ biasa bagi kami.

Kami hanya berpeluang menjalani latihan di atas court bola tampar yang berlantaikan simen. Kadangkala latihan hanya dijalankan di atas jalan tar sahaja. Kelengkapan latihan memang terhad, maka segala yang ada di asrama itulah menjadi alat gim kami. Batang besi bumbung kaki lima, kepala kipas, tiang besi tangki air, tilam dan bermacam-macam lagi alatan yang telah menjadi equipment latihan kami.

Hendak seribu daya, tak hendak seribu komen…

            Alhamdulillah pada akhir tahun 2005 ketika saya tingkatan 4, saya telah berjaya memegang tali pinggang hitam (1st Degree) TKD dan juga telah berjaya menamatkan hafazan al-Quran. Bersedia untuk menghadapi tahun 2006, tahun yang bakal saya menduduki SPM.

2006 : MEMBIMBING DAN MEMBERI

            Pada tahun 2006 saya telah diberi kepercayaan untuk memegang jawatan selaku Presiden Persatuan TKD MTAQ. Pada tahun tersebut juga saya memegang jawatan selaku Majlis Pelajar (MP) Badan Redaksi MTAQ. Tahun tersebut juga merupakan tahun saya menduduki SPM. Satu cabaran yang kuat bagi saya untuk mengimbangi kejayaan dalam akademik dan juga kokurikulum.

            Pada tahun ini cabaran TKD semakin kuat. Saya bukan sahaja perlu fokus kepada peningkatan prestasi latihan diri sendiri. Namun perlu juga fokus kepada latihan dan peningkatan prestasi ahli junior TKD. Saya perlu memantau bermula daripada mereka yang bertali pinggang putih hinggalah barisan jurulatih yang bertali pinggang hitam. Sekarang saya sudah mengambil alih tugasan senior-senior terdahulu dalam membimbing junior.

Pada suatu hari, saya mendapat panggilan daripada Sir Ariffin. Beliau telah memberi tawaran kepada saya dan Ammar Farhan untuk menjadi jurulatih kepada Kelab Taekwondo MRSM Kuala Krai. MRSM tersebut memerlukan jurulatih khas bagi persiapan kontinjen Taekwondo mereka untuk menyertai Kejohanan Taekwondo MRSM se-Malaysia yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Saya juga diberi peluang oleh Sir Ariffin untuk menjadi pengadil bagi kejohanan tersebut. Satu peluang emas buat kami berdua.

Kejohanan Taekwondo MRSM se-Malaysia tersebut bakal berlangsung pada akhir bulan Mac 2006, bertempat di MRSM Pontian, Johor. Kejohanan tersebut menghimpunkan seluruh ahli Kelab Taekwondo MRSM di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

NAFAS BARU

Pada peringkat awal, proses untuk menjadi jurulatih bagi MRSM tersebut agak sukar. Ini kerana pihak Maahad tidak membenarkan kami menjadi jurulatih MRSM atas sebab-sebab tertentu. Walaupun telah membuat beberapa permohonan, namun keputusannya tetap sama. Saya berasa kecewa dan hampir putus harapan untuk menyertai kejohanan tersebut.

Peluang terakhir untuk kami memohon kebenaran daripada pihak Maahad adalah pada pagi hari kontinjen MRSM Kuala Krai bertolak ke Johor. Ini kerana kami bersama Sir Ariffin dijadualkan menaiki bas MRSM Kuala Krai untuk ke Johor. Jika masih tidak mendapat kebenaran pihak Maahad, maka impian kami hanya akan menjadi kenangan sahaja.

Selepas sesi persekolahan, Sir Ariffin datang ke Maahad untuk bersemuka dan berbincang dengan Mudir MTAQ. Ketika itu saya berada di kantin sekolah. Duduk bersahaja di atas kerusi, reda dengan apa yang bakal terjadi. Tidak dapat menyertai pun tidak mengapa. Masa pun sudah semakin suntuk, Sir Ariffin perlu berada di MRSM Kuala Krai sebelum jam 3.00 petang.

“Adlly, kita dapat pergi lah… tapi kena buat surat permohonan kepada Mudir!” tiba-tiba Ammar datang menerpa kepada saya dan memberi khabar gembira. Kami terus ke pejabat, berjumpa dengan Mudir dan Sir Ariffin. Surat masih tidak buat, beg tidak kemas lagi, tetapi kebenaran sudah dapat. Tanpa berlengah, saya dan Ammar bergegas menyiapkan apa yang perlu.

Setelah mendapat izin daripada pihak Maahad dan siap mengemas beg, kami terus menaiki kereta Sir Ariffin menuju MRSM Kuala Krai. Perasaan ketika itu bercampur-aduk. Ada rasa gembira, ada rasa terkejut dan ada juga rasa berdebar-debar memikirkan perkara yang bakal kami hadapi.

Nafas baru buat saya di dalam dunia TKD, menjadi jurulatih dan pengadil di peringkat MRSM…
READMORE
 

Teguh Bertapak

MY TKD STORY : PART 1

Jika ditanya kepada saya “Bilakah anda bermula belajar Taekwondo (TKD)?” Jawapan saya adalah ; saya belajar Taekwondo semenjak di tadika lagi. Tetapi apa yang saya belajar ketika itu pun saya sudah tidak ingat. Hanya tinggal di dalam memori yang saya pernah beruniform TKD dan jurulatih ketika itu adalah seorang warga India.

2002 : INTRO

Episod mendalami ilmu TKD secara serius bermula ketika saya di alam sekolah menengah, di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (MTAQ), Pulai Chondong, Kelantan. TKD diperkenalkan kepada pelajar tingkatan 1 oleh senior. Pada suatu malam, mereka menjemput seluruh pelajar tingkatan 1 ke taklimat pengenalan TKD. Selepas taklimat itu saya terus mendaftarkan diri sebagai ahli TKD dan diikuti oleh seluruh ahli bilik saya, bilik 202.

Namun kami pelajar tingkatan 1 hanya berpeluang menyertai latihan TKD sekali sahaja pada tahun tersebut. Ini kerana pihak Maahad telah mengeluarkan peraturan baru. Semua pelajar tingkatan 1 tidak dibenarkan menyertai mana-mana persatuan beruniform. Peraturan itu bagi memastikan pelajar tingkatan 1 dapat memberi tumpuan kepada hafalan al-Quran masing-masing. Sukatan hafalan bagi tingkatan 1 ketika itu adalah 10 juzuk.

Walaupun terpaksa menanti selama setahun, ia tidak melunturkan semangat saya. Hampir setiap petang saya berlatih bersendirian di dalam bilik. Lebih fokus kepada latihan fitness dan stretching. Ini bagi memastikan saya mampu meneruskan latihan pada tahun hadapan dengan keadaan yang lebih bersiap-sedia.

2003 : 1ST GRADING

Saya terus mendaftarkan diri sebagai ahli Persatuan TKD di MTAQ pada awal tahun 2003. Ketika itu saya di tingkatan 2 dan terdapat 2 orang di kalangan kami yang sudah pun memegang color belt (tali pinggang berwarna). Mereka pernah berlatih TKD sejak di sekolah rendah lagi.

Batch White Belt bersama saya ketika itu seramai sekitar 15 orang. Kami menjalani latihan asas White Belt hampir 6 bulan. Sehingga ada di kalangan kami sudah jemu dengan latihan yang sama. Namun bagi saya, ini adalah penting kerana kemantapan teknik asas akan memudahkan kita ketika latihan teknik yang lebih mencabar kelak.

Semasa cuti sekolah sempena Hari Raya Aidil Adha, ayah saya telah membawa saya ke kedai uniform Every Body Martial Art. Saya membeli uniform untuk saya sendiri dan beberapa uniform yang ditempah oleh rakan-rakan. Kedai tersebut berdekatan dengan Shopping Mall Times Square, Kuala Lumpur. Shahrul Khan sendiri pernah ke sana ketika beliau membuat rakaman filemnya di Malaysia. Sehingga kini sudah berpuluh-puluh uniform dan equipment saya beli dari kedai tersebut dan dibawa ke Kelantan dan Mesir. Kualiti uniform dan harganya yang memuaskan berbanding beberapa jenama uniform yang lain membuatkan saya masih tetap dengan jenama tersebut sehingga hari ini.

Ibu dan ayah saya tidak menghalang saya untuk terus aktif di dalam TKD. Ibu saya selalu menceritakan bahawa nenek moyang kami merupakan pendekar-pendekar di masa silam. Kisah tentang sejarah keturunan saya telah dibukukan secara lebih terperinci di dalam buku karangan ibu saya sendiri, Salmiah binti Alias. Buku bertajuk Cowrie Emas, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, tahun 2006.

Cowrie adalah sejenis cengkerang (shell) yang amat berharga pada suatu ketika dahulu. Disebabkan berlaku peperangan dengan penjajah Belanda. Maka Raja telah memerintahkan supaya semua keluarga di Raja membawa diri ke tempat yang selamat. Setiap keluarga daripada keturunan di Raja tersebut telah diberi simbol dan simbol kepada keturunan kami adalah Courie yang berwarna emas. Sedikit sedutan kisah keturunan di sebelah ibu saya…

NEVER QUIT

Selepas fasa 2 tahun 2003, saya menjalani grading (ujian kenaikan tali pinggang) buat kali pertama. Grading tersebut telah di nilai oleh Ketua Jurulatih Kelantan, Sir Ariffin. Bermula saya White Belt hingga Black Belt, sehinggalah membuka Kelab TKD di Mesir, Sir Ariffin telah banyak membantu dan memberi sokongan moral kepada saya. Beliau telah banyak memberi kepercayaan dan ruang kepada saya untuk terus maju di dalam dunia TKD.

Saya mendapat anugerah Best Student ketika grading tersebut. Ini telah memberikan semangat dan inspirasi kepada saya untuk meneruskan latihan ke peringkat seterusnya.

Saya sentiasa meminta senior untuk mengajar lebih dari apa yang di ajar di gelanggang. Antara senior yang sudi mengajar ketika itu adalah abang Dzul Khairi, merupakan Majlis Pelajar (MP) Badan Dakwah MTAQ ketika itu dan mantan Presiden GAMIS 2008. Beberapa senior lain juga sempat saya menuntut ilmu, membuatkan saya sentiasa berpeluang mempelajari teknik baru lebih awal sebelum ia diajar di gelanggang.

Bagi saya, gelanggang adalah tempat untuk kita mempamerkan prestasi kepada jurulatih. Latihan untuk meningkatkan prestasi lebih banyak saya lakukan sendiri di luar gelanggang.

            Pada tahun 2003 dan 2004, Maahad kami tidak berpeluang untuk menyertai kejohanan TKD peringkat Kelantan atas masalah dan sebab-sebab tertentu. Walaupun agak mengecewakan, kami tetap meneruskan latihan sebaik mungkin bagi memastikan peluang menyertai kejohanan pada tahun seterusnya tidak di sia-siakan.

            Bermula daripada tali pinggang putih ke tali pinggang kuning, hijau dan seterusnya, pelbagai cabaran yang kami lalui seperti masalah dalam latihan dan masalah penyertaan kejohanan. Sehingga ada beberapa orang di kalangan kami yang keluar daripada Persatuan TKD. Mungkin bosan, mungkin juga tidak mempunyai matlamat arah tuju. Namun saya tetap teruskan latihan.

TKD bukan sekadar aktiviti kelab, tetapi telah menjadi sebahagian daripada aktiviti kehidupan saya...

1st TOURNAMENT

Akhirnya ketika saya tingkatan 4, tahun 2005. Maahad kami berjaya menghantar pasukan kontinjen bagi menyertai kejohanan TKD peringkat Kelantan. Kejohanan tersebut berlangsung selama dua hari. Menghimpunkan peserta daripada sekolah menengah biasa, MRSM dan Maahad Tahfiz. Sekitar 20 orang peserta mewakili kontinjen MTAQ. Saya mengambil bahagian kategori tali pinggang biru.

 Peserta kategori Blue Belt sedang bersedia sebelum beraksi. Di sebelah kiri saya adalah sahabat seperjuangan TKD, saudara Ammar Farhan.

Pengalaman yang menarik buat kali pertama menyertai kejohanan. Tanpa guru pengiring, tanpa jurulatih khusus, tanpa pengangkutan dan tanpa penginapan yang sempurna. Hanya ada saya, rakan-rakan dan abang-abang senior sahaja. Saling bantu-membantu dan memberi sokongan antara satu sama lain. Sir Ariffin pula telah memberi kebenaran kepada kami untuk menginap di kelab TKD Kota Baharu sepanjang kejohanan tersebut berlangsung.

Alhamdulillah walaupun pelbagai cabaran yang terpaksa ditelan, saya berjaya memiliki tempat kedua dalam kategori sparring. Bagi saya nilai pingat perak itu bukan sekadar tempat kedua, tetapi ia adalah sebagai nilai pengalaman yang amat berharga.

 Ketika hendak menerima pingat perak bagi kategori Sparring, saya di perhatikan oleh Sir Ariffin (kiri).

READMORE
 

Kreatif & Pelbagai

HIDUP CERIA : BAHAGIAN 3

“Ustaz, macam mana kalau seorang ni dia suka buat ‘lawak bodoh’ sebagai cara dia menceriakan dirinya?... Kadangkala sampai ada kawan lain yang tidak suka dengan cara dia melawak tu… tapi dia suka ceria dengan cara tu..” tanya seorang sahabat saya, beliau memberi respon setelah membaca beberapa artikel saya.

Berdasarkan situasi ‘pelawak bodoh’ itu, terdapat dua sudut yang perlu dinilai dan diambil kira. PERTAMA, semua kaedah menceriakan diri mestilah dengan cara yang SIHAT dan menguntungkan diri. Pastinya dengan cara yang tidak melanggar syariat Islam. Maka kaedah melawak secara tersebut tidak berapa sesuai untuk dimasukkan ke dalam senarai sebagai cara anda menceriakan diri. Terdapat sekian banyak tip dan cara untuk menceriakan diri, maka pilihlah cara yang paling terbaik dan berkualiti.

KEDUA, situasi tersebut juga membabitkan imej dan PERSONALITI DIRI. Maka kaedah ini mungkin dapat menjatuhkan imej atau mengurangkan tahap kredibiliti seseorang individu tersebut. Mungkin tiada masalah jika anda melakukan ‘lawak kering’ bersama dengan sahabat rapat. Tetapi anda perlu sedar bahawa tidak semua lapisan sahabat anda boleh membuat ‘lawak kering’ tersebut.

Pastinya setiap individu memiliki cara yang berbeza untuk menceriakan diri. Apa yang tersenarai di sini hanyalah sebagai perkongsian bersama dan susunan tip di sini bukanlah mengikut prioriti atau keperluan utama.

TIP 8 : BERSYUKUR

Daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda :

“Lihatlah kepada orang yang lebih rendah daripada kamu, dan janganlah melihat kepada orang yang lebih tinggi daripada kamu. Yang demikian itu adalah lebih baik untuk tidak meremehkan nikmat Allah yang dikurniakan kepadamu.”- Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

            Bersyukur tanda kita berterima kasih dan reda dengan kurniaan Allah s.w.t kepada kita. Bersyukur adalah salah satu bukti kita beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t. Mereka yang bersyukur dijanjikan oleh Allah s.w.t dengan tambahan nikmat manakala mereka yang tidak bersyukur dijanjikan pula azab daripadaNya.

            Banyak cara untuk kita bersyukur antaranya dengan berdoa kepadaNya, memberi sedekah dan melakukan amal kebajikan. Apabila kita ditimpa kemalangan, maka bersyukurlah kerana ada insan yang diuji lebih teruk daripada yang kita alami ini. Kesannya anda tidak akan terlalu susah hati apabila berhadapan dengan ujian, bahkan anda akan lebih mengingati Allah s.w.t. Bersyukurlah anda masih diberi nyawa hingga ke saat ini. Bersyukurlah anda diberi kesedaran untuk membuat perubahan pada diri.

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda :

“Sesungguhnya Alla s.w.t tidak melihat kepada fizikal dan juga paras rupa kamu, tetapi ia melihat kepada hati-hati dan amalan kamu.” – Hadis riwayat Imam Muslim.

TIP 9 : RAMAIKAN KENALAN

            Memiliki ramai kenalan tidaklah bermaksud anda perlu mengikuti jejak mereka. Anda perlu memiliki kawan yang berlatar belakang berlainan. Berkawan dengan pimpinan dan juga AJK kecil. Berkawan dengan pelajar dari pelbagai latar belakang bidang pengajian dan minat. Ini akan memudahkan anda untuk mencari atau meminta bantuan mereka pada bila-bila masa sahaja.

            Tingkatkan kualiti personaliti anda, jadikan peribadi anda menarik dan mudah mesra dengan pelbagai lapisan masyarakat. Latihlah diri anda untuk sentiasa mendahulukan dalam memberi dalam, bertegur sapa dan senyum. Anda tidak akan rugi dengan memiliki kenalan yang ramai bahkan memberi tambah nilai pada tahap sosial diri anda. Kesannya dunia sosial anda akan lebih luas dan anda mudah menjana keceriaan.

TIP 10 : JANGAN BERFIKIR BANYAK SEBELUM TIDUR

Jangan berfikir banyak sebelum tidur bermakna jangan serabutkan pemikiran anda ketika anda sudah bersiap sedia untuk tidur. Sudah berada di atas katil. Beberapa minit sebelum melelapkan mata anda.

            Ramai yang memikirkan masalah sepanjang seharian yang dilaluinya sebelum tidur. Ini adalah aktiviti yang tidak baik untuk mental anda. Anda perlu menikmati suasana rehat dengan sempurna bagi menghadapi hari esok dengan lebih bertenaga dan ceria. Maafkan semua sahabat dan orang di sekeliling anda sebelum tidur. Senaraikan tugas-tugas yang perlu dilakukan esok dengan menggunakan kaedah To Do List atau hanya simpankannya di dalam reminder telefon bimbit anda, jangan simpan di dalam pemikiran anda.

            Lakukan persiapan untuk rehat dan tidur malam dengan baik. Bersihkan diri anda seperti memberus gigi dan mengambil wuduk. Pakailah pakaian yang bersih dan pastikan tempat tidur anda juga kemas dan bersih. Tidur anda akan lebih lena di dalam bilik yang gelap berbanding tidur di dalam bilik yang terang. Siap sediakan diri anda untuk meneruskan kehidupan pada keesokan harinya. Berdoalah kepada Allah s.w.t agar anda akan mendapat hidup pada keesokan hari dengan keadaan sihat, ceria dan bahagia.

TIP 11 : HAIWAN PELIHARAAN

            Haiwan peliharaan adalah teman anda yang dapat memberi keceriaan kepada anda. Manusia yang perbagai sifat dan ragam memiliki pelbagai jenis minat kepada haiwan kesayangannya, ada yang gemar memelihara haiwan peliharaan seperti kucing, anjing dan arnab. Ada juga memiliki kegemaran yang berbeza seperti gemar memelihara labah-labah, buaya, ular dan sebagainya. Jenis haiwan peliharaan yang anda minat adalah terserah kepada anda sepenuhnya.

            Mereka yang memiliki haiwan peliharaan akan lebih ceria kerana dapat mempamerkan kasih sayang kepada haiwan tersebut. Mereka juga dapat berkongsi kesedihan dan kegembiraan bersama haiwan peliharaannya. Namun yang penting adalah aktiviti memelihara haiwan itu janganlah sehingga mengganggu jadual tugasan utama anda.

Hidup dengan kehidupan yang sihat dan berkualiti…

Kreatifkan hidup anda…
Pelbagaikan aktiviti anda…
Nikmati hidup anda…
READMORE
 

Ceria, Tenang, Sentiasa...

HIDUP CERIA : BAHAGIAN 2

5 April 2012

Hari ini rutin harian berjalan seperti biasa. Bangun pagi, study, makan, solat, urus stres dan sewaktu dengannya. Mencuba sedaya upaya mencari kekuatan di setiap celah detik-detik kehidupan. Program Ribat BKAWM berlangsung pagi tadi juga berjalan seperti biasa. Tazkirah disampaikan oleh seorang mahasiswi jurusan perubatan. Walaupun beliau daripada jurusan perubatan, namun mampu memetik ayat-ayat suci Al-Quran dan memberi penjelasan dengan baik. Alhamdulillah sekarang generasi adik-adik sudah mampu ke hadapan, mampu menjadi imam, mampu memberi tazkirah dan mampu mengurus majlis dengan baik.

Semoga kalian menjadi generasi yang lebih baik daripada sebelumnya…

Terkenang satu ketika dahulu, beberapa tahun lepas. Ketika menjemput mereka di airport dan mengurus mereka di dalam program USMB. Semua dalam keadaan masih terpinga-pinga. Biasalah masih baru di perantauan. Kami membantu mengurus mereka bermula dengan urusan perhubungan, penginapan hinggalah urusan membeli sim card untuk mereka.  Kini generasi tersebut telah mampu berdiri di atas kaki sendiri. Mampu mengambil alih tugasan kami satu ketika dahulu.

 Jamuan selepas Ribat BKAWM, minggu lepas.

Semalam jadual peperiksaan bagi tahun akhir Shoubra telah keluar. Debaran dan tekanan peperiksaan kian kuat terasa. Walau apa pun, kehidupan mesti diteruskan seperti biasa. Hidup mesti ceria, mesti tenang sentiasa…

TIP 4 : REHAT CUKUP

            Dapatkan rehat yang cukup, tidak terlalu SEDIKIT dan tidak pula terlalu BANYAK. Anda berasa stres kemungkinan berpunca daripada badan yang letih. Pastikan badan anda bertenaga dengan mendapat rehat yang cukup dan khasiat makanan yang seimbang. Tiada guna jika anda terus memaksa diri anda dalam keadaan keletihan dan mungkin hasilnya adalah teruk atau anda terus berputus asa.

Kenal pasti apakah aktiviti yang mudah bagi anda lakukan ketika berehat seperti merenggangkan otot atau mengambil secawan minuman panas. Berilah peluang badan anda untuk rehat dengan layanan yang baik daripada diri anda sendiri. Musim panas juga sudah tiba. Pastikan tubuh badan anda mendapat bekalan air dengan meminum air secukupnya. Jangan hanya minum air ketika dahaga sahaja.

Fakta : Lebih 80% daripada otak anda adalah cecair.

TIP 5 : BERSENAM

            Secara umumnya tubuh kita perlu bersenam sekurang-kurangnya dua kali dalam seminggu. Minima 20 minit setiap kali bersenam. Pastikan anda melakukan senaman dan aktiviti sukan yang secukupnya. Ini bagi memastikan tubuh anda dapat membesar dengan baik dan tubuh anda juga dapat menggunakan khasiat makanan yang anda makan sepenuhnya. Tidak semestinya anda perlu ke padang untuk bersukan, bersenam di dalam bilik pun sudah memadai. Anda boleh melakukan aktiviti senaman yang ringan seperti renggangkan otot, menarik nafas dan berlari setempat.

Badan sihat, otak cerdas, hidup ceria…

Daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda :

“Orang Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada Mukmin yang lemah. Pada setiap perkara ada kebaikan. Tekunlah kamu atas sesuatu yang bermanfaat bagimu. Mintalah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu berputus asa. Jika kamu ditimpa sesuatu bencana, janganlah kamu berkata : ‘Kalaulah aku berbuat demikian, maka akan jadi demikian, demikian.’ Akan tetapi berkatalah bahawa Allah telah mentakdirkan dan barang yang dikehendaki Allah, pasti Allah lakukan. Kerana kata-kata ‘Kalaulah’ dapat membuka perbuatan syaitan.” – Hadis Riwayat Imam Muslim.

TIP 6 : KERJA BERSUNGGUH-SUNGGUH

            Seorang pekerja yang proaktif akan menyelesaikan tugasannya mengikut jadual dan perancangan seperti yang telah diatur. Pekerja tersebut terus tekun dalam menyelesaikan tugasnya satu persatu. Setelah tugasannya selesai mengikut perancangan, dia akan berasa puas hati dan akan terus bekerja pada masa akan datang dengan peningkatan prestasi yang cemerlang. Pihak atasan juga pasti menyukainya kerana mampu menyelesaikan tugasan mengikut perancangan organisasi. Maka kesan kepada kesungguhan pekerja itu telah membuatkan dirinya dan pihak atasan berasa gembira.

            Bekerjalah dengan bersungguh-sungguh kerana anda akan berpuas hati apabila mendapat hasilnya kelak. Mereka yang bekerja separuh hati akan menghadapi kemurungan dalam melakukan kerjanya. Lebih parah jika mereka membenci pekerjaannya sendiri. Tanamkan minat yang mendalam terhadap kerja yang anda lakukan. Pastikan matlamat anda jelas, dan susun gerak kerja anda melalui kaedah pengurusan seperti MBO dan To Do List (senarai perkara yang perlu dilakukan).

Begitu juga dengan belajar. Belajar dengan bersungguh-sungguh, gunalah segenap kekuatan dan ruang yang ada. Belajar dalam keadaan ceria dan gembira akan membawa lebih makna berbanding belajar dalam keadaan murung dan terpaksa.

TIP 7 : BERUSAHA UNTUK CERIA

            Semua manusia mahukan hidup yang ceria dan bahagia. Namun mereka terlepas pandang dalam berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi ceria. anda perlu mengetahui apakah faktor yang mampu membuatkan diri anda ceria. Ada yang dapat ceria hanya dengan menyanyi, ada yang dapat ceria dengan melihat anak-anak dan sebagainya.

Persoalannya di sini : adakah anda sudah mengenal pasti faktor yang dapat memberi anda ceria? Jika sudah mengetahuinya, adakah anda sudah melaksanakannya?

            Anda perlu sentiasa ceria, kerana keceriaan adalah hak anda. Apabila anda ceria, anda juga mampu membuatkan individu di sekeliling anda juga ceria. Sama ada di rumah, di pejabat, di tempat kerja dan sebagainya. Jika anda berusaha untuk memiliki keceriaan, anda pasti akan memilikinya. Punca utama anda tidak mampu menjana keceriaan adalah kerana diri anda sendiri yang tidak bersungguh-sungguh.

            Ramai yang menganggap keceriaan dapat dimiliki dengan berdamping dengan mereka yang sedang ceria. Kaedah ini hanya kaedah ‘meminjam’ keceriaan orang lain  sahaja. Hasilkan keceriaan anda sendiri dan nikmatinya bersama orang di sekeliling anda.

Lebih menarik jika anda menyenaraikan kaedah dan cara menceriakan diri anda di dalam buku nota peribadi. Apabila anda inginkan keceriaan, anda hanya perlu rujuk kaedah dan tip yang anda sendiri sediakan. Hasilnya anda akan lebih mudah dalam menjana keceriaan.

Kekal ceria sepanjang hari...
READMORE
 

Pilihan Anda

HIDUP CERIA : BAHAGIAN 1

Keceriaan adalah pilihan, anda berhak memilih kehidupan yang ceria, jadi mengapa perlu bersedih?...

            Semua manusia inginkan kehidupan yang bahagia dan ceria. Malangnya masih ramai yang tidak tahu bagaimana mahu menceriakan diri sendiri. Mereka hanya menanti keceriaan itu hadir dalam hidup mereka sedangkan keceriaan adalah pilihan. Anda berhak memilih untuk hidup ceria dan bahagia. Keceriaan boleh dicipta dan dicari dengan beberapa kaedah dan strategi.

Pastinya Allah s.w.t jualah yang berkuasa mutlak dalam memberi ketenangan dan keceriaan kepada setiap hambaNya. Namun usaha untuk memiliki kehidupan bahagia itu penting. Kenali diri anda, ketahui bagaimana kaedah menceriakan diri anda dan pilihlah untuk terus hidup ceria dan bahagia.

            Keceriaan boleh dijana, dicari dan dimiliki. Perasaan ceria boleh hilang tanpa anda sedari jika anda tidak mahir untuk memeliharanya. Lebih parah jika seseorang individu tersebut langsung tidak mampu menikmati kehidupan yang ceria. Terdapat beberapa kaedah untuk anda menceriakan kehidupan anda. Antara tip untuk hidup ceria adalah :

TIP 1 : KASIH SAYANG

            Sifat kasih sayang adalah sifat semula jadi bagi setiap manusia. Tiada manusia yang mampu hidup dengan sempurna tanpa kasih sayang. Kadangkala anda mungkin berasa murung dan tidak ceria adalah disebabkan kurang memberi atau menerima kasih sayang.

Suburkan sifat kasih sayang di dalam diri anda seperti berjumpa sahabat-sahabat dan bergurau bersama kanak-kanak. Jangan pula 24 jam seharian hidup anda hanya fokus kepada kerja dan belajar semata-mata. Manusia bukan mesin atau robot, manusia memiliki sifat naluri. Sifat kasih sayang perlu dijana dari hati anda dan diberikan kepada mereka yang berada di sekeliling anda termasuklah keluarga, sahabat, pemimpin dan pekerja anda. Dengan cara ini akan menggembirakan hati dan menceriakan kehidupan seharian anda.

            Sifat negatif seperti berdengki, buruk sangka, benci dan sebagainya akan membuatkan anda berasa murung dan tidak ceria. Sekarang perhatikan kehidupan anda, adakah anda sudah MEMBERI dan MENERIMA kasih sayang secukupnya? Jika tidak, luangkan sedikit masa untuk bersama-sama mereka yang tersayang agar ia dapat membantu anda untuk terus hidup dengan ceria.

KHASIAT CIUMAN

            Satu kajian telah dilakukan oleh pakar psikologi tentang rahsia dan kesan ciuman seorang isteri kepada suaminya dan ciuman seorang ibu kepada anak-anaknya. Kajian dilakukan terhadap mereka yang pergi ke tempat kerja menaiki kereta peribadi. Para suami ini dibahagikan kepada dua kelompok.
           
            Kelompok pertama adalah suami-suami yang menerima ciuman daripada isteri sebelum pergi ke pejabat, manakala kelompok yang kedua adalah suami-suami yang pergi ke pejabat tanpa menerima ciuman daripada isterinya.

            Keputusannya daripada hasil kajian tersebut amat menakjubkan. Kajian membuktikan bahawa suami yang menerima ciuman isteri sebelum pergi ke pejabat akan lebih yakin dan bersemangat serta mempunyai kemungkinan yang kurang untuk berhadapan dengan kecelakaan, berbanding dengan suami yang tidak menerima ciuman daripada isterinya sebelum ke pejabat. Ternyata mutu dan semangat bekerja mereka juga mengalami perbezaan yang cukup ketara.

            Kajian terhadap kesan ciuman ibu kepada anaknya sebelum ke sekolah juga menunjukkan kesan yang luar biasa. Anak-anak yang menerima ciuman ibu mereka sebelum ke sekolah menunjukkan peningkatan prestasi pencapaian pelajaran di sekolah. Malah ciuman itu juga membuatkan anak tersebut mampu menahan kemarahan supaya tidak bergaduh semasa di sekolah.
           
            Keadaan yang sebaliknya ditunjukkan oleh anak-anak yang tidak menerima ciuman ibu mereka, atau diuruskan oleh pengasuh dan pembantu rumah. Ini adalah hasil satu kajian menarik mengenai rahsia kesan ciuman seorang isteri dan seorang ibu yang memberi ciuman itu dengan penuh tulus ikhlas dan kasih sayang.

TIP 2 : MENJANA PERSEKITARAN YANG CERIA

            Persekitaran amat memberi kesan kepada emosi anda. Persekitaran anda termasuklah bilik tidur, ruang-ruang di rumah, laman rumah, tempat kerja, tempat belajar dan semua kawasan yang menjadi tempat anda melakukan sesuatu aktiviti. Suasana bilik yang muram, bersepah dan tidak bersih akan membuatkan anda tidak ceria. Bina suasana persekitaran yang ceria agar ia memberi kesan kepada anda untuk menikmati keceriaan itu. Hiasi bilik dengan warna yang cerah, pastikan barang-barang peribadi anda tersusun rapi dan bilik anda sentiasa dikemas. Begitu juga dengan suasana pejabat anda atau kelas pengajian anda.

            Dengan meluangkan sedikit masa untuk menjana persekitaran yang ceria dan selesa, anda dapat melalui kehidupan dan sepanjang hari dengan lebih ceria dan bersemangat.  Anda juga boleh membersihkan diri anda untuk mendapat perasaan yang ceria. Memakai pakaian yang bersih dan haruman yang wangi. Penampilan yang kemas dan bersih akan memberi keyakinan kepada diri anda untuk menjadi diri anda yang lebih baik.

TIP 3 : SENYUM

            Senyum adalah sedekah, dengan senyum dapat melegakan perasaan anda ketika sedang tertekan. Latih diri anda untuk sentiasa senyum apabila bertemu dengan sesiapa pun. Apabila anda senyum, maka orang lain akan berasa senang dengan anda dan mereka juga akan mempamerkan perasaan ceria. Luangkan sedikit masa untuk bergurau bersama sahabat atau keluarga anda kerana ia akan mampu menghasilkan senyuman di wajah anda.

            Saya memiliki seorang sahabat yang selalu ceria. Senyuman selalu saja terukir di mukanya. Sehingga ada sahabat yang lain pelik mengapa dia ni asyik senyum saja? “Saya terfikir, daripada duduk saja, muka masam, lebih baik saya senyum…” jawabnya ringkas.

Senyumlah kepada dunia, dan dunia akan senyum kepada anda
READMORE
 

The Solution

PENGURUSAN STRES : BAHAGIAN 4

Makan sebelum lapar, berhenti sebelum kenyang, urus stres sebelum stres…

            Stres tidak semestinya hanya diurus ketika anda menghadapinya. Anda juga perlu bijak mengambil langkah dalam mengurus stres sebelum anda menghadapinya. Mungkin ini juga boleh dikira sebagai ‘strategi’ dalam mengurus stres.

            Kita perlu sedar dan menerima hakikat bahawa kehidupan ini memang sentiasa menghidangkan cabaran dan ujian. Kita memerlukan kepada tekanan stres bagi memajukan diri. Kita tidak perlu mengelak atau lari daripada masalah. Sebagai individu yang cemerlang anda perlu menghadapi dan menangani setiap cabaran yang hadir.

            Pakar-pakar telah membahagikan stres kepada dua kategori, EUSTRESS dan DISTRESS. Eustress adalah apabila stres itu terkawal dan membawa manfaat. Manakala distress pula adalah stres yang berlebihan dan membawa kepada mudarat. Pastikan anda stres anda sentiasa di dalam kawalan. Berikut adalah beberapa tip bagaimana anda cara anda menguruskan stres dalam kehidupan seharian :

TIP 1 : MEMBACA AL-QURAN

            Sesungguhnya Allah s.w.t menurunkan Al-Quran kepada seluruh umat Nabi Muhammad s.a.w sebagai satu mukjizat, petunjuk dan rahmatNya. Dengan membaca Al-Quran pahala anda akan dikira bagi setiap huruf bacaan tersebut. Hati anda akan menjadi lebih tenang dan dekat kepada Allah s.w.t. Lebih baik jika anda dapat membaca Al-Quran berserta memahami maksud dan makna ayat-ayat yang dibaca dengan membaca tafsir Al-Quran. Luangkan sedikit masa anda dalam sehari untuk membaca Al-Quran dan mendapat faedah yang besar daripadanya.

            Masa yang terbaik bagi membaca Al-Quran adalah selepas solat fardu, jika anda mampu membaca dua helai muka surat setiap kali selepas solat fardu, maka dalam sehari anda telah membaca sebanyak 10 helai (sejuzuk). Membaca, memahami, mendalami, menghayati isi kandungan al-Quran akan menenangkan dan menenteramkan jiwa, fikiran, hati, rohani dan jasmani. Sekurang-kurangnya jika anda tidak mampu membaca Al-Quran mungkin kerana terlalu sibuk, anda boleh mendengar bacaan ayat Al-Quran melalui rakaman-rakaman bacaan sheikh dan imam yang masyhur dan rakam ayat Al-Quran kini mudah didapati.

            Anda juga perlu menanam cita-cita untuk menghafal ayat suci Al-Quran. Jika tidak mampu menghafal keseluruhannya, maka janganlah tinggal semuanya, mulakan hafalan Al-Quran anda dengan ayat-ayat dan surat yang pendek dan mudah dihafal oleh anda. Untuk menguatkan ingatan ayat-ayat yang telah dihafal, anda boleh membaca ayat dan surah tersebut di dalam solat. Hafalan anda boleh menjadi lebih mudah dengan cara anda memahami ayat-ayat. Jika perlu, dapatkan bimbingan guru-guru tahfiz bagi mendapat panduan dan nasihat dalam menghafal Al-Quran. Pastinya dengan usaha gigih anda akan membuahkan hasil yang lumayan di dunia juga di akhirat kelak.

            Apabila anda membaca Al-Quran, pastikan diri anda dalam keadaan khusyuk dan fokus dalam bacaan anda itu. Antara kaedah yang dapat membantu anda fokus dalam bacaan adalah dengan memastikan anda sentiasa dalam keadaan berwuduk, berpakaian kemas dan suci, menghadap kiblat, membaca dengan suara yang agak kuat dan membaca doa sebelum dan selepas anda membaca Al-Quran. Mohonlah kepada Allah s.w.t semoga anda sentiasa diberi kekuatan dan berada di bawah rahmatNya.

            Jika anda seorang guru atau pemimpin, pastikan seluruh anak didik dan warga kerja di bawah anda juga menjaga dan mengamalkan bacaan Al-Quran. Anda boleh melaksanakannya dengan memberi peringatan atau menganjurkan program-program yang mendorong mereka untuk beramal dengan Al-Quran. Bacaan Al-Quran di awal pembukaan dan perasmian majlis adalah satu unsur pembudayaan Al-Quran yang amat baik. Dengan izin Allah s.w.t, rahmatNya akan turun kepada anda dan masyarakat di sekeliling anda dan ini akan menghasilkan kebahagian dan ketenangan yang sejati dalam hidup anda.

            Selain membaca Al-Quran, pastikan juga diri anda sentiasa ke arah mendekatkan kepada Allah s.w.t. Mendekatkan diri kepadaNya dengan cara mengenali dan mencintaiNya lebih daripada segala-galanya sehingga lahir rasa kehambaan sejati dalam diri melalui amal ibadah secara istiqamah.

Orang-orang yang beriman menenangkan hati (jiwa) mereka dengan mengingati Allah, tidakkah dengan mengingati Allah itu dapat menenangkan hati (jiwa) ? – Surah Ar-Ra’dhu : 28

            Berserah diri dengan menyerahkan natijah semua perkara kepada Allah setelah berusaha sedaya upaya serta percaya yakin kepada segala janjiNya. Unsur penting yang perlu ada dalam setiap diri hambaNya adalah tawakal. Menyedari bahawa Allah memberi rezeki, kekuatan, keinginan dan tubuh badan yang sihat untuk berusaha. Menyedari bahawa segala perbuatan, tindakan, hakikat  sebenarnya adalah kehendak daripada Allah s.w.t.

Persoalannya, sudahkah anda membaca Al-Quran hari ini?

TIP 2 : EKSPRESI DIRI

            Ekspresi diri adalah anda mempamerkan apa yang terpendam dalam diri anda. Meluahkan apa yang terbuku di hati. Apa yang penting adalah bagaimana kaedah dan cara anda mengekspresikan diri anda. Ada individu yang suka mendengar lagu ketika stres, ada juga yang suka makan ketika stres. Pastikan anda melepaskan stres dengan cara dan saluran yang betul dan sihat.

            Salah satu cara adalah dengan berkongsi masalah anda dengan sahabat baik. Sahabat yang paling bernilai adalah mereka yang boleh mendengar dengan baik. Mungkin mereka tidak mampu untuk membantu anda dalam menyelesaikan masalah anda, sekurang-kurangnya dengan perkongsian tersebut anda telah mengurangkan tahap tekanan stres yang anda sedang alami. Memendam rasa dan kebimbangan akan menyuburkan lagi stres. Melahirkan kebimbangan atau ketakutan adalah sebagai langkah pertama membolehkan diri berhadapan dengan stres, mengawalnya dan seterusnya melepaskan stres tersebut.

            Berhadapanlah dengan stres dengan cara bercakap, menulis, menyanyi, ketawa, menangis dan lain-lain lagi. Cara tersebut akan membantu anda kerana dengan meluahkan sesuatau masalah, ia akan menjelaskan dan meletakkan sesuatu masalah tersebut kepada perspektif yang lebih objektif (jelas dan nyata). Ekspresi menggalakkan penyembuhan.

            Menulis boleh membuatkan masalah yang subjektif (kabur) menjadi lebih objektif (jelas), yang tidak sedar dibawa kepada kesedaran dan yang tidak terlahir kepada yang dilahirkan. Tulislah masalah anda dengan bebas, berterusan dan tanpa kritikan. Analisis masalah-masalah yang telah anda tulis secara objektif tanpa terlalu beremosi. Kemudian senaraikan cadangan penyelesaian bagi setiap masalah yang anda hadapi secara terperinci.

 Banyak membaca sama ada bahan bacaan berat mahupun ringan mampu memberi anda inspirasi. Memberi idea di luar daripada perkara biasa yang berlaku di dalam kehidupan seharian anda.

TIP 3 : BERTINDAK SEGERA

            Tugasan yang bertimbun selalu adalah berpunca daripada sifat suka bertangguh. Cuba elakkan daripada menangguhkan tugasan sama ada tugasan itu kecil atau besar.         Pertindanan tugasan, lambakan kerja dan jadual terlalu padat akan membawa kepada stres.

            Daripada terus berada dalam keadaan gelisah ketika berhadapan dengan stres, adalah lebih baik anda mengarah diri untuk memikirkan  “Apakah yang boleh saya lakukan sekarang ini untuk mengurangkan stres?” kemudian pasti anda akan sedar bahawa selepas 15 minit melakukan apa yang sepatutnya di lakukan, anda sudah makin hampir dengan jalan penyelesaian. Dengan hanya melengahkan penyelesaian, beban stres akan terkumpul dan adakalanya menjadi semakin kronik.

Maka BERTINDAKLAH dengan segara. Segera mencari PENYELESAIAN. Segera bertindak MELAKUKAN penyelesaian tersebut.

 Bab 2 : Pengurusan Masa, Buku Strategi Pengurusan Individu Dan Organisasi membincangkan lebih terperinci tentang pengurusan masa. Pengurusan masa yang efisien mampu mengurangkan stres.

TIP 4 : MEMBINA PERSEPSI POSITIF

            Segala benda yang berada di sekeliling kita bersifat neutral. Hanya persepsi kita sahaja yang menentukan sudut pandangan kita terhadap perkara tersebut.
           
            Sebagai contoh sebuah rumah hanya bersifat neutral, jika anda  merasakan bahagia bersama keluarga di dalam rumah tersebut adalah hasil daripada persepsi positif yang anda sendiri hasilkan, bukan daripada rumah tersebut. Namun jika anda berada di dalam rumah tersebut dengan perasaan yang tidak tenang dan serabut, itu adalah hasil daripada persepsi negatif anda. Rumah itu tetap dengan sifat neutralnya, yang menentukan hanyalah persepsi anda sahaja. Anda perlu sentiasa meletakkan sudut pandangan anda pada sudut persepsi yang positif dalam semua perkara yang berlaku dalam hidup anda.

            Peribahasa Cina mengatakan “Lebih baik menyalakan lilin dari menyumpah akan kegelapan”. Semasa mengalami stres adakalanya minda kita seolah-olah diprogramkan supaya hanya melihat dan memikirkan perkara yang negatif  sahaja. Rasa tidak terdaya, rasa disingkir, rasa tidak disayangi, rasa tiada harapan dan lain-lain.

            Fikiran negatif mengganggu minda anda semasa anda sedang mengalami stres. Detik inilah anda harus berfikir dengan fikiran positif seperti “Apakah kekuatan saya?”. Kenal pasti kemahiran, kebolehan dan bakat yang ada. Sedarkan diri kepada apa yang anda boleh lakukan. Jangan hiraukan apabila minda cuba mengatakan ‘TIADA’ atau ‘TIDAK’. Soal pada diri anda “Apakah pengajaran yang tersirat di sebalik ujian ini?”

            Berhenti dari mencari kesalahan orang lain. Buatlah perubahan yang perlu pada diri anda. Dengan hanya melihat kepada kesalahan orang lain dan cuba menukar sikap orang lain, anda hanya menambah stres pada diri sendiri. Berhenti daripada terus memberi fokus kepada jalan mati atau sesuatu yang tidak dapat diubah. Anda perlu fokus kepada perkara positif dan perkara yang mesti dilakukan untuk membuat perubahan ke arah yang lebih baik.

            Mungkin kaedah penyelesaian ini tidak semudah yang di bicara secara teorinya. Namun yang penting adalah usaha dan kemahuan anda, pasti di sana ada jalannya.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Seorang hamba melakukan dosa lalu ia berkata : Wahai Rab, aku melakukan satu dosa maka ampunilah aku. Maka Allah berfirman: Adakah hambaKu tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampuni dosa dan menghapuskannya? Aku telah mengampuni dosa hambaKu. Kemudian setelah beberapa ketika, dia kembali melakukan dosa dan berkata : Wahai Rab, aku melakukan satu dosa lain maka ampunilah aku. Allah kemudian berfirman: Adakah hambaKu tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampuni dosa dan menghapuskannya? Aku telah mengampuni dosa hambaKu. Kemudian setelah beberapa ketika, dia melakukan dosa lagi dan berkata : Wahai Rab, aku melakukan satu dosa maka ampunilah aku. Allah berfirman : Adakah hambaKu tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampuni dosa dan menghapuskannya? Aku telah mengampuni dosa hambaKu, sebanyak tiga kali, maka lakukanlah apa yang disukainya.” – Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

TIP 5 : KENALI BUTANG HIJAU

            Butang hijau adalah istilah yang selalu digunakan oleh motivator yang bermaksud ‘Perkara Yang Menggembirakan’. Setiap individu memiliki butang hijau yang berlainan. Ada individu yang cukup dengan meminum segelas cawan kopi sahaja sudah membuatkan mereka gembira. Ada juga yang gembira apabila mengemas bilik kerana mereka suka akan kekemasan. Apa yang penting adalah adakah anda sudah mengenali butang hijau anda? Kenali butang hijau anda dan ketika anda stres atau inginkan keceriaan, anda boleh segera ‘memetik’ butang hijau anda.

TIP 6 : MENGURUS DIRI

            Waktu di awal pagi adalah waktu yang terbaik untuk anda melakukan urusan peribadi seperti mengemas bilik, bersenam dan bersarapan. Kadangkala punca stres semakin menjadi semakin teruk adalah kerana diri anda sendiri yang tidak terurus dengan sempurna. Bagaimana hendak ceria jika bilik anda dalam keadaan bersepah? Bilik air dan dapur juga tidak terurus. Luangkan sedikit masa setiap hari untuk mengurus diri anda. Uruslah diri anda sebelum anda mengurus orang lain.

TIP 7 : BERMASYARAKAT

            Jika anda mengalami kemurungan atau stres, keluarlah dari ‘dunia’ anda dan bergaul dengan masyarakat. Jangan hanya mengurung diri di dalam bilik, kelak anda akan terus tenggelam dengan ‘dunia murung’ anda tersebut. Berjumpalah dengan sahabat lama ataupun kenalan baru. Berkawanlah dengan pelbagai lapisan masyarakat. Para ilmuwan kita kawan, tukang masak kita kawan, mat motor kita kawan, kelak hendak minta bantuan pun mudah.

            Jangan hanya bergaul dengan mereka di sekeliling pinggang anda sahaja. Dunia ini luas, adakah anda hanya mahu bergaul sekitar 100 orang dan berjalan sekitar ‘bumi’ anda sahaja? Jangan sempitkan dunia anda. Keluar dan nikmatilah dunia di luar sana.

            Pengurusan stres juga berkait rapat dengan keceriaan hidup. Tip-tip untuk menghasilkan hidup yang ceria akan dibincangkan dalam artikel-artikel yang akan datang. InsyaAllah…
READMORE